Skip to main content

Singapura

Jemaah haji SG yang terkandas terperanjat, kecewa tapi reda dengan apa yang berlaku

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Seramai 116 jemaah haji Singapura terkandas dan tidak dapat berangkat dinihari pada Jumaat (23 Jun), setelah penerbangan mereka dibatalkan ekoran masalah teknikal pesawat.

Para jemaah sudahpun masuk ke pesawat Saudi Airlines dan duduk dalam pesawat tersebut selama lebih empat jam sebelum menerima maklumat untuk turun dari pesawat dan pulang ke rumah terlebih dahulu.

BERITAmediacorp difahamkan bahawa para jemaah tiga agensi tempatan terjejas dengan pembatalan penerbangan iaitu TM Fouzy Travel & Tours, Hahneman Travel dan Shahidah Travel.
Turut terjejas adalah jemaah dari luar negara yang turut menaiki pesawat yang sama.

"Setelah diberitahu juruterbang pada jam 8.00 pagi bahawa penerbangan akan dibatalkan, kami semua rasa terperanjat dan berdukacita kerana kami memang sudah mempersiapkan diri bagi perjalanan kami menuju ke Baitullah," kata Encik Mohamad Ali Abdul Wahab, seorang jemaah yang terjejas kepada BERITAmediacorp.
(Gambar: Mohamad Ali Abdul Wahab)
Namun, beliau juga melihatnya sebagai satu "cobaan" untuk menjadikan semangat para jemaah semakin membara untuk menunaikan ibadah haji dan meneruskan perjalanan mereka ke Jeddah, dan seterusnya ke Makkah dan kemudian wukuf di Arafah.

"Sebenarnya saya mula-mula berniat untuk menunaikan haji tamaduk tapi ditunda satu hari," tambahnya lagi.

Menurut Encik Mohamad Ali, beliau melaporkan diri ke Lapangan Terbang Changi pada pukul 11.30 malam semalam (22 Jun) dan kemudian masuk ke dewan pelepasan pada jam 3.30 pagi.

Selain Encik Mohamad Ali, lebih 100 jemaah lain juga terjejas dan 35 daripadanya adalah jemaah agensi Hahnemann Travel.

Pegawai Hahnemann Travel, Encik Abdul Razib yang menghantar dan menguruskan para jemaah agensinya malam tadi memberitahu BERITAmediacorp bahawa beliau hanya dimaklumkan bahawa penerbangan akan ditunda sekitar pukul 8.00 pagi tadi.

"Perasaan kecewa itu ada sikitlah. Memang mereka tidak cakap apa-apa. Mereka semua reda dengan apa yang terjadi dan buat masa ini, alhamdulillah, jemaah pun faham tentang masalah ini," ujar Encik Abdul Razib.

Menurut Encik Abdul Razib lagi, para jemaah dimaklumkan pada pukul 10.00 pagi Jumaat bahawa mereka akan berangkat dengan pesawat Saudia SV3621 pada pukul 3.00 pagi pada Sabtu (24 Jun).

Mereka juga akan berangkat dengan pesawat Saudi Airkubes yang sama iaitu SV3621.

Para jemaah juga sudah diminta supaya mula berkumpul pada pukul 11.00 malam ini untuk menghadiri taklimat.

Ketika dihubungi BERITAmediacorp, seorang jurucakap Saudi Airlines pula mengatakan bahawa pesawat tersebut tidak dapat bertolak kerana terdapat masalah berhubung keperluan operasi.

Para penumpang yang terjejas bagaimanapun diberi sarapan dan mereka juga menerima duit pampasan bagi kos pengangkutan pulang ke rumah mereka.

Pihaknya turut meminta maaf kepada para penumpang yang terjejas.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita