Skip to main content

Singapura

Jemaah SG sudah mula berangkat ke Arafah, perjalanan lancar

Persiapan jemaah haji Singapura ke Arafah bagi kemuncak ibadah haji berjalan dengan lancar.

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Persiapan jemaah haji Singapura ke Arafah bagi kemuncak ibadah haji berjalan dengan lancar.

Menurut Ketua Delegasi Jemaah Haji Singapura, Mohamed Sa'at Abdul Rahman, keberangkatan jemaah mengikut jadual.

"Persiapan (jemaah) adalah mengikut pergerakan yang telah diatur GSA-GSA masing-masing, di mana sebaiknya para jemaah telah mengikut program-program yang disiapkan GSA masing-masing," menurut Encik Sa'at yang juga Presiden MUIS.

Menurut agensi-agensi yang dihubungi BERITAmediacorp, pihak GSA sudahpun dimaklumkan tentang giliran masing-masing untuk berangkat ke Arafah bagi elak kesesakan.

"Setiap GSA tahu akan giliran mereka masing masing, kerana di Singapura lagi semua GSA telah buat undian. Kini jemaah Singapura sudah mula gerak ke Arafah jam 9 pagi (2 petang waktu tempatan)," jelas Pengarah Noor Mohamad Services & Travel, Ustazah Juyda Noor Mohamad.

Beliau juga berkongsi keadaan trafik menuju ke Arafah pada sekitar jam 5 petang waktu tempatan.

"Saya sedang dalam bas menuju ke Arafah. Kini nampaknya perjalanan bas ke Arafah sangat lancar. Alhamdulillah. Cuacanya masya-Allah, boleh terasa bahangnya. Jemaah tadi semua dinasihati sentiasa ada botol air di tangan," kata Ustazah Juyda.

Bagi 105 jemaah Jalaluddin Travel & Services pula, mereka dibahagikan kepada tiga bas dan tiga waktu keberangkatan.

"Dalam jam 11 pagi (4 petang waktu tempatan) hari ini, sekitar 100 jemaah Singapura telahpun tiba di khemah Arafah. Kami ada lagi 2 bas yang dalam perjalanan ke khemah Arafah juga. Di belakang kami ada tiga lagi bas akan membawa jemaah Singapura menuju ke Arafah juga. Di khemah Mina kami ada sekitar 270 jemaah yang melaksanakan talbiyah mereka," jelas Pengarah Urusan Jalaluddin Travel & Services, Noor Faizah Mustaffa.

Menurut beliau, kesemua jemaah haji Singapura akan tiba di khemah Arafah sekitar sebelum waktu Maghrib hari ini (26 Jun).

JEMAAH SG DAPAT SESUAIKAN DIRI DAN PERSIAPAN DIJALANKAN DENGAN BAIK KE ARAFAH

Dalam interaksi pasukan MUIS dengan para jemaah, Encik Sa'at mendapati para jemaah Singapura dapat menyesuaikan diri dan sudah membuat persiapan yang rapi untuk ibadah haji.

"Dalam keadaan sekarang, cuaca di sini amat panas dan mencecah suhu yang agak tinggi. Namun, para jemaah kita kelihatan dapat menyesuaikan diri dan rata-rata semua persiapan telah dapat dijalankan dengan baik dan berjalan lancar dalam perjalanan menuju ke hari Arafah,” ujar Encik Sa'at

"Memandangkan pada musim haji ini, bilangan jemaah dari serata dunia ramai, pihak kerajaan Saudi sudah membuat persiapan awal dan mengatur dan menyusun semua persiapan dan pergerakan dengan baik dan meminta kerjasama daripada semua pihak," tambahnya.

Lebih dua juta jemaah dari seluruh dunia menunaikan haji tahun ini termasuk 1,216 jemaah dari Singapura.
Sumber : BERITA Mediacorp/NJ/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita