Skip to main content

Singapura

Jemaah Haji SG berangkat bersama buat kali pertama, Dr Faishal ketuai delegasi

Anggaran Waktu Membaca:

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 25 Apr 2026 07:52PM Dikemas Kini : 03 May 2026 09:12PM
SINGAPURA: Buat pertama kalinya, kesemua 900 jemaah Haji Singapura akan berangkat dan pulang bersama menerusi tiga penerbangan langsung Saudia Airlines.

Demikian diumumkan semasa majlis taklimat sebelum keberangkatan di Pusat Konvensyen Suntec City siang tadi (25 April).

Menurut Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan Persatuan Agensi Pelancongan Islam Singapura (AMTAS), langkah baharu ini diperkenalkan bagi memperkemas perjalanan jemaah, khususnya di lapangan terbang.

Sebelum ini, jemaah sering berdepan ketidaktentuan waktu penerbangan serta tempoh menunggu yang panjang.

Menjawab pertanyaan BERITA Mediacorp, Setiausaha Kehormat AMTAS, Ustazah Juyda Noor Mohamad yang juga pengarah Noor Mohamad Services & Travel berkata: “Sebelum ini jemaah menghadapi ketidakpastian waktu penerbangan sama ada berlaku kelewatan atau perlu datang lebih awal ke lapangan terbang. Dengan penetapan waktu ketibaan mengikut agensi, ia mengurangkan keresahan jemaah dan juga tempoh menunggu di lapangan terbang."

Mengulas lanjut, Ustazah Juyda berkata bahawa dengan kerjasama yang diberikan oleh pihak Saudi, waktu ketibaan di lapangan terbang kini ditetapkan secara berperingkat mengikut agensi pelancongan, agar jemaah tidak datang serentak dan proses daftar masuk dapat berjalan dengan lebih teratur.

“Ini maknanya dengan ada kelonggaran ataupun waktu-waktu sebegini ini akan mengurangkan keresahan dalam kalangan para jemaah dan juga mengurangkan juga waktu mereka menunggu di lapangan terbang,” tambah beliau.

Ustazah Juyda merupakan antara lima pegawai Noor Mohamad Services & Travel yang akan mendampingi 67 jemaahnya.
Related article image
Setiausaha Kehormat AMTAS, Ustazah Juyda Noor Mohamad yang juga pengarah Noor Mohamad Services & Travel merupakan antara lima pegawai Noor Mohamad Services & Travel yang akan mendampingi 67 jemaahnya. (Gambar: BERITA Mediacorp/Batrisyia Kamal Baharim)
LEBIH RAMAI JEMAAH WARGA EMAS, SOKONGAN DIPERTINGKAT

Tahun ini juga, jumlah jemaah warga emas berumur 70 tahun ke atas juga lebih ramai iaitu sekitar lima peratus lebih tinggi berbanding tahun lalu.

Oleh itu, beberapa langkah lain juga diambil dalam memastikan keselamatan dan kesihatan jemaah dijaga rapi. Ini termasuk mempertingkatkan sokongan bagi golongan jemaah warga emas.

Selain itu, jadual perjalanan dan program di Tanah Suci juga disusun lebih fleksibel dan pemantauan kesihatan dipertingkat bagi memastikan jemaah dapat menunaikan ibadah dengan selesa.

"Jadi ini sebenarnya program-program yang diaturkan sebenarnya memang meliputi kesemua aspek usia tidak hanya fokus kepada jemaah yang sudah lanjut usia," ujar Ustazah Juyda.

Turut diumumkan ialah Ketua Delegasi Haji tahun ini iaitu Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Faishal Ibrahim.

Ini merupakan kali pertama beliau mengetuai rombongan Haji Singapura sejak memegang jawatan tersebut.
Related article image
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Faishal Ibrahim, sebagai Ketua Delegasi Haji tahun ini. (Gambar: MUIS)
KESELAMATAN JEMAAH TERUS DIUTAMAKAN DI TENGAH KETIDAKTENTUAN

Dalam ucapannya di majlis taklimat pra-keberangkatan di Pusat Konvensyen Suntec City hari ini (25 Apr), beliau turut menekankan bahawa keselamatan dan kesejahteraan jemaah kekal menjadi keutamaan.

Dr Faishal berkata: "Seperti tahun-tahun sudah, persiapan rapi telah dimulakan dari awal lagi. Banyak usaha telah diikhtiarkan supaya para jemaah dapat berangkat dengan lebih yakin dan tenang."

“MUIS telah bekerjasama rapat dengan AMTAS, ejen pelancongan haji yang dilantik, penyedia khidmat serta rakan-rakan di Arab Saudi, termasuk Kementerian Haji dan Umrah, bagi membuat persiapan untuk musim haji tahun ini,” katanya.

Ini termasuk mempertingkat pemantauan terhadap perkembangan di Timur Tengah serta menilai semula persiapan secara berterusan bagi memperkukuh penyelarasan, di samping melaksanakan langkah tambahan dan pelan kontingensi.

“Pihak berkuasa terus memantau keadaan dengan teliti serta menyediakan pelan kontingensi bagi memastikan perjalanan haji berjalan lancar," tegasnya yang telah melawat Arab Saudi pada November 2025.

Dr Faishal turut mengingatkan para jemaah untuk menjaga kesihatan, mematuhi panduan yang diberikan dan mendapatkan sokongan yang disediakan apabila diperlukan.

Berkaitan dengan kad Nusuk pula, jemaah Haji Singapura akan diberikan kad itu sebelum mereka berangkat nanti.

Sebelum ini, kad tersebut diberikan kepada para jemaah apabila mereka tiba di Tanah Suci.

Kad Nusuk merupakan dokumen rasmi Arab Saudi yang mengandungi maklumat peribadi anggota jemaah, menyediakan akses ke tapak-tapak suci dan butiran penginapan dan pengangkutan.

Seramai 11 anggota Pejabat Ehwal Jemaah Singapura (SPAO) termasuk Ketua Delegasi, Pengarah Pejabat Haji, Ketua SPAO, pegawai jemaah, pegawai agama dan ketua pegawai perubatan, akan ditugaskan menjaga kebajikan para jemaah di tapak suci bersama-sama para pegawai GSA masing-masing.

Rombongan pertama jemaah Singapura dijadualkan berangkat pada 9 Mei dan kumpulan terakhir akan berangkat pada 14 Mei.
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita