Skip to main content

Singapura

Jemaah SG mula tiba di Mina jelang wukuf di Arafah

Anggaran Waktu Membaca:
MAKKAH: Sehingga jam 2.00 petang waktu Singapura (4 Jun), lima bas yang membawa jemaah haji Singapura dari Shisha untuk Hari Tarwiyah di Mina telah selamat tiba, dan para jemaah kini berada di khemah-khemah yang disediakan di sana.

Sementara itu, baki 14 buah bas membawa hampir 600 jemaah dijadualkan berangkat dari Shisha ke Arafah pada jam 4.00 petang waktu Arab Saudi.

Perkembangan itu dikongsi oleh Setiausaha Agensi Pelancongan Islam Singapura (AMTAS), Ustazah Juyda Noor Mohamed, dan Pengarah Jalaluddin Travel & Services, Cik Noor Faizah Mustaffa, kepada wartawan Nurhelmy Hakim menerusi panggilan jauh.

Ustazah Juyda berkata, "Mereka akan berangkat dari Shisha ke Arafah pada 8 Zulhijjah pukul 4.00 petang waktu tempatan dan bermalam di sana. Namun, ada juga sebahagian jemaah yang akan tiba di Arafah pada 9 Zulhijjah kerana mereka menjalani Tarwiyah di Mina terlebih dahulu."

Tahun ini, seramai 900 jemaah dari Singapura dalam kalangan kira-kira 1.8 juta umat Islam dari seluruh dunia yang menunaikan ibadah haji, dan akan menyempurnakan kemuncak ibadah iaitu Wukuf di Arafah esok (9 Zulhijjah).

Segala persiapan di Arafah juga sudah diselesaikan dan hanya menunggu ketibaan para jemaah.

Ustazah Juyda turut menjelaskan bahawa tempoh perjalanan dari Shisha ke Arafah bergantung kepada keadaan lalu lintas.

"Jika jalan lancar, perjalanan mungkin singkat. Tetapi jika berlaku kesesakan, ia boleh mengambil masa berjam-jam.Buat masa ini, kita tidak tahu lagi bagaimana prosesnya, tetapi keadaan di sini terlalu banyak sekatan jalan di sekitar Masyair, Pihak Arab Saudi kini mengetatkan kawalan untuk pastikan semua para jemaah mempunyai visa haji yang sah. Kami berdoa dan berharap perjalanan yang lancar sahaja,” jelas Setiuasaha AMTAS itu lagi.

Cik Faizah pula berkata: "Perjalanan trafik ke kawasan Masyair agak terkawal. Ada sekatan jalan raya di tempat pemeriksaan untuk memastikan hanya jemaah Haji yang ada permit Haji yang boleh memasuki kawasan Masyair. Kami hargai sekatan-sekatan ini untuk memastikan keselamatan para jemaah ke kawasan Masyair terjaga."

KEMUDAHAN UNTUK PARA JEMAAH DI ARAFAH

Beberapa khemah yang menempatkan jemaah Singapura mampu memuatkan lebih 200 orang pada satu-satu masa.

Ustazah Juyda Noor Mohamed memaklumkan bahawa pelbagai kemudahan telah disediakan di Arafah bagi memastikan kesejahteraan para jemaah Singapura semasa kemuncak ibadah haji, Wukuf di Arafah.

Antara kemudahan yang disiapkan termasuk tandas-tandas dengan jamban duduk bagi menggantikan jenis mencangkung, selaras dengan keperluan jemaah yang mungkin mempunyai cabaran fizikal.

“Kami disediakan antaranya dengan alat hawa dingin, kipas berdiri dan kipas dinding. Semua ini disediakan agar jemaah rasa selesa di dalam khemah walaupun cuaca di luar panas,” kata Ustazah Juyda.

Suhu di Tanah Suci dijangka mencecah lebih 35 darjah Celsius setiap hari.

Salah seorang jemaah dari GSA Jalaluddin Travel & Services, Encik Hanif Abdul Rahman, berkongsi persiapannya menjelang Wukuf di Arafah.

Encik Hanif berkata: "Walaupun telah lihat gambar-gambar dan video-video media sosial tetapi mungkin saya redha apa sahaja yang akan ditempuh nanti di sana. Lebih lebih lagi sewaktu musim panas ini. Saya dengar pun ada berita sekatan di Arafah. Jadi kita saya akan ikut sahaja arahan seperti tidak boleh keluar dari khemah. Minum air secukupnya tambah elektrolit. Mungkin tambah vitamin C. Mungkin ini semua untuk jaga kesihatan."

Seorang lagi jemaah, Cik Halimah Nordin, turut meluahkan rasa syukur.

"Saya rasa terharu dan terpilih pergi ke Arafah. Rasa terharu bercampur-baur. Dengan kesihatan saya tidak begitu baik, saya tetap dipilih untuk ke sana. Rasa gembira pun ya terharu pun ya. Mudah mudahan dengan kehadiran saya ke sana, Allah memberikan saya kesihatan," kata Cik Halimah Nordin, juga salah seorang daripada sekitar jemaah Jalaludin Travel & Services.
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita