Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jemaah haji tertangguh akibat syarat kesihatan pandemik harap diutamakan tahun ini

Anggaran Waktu Membaca:
Jemaah haji tertangguh akibat syarat kesihatan pandemik harap diutamakan tahun ini

(Encik Mohamad Said Omar bersama isterinya. Gambar: Rosli A Razak)

BERITAmediacorp: Encik Mohd Safwan Abdullah, 65 tahun, seharusnya berangkat ke Tanah Suci pada 2020, namun rancangannya tertangguh akibat COVID-19.

Keadaannya berulang pada 2021 apabila kerajaan Arab Saudi menutup sempadan sedang pandemik terus mencengkam dunia.

Tahun lalu pula, Encik Safwan tidak dapat menunaikan haji kerana gagal memenuhi kriteria had usia yang dikenakan kerajaan Arab Saudi iaitu hanya jemaah berusia di bawah 65 tahun dibenarkan ke Tanah Suci.

Isterinya menolak tawaran tersebut kerana ingin ke tanah suci bersamanya.

Encik Safwan teruja apabila mendapat Surat Penyataan Hasrat (LOI) untuk mengerjakan haji daripada Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) pada 12 Januari lalu.

"Dalam masa sejam selepas mendapat surat, saya terus membalas MUIS yang saya mahu pergi haji tahun ini. Saya lebih-lebih lagi gembira kerana kita sudah menunggu tiga tahun dan sekarang daripada apa yang saya tahu kerajaan Arab Saudi tidak ada halangan lagi. Sudah dibuka macam biasa, jadi insya-Allah, saya lebih yakin," kata Encik Safwan kepada BERITAmediacorp.

Pada tahun ini, MUIS menghantar surat penyataan hasrat itu kepada 1,500 bakal jemaah haji dalam senarai Sistem Pendaftaran Haji (AHRS).

Pemilihannya adalah berdasarkan tarikh pendaftaran mereka, atas dasar "siapa yang dahulu, akan didahulukan."

(Encik Mohd Safwan Abdullah. Gambar: Rosli A Razak)
TINGGI HARAPAN SEDANG USIA MENINGKAT

Encik Mohamad Said Omar, 67 tahun, juga berharap dapat mengerjakan haji tahun ini.

Seperti Encik Safwan, beliau juga terjejas dengan had umur yang ditetapkan tahun lalu.

Isterinya, Cik Mariati Mohamed Noor, 64 tahun, bagaimanapun tidak terjejas dan melaksanakan haji pada tahun lalu.
Encik Said berharap impiannya untuk melaksanakan ibadah haji dapat ditunaikan tahun ini.

"Selepas saya dapat surat, saya lihat saya dalam senarai menunggu. Jadi saya pun risau. Kenapa masih menunggu? Pada tahun lalu,saya sudah patut boleh pergi tetapi kerana COVID, saya tidak dapat pergi. Takkan sekarang saya dalam senarai menunggu? Saya risau lalu saya hubungi MUIS. Saya tanya sama ada saya dapat keutamaan atau tidak? MUIS kata Insya-Allah," kata Encik Said.

Tinggi harapan Encik Said untuk ke tanah suci, lebih-lebih lagi dengan usia yang semakin meningkat.

"Badan pun dah begitu sihat kan. Jalan pun sudah tidak kuat sangat. Insya-Allah saya akan pergi. Saya rasa ini peluang terakhir bagi saya," ujar beliau.

Kedua-dua Encik Safwan dan Encik Said berkata, sekiranya terpilih dan mendapat Surat Tawaran Rasmi (LOO), mereka akan meneruskan niat untuk mengerjakan haji meskipun ada kebimbangan harga pakej pada tahun ini mungkin lebih mahal sedikit.
Sumber : BERITA Mediacorp/RR/fa

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa