Jemaah Haji yang dimasukkan hospital di Makkah akibat pneumonia, selamat kembali ke tanah air
SINGAPURA: Seorang jemaah haji Singapura yang dimasukkan ke hospital di Makkah selamat pulang ke tanah air pada Khamis (27 Jul).
Beliau sepatutnya dijadualkan pulang bersama agensi pelancongannya pada 17 Julai lalu namun doktor menasihatkan agar beliau terus dirawat di hospital dan kadar kesihatannya tidak mengizinkan untuknya menaiki pesawat pulang.
Wanita berumur 73 tahun yang enggan namanya didedahkan, mengalami radang paru-parunya (pneumonia) sewaktu menjalankan rukun Islam kelima itu dan dimasukkan ke Hospital Nasional Saudi pada 12 Julai.
TERIMA RAWATAN DI HOSPITAL KEBANGSAAN SAUDI SELAMA HAMPIR 2 MINGGU
Beliau dirawat di hospital selama dua minggu. Mujur jemaah tersebut sudah mendapatkan perlindungan insurans kesihatan daripada syarikat ST&T International dan tidak perlu menanggung kos rawatannya.
"ST&T International diamanahkan oleh Ejen-ejen Pelancongan Muslim Singapura (AMTAS) untuk menyediakan bantuan perubatan kecemasan buat semua jemaah haji Singapura," kata Pengarah ST&T International, Dr Ammar Angullia.
Beliau yang pergi menunaikan ibadah haji bersama besannya, terpaksa dipisahkan. Namun, keluarganya di sini dan pihak GSA sering dimaklumkan tentang perkembangan kesihatannya.
Jemaah wanita itu juga tidak berseorangan di hospital selama dua minggu kerana beliau ditemani seorang jururawat peribadi yang dibiayai syarikat insurans.
Ini tidak termasuk khidmat ambulans khas dan kos-kos lain.
Jemaah berkenaan juga perlu dipasangkan alat pernafasan oksigen sepanjang perjalanan pulang.
Pihak syarikat insurans juga mendapatkan khidmat ambulans khas untuk membawanya ke hospital Tan Tock Seng (TTSH) sejurus pesawat yang dinaikinya mendarat di Lapangan Terbang Changi.
Menurut makluman yang diberikan oleh menantu pesakit, jemaah berkenaan kini dalam keadaan stabil dan masih sedang menerima rawatan di TTSH.
PERATUSAN JEMAAH GUNA PERLINDUNGAN INSURANS TAHUN INI DIANGGARKAN MENINGKAT
Dr Ammar Angullia juga menganggarkan jumlah jemaah yang menggunakan insurans perubatan meningkat tahun ini berbanding tahun lepas ekoran jumlah jemaah lanjut usia dan keadaan cuaca panas.
Walau bagaimanapun pihaknya masih belum boleh mendedahkan jumlah itu kerana urusan dan permohonan masih lagi dalam proses.
"Tahun ini, dengan peratusan warga lanjut usia yang menunaikan Haji, cuaca panas di Arab Saudi serta perjalanan sejauh 6 kilometer (KM), kami melihat lebih banyak kes tahun ini berbanding dengan tahun lepas di mana majoriti jemaah lebih muda ekoran keperluan visa dari pihak berkuasa Arab Saudi disebabkan ia adalah Haji pertama pasca pandemik COVID-19 tahun lepas," ujar Dr Hj Ammar.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.