Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jemaah haji tertua dari SG tekad dan gagahkan diri untuk sempurnakan ibadah

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Tidak dapat digambarkan rasa bersyukur Cik Sapiah Mamat dapat menunaikan ibadah haji tahun ini setelah penantian yang lama.

Beliau yang berusia 88 tahun merupakan jemaah haji paling berusia dalam kalangan lebih 1,400 jemaah haji dari Singapura tahun ini.

Cik Sapiah mendaftarkan dirinya pada 2013 dan terus menunggu bagi gilirannya.

“Sedih juga kenapa saya tidak dipanggil. Tunggu juga belum ada rezeki. Kalau ada panggil nanti. Begitu makcik doa siang dan malam.” kata Cik Sapiah kepada wartawan Fatyn Afiqah.
 
Pada Ahad (9 Jun), penantiannya berakhir dan berangkat ke Tanah Suci bersama anak perempuan dan menantunya.

Mereka mengikuti rombongan Jalaluddin Travel & Services.

RANCANG PERGI DENGAN KAWAN NAMUN KAWANNYA MENINGGAL DUNIA SEBELUM GILIRAN TIBA

Pada awalnya, Cik Sapiah rancang untuk tunaikan rukun Islam kelima itu bersama rakannya.

Namun, kawannya itu menemui ajal sebelum giliran mereka tiba.

Cik Sapiah redha dan bersyukur dapat ditemani anak dan menantunya.
Meskipun usianya mencecah hampir 90 tahun, beliau tetap kuat dan gagahkan diri untuk menyempurnakan ibadah hajinya.

Ibu kepada enam orang anak, 20 cucu dan empat cicit itu bersyukur juga diberi rezeki meskipun sudah lanjut usia.

“Hati gembira tidak boleh cakap. Dapat rezeki untuk dipanggil. Terima kasih akhirnya saya dapat. Saya siang malam berdoa juga.” ujar Cik Sapiah.

MINTA KEBENARAN DARI DOKTOR

Apabila menerima berita dia terpilih untuk pergi haji, dia meminta kebenaran daripada doktornya untuk melakukan perjalanan jauh itu.

“Lutut sakit, jantung, darah tinggi. Macam begitu sekarang ini. Penyakit itu sahaja. Hari-hari makan ubat.” ujar Cik Sapiah.

Doktor pesan kepadanya untuk mengambil ubat setiap hari.

Untuk itu, semua ubatnya sudah dibungkus dengan cermat untuk dibawa ke Tanah Suci.
Walaupun kakinya tidak begitu kuat dan menggunakan kerusi roda bagi perjalanan jauh, Cik Sapiah tetap membuat persiapan dari segi fizikal.

Menurutnya, beliau telah pergi ke kelas bersenam seperti zumba di Wisma Geylang Serai.

Untuk kekal aktif, beliau juga rajinkan diri untuk berjalan dan ada kalanya membeli-belah secara bersendirian.

Anda boleh ikuti lebih banyak perkongsian Cik Sapiah dalam siri video "Buat Apa Itu?" di laman media sosial BERITA Mediacorp.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan