Jemaah SG buat kali pertama terima Kad Nusuk sebelum tiba di Tanah Suci; PM Wong ucap selamat tunaikan ibadah haji
Para jemaah mengaktifkan Kad Nusuk mereka pada pagi 8 Mei di Masjid Sultan, menjelang keberangkatan ke Madinah pada awal pagi Sabtu pada 9 Mei 2026. (Gambar: MUIS)
SINGAPURA: Perdana Menteri Lawrence Wong melahirkan harapan agar jemaah haji Singapura tahun ini dapat melakukan "perjalanan yang selamat dan dapat menunaikan ibadah rukun kelima itu dengan penuh bermakna".
Beliau menulis demikian menerusi catatan di laman Facebooknya pada Sabtu (9 Mei).
PM Wong juga meluahkan rasa berbesar hati melihat keluarga, jiran dan pemimpin masyarakat bersama-sama menghantar jemaah haji ke Lapangan Terbang Changi dengan doa dan harapan.
Buat pertama kalinya juga, jemaah haji Singapura menerima Kad Nusuk mereka di Singapura sebelum mereka berangkat ke Tanah Suci.
Kad Nusuk, yang juga kad pengenalan rasmi bagi jemaah haji, mengandungi maklumat peribadi penting, memudahkan akses ke masjid-masjid di Tanah Suci, penginapan dan aturan pengangkutan semasa musim haji.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam dan juga Ketua Delegasi Haji 2026, Dr Faishal Ibrahim, hadir di Terminal 3 Lapangan Terbang Changi bagi mengiringi keberangkatan jemaah.
Dr Faishal berkata: "Tahun ini, buat pertama kalinya, jemaah haji Singapura menerima dan mengaktifkan Kad Nusuk mereka di Singapura sebelum berangkat ke Tanah Suci.
"Kad rasmi ini memudahkan akses kepada pelbagai perkhidmatan haji, termasuk urusan penginapan dan pengangkutan, serta membantu melancarkan proses ketibaan mereka di Arab Saudi."
Pendekatan ini akan membolehkan penyelarasan pergerakan jemaah yang lebih baik serta operasi haji yang lebih cekap, menurut kenyataan MUIS.
MUIS bekerjasama rapat dengan Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan Muslim Singapura (AMTAS), Kementerian Ehwal Luar (MFA), Kedutaan Diraja Arab Saudi di Singapura serta pihak berkuasa Arab Saudi untuk membuat persiapan ibadah haji.
Sejak awal Januari, pasukan SPAO sudah bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan berkaitan haji yang dilantik bagi menyelaraskan penginapan, perkhidmatan khemah di Arafah dan Mina, pengangkutan serta klinik perubatan di Makkah dan Madinah menjelang ketibaan jemaah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.