Jemaah haji S'pura dapat pelbagai khidmat 'dinaik taraf', khemah lebih baik tahun ini
Suhu di Tanah Suci dalam musim haji kali ini dijangka begitu panas - mungkin mencecah sehingga 50 darjah selsius.
BERITAmediacorp: Suhu di Tanah Suci dalam musim haji kali ini dijangka begitu panas - mungkin mencecah sehingga 50 darjah selsius.
Lantaran itu, lokasi khemah baru jemaah Singapura di Muaisim dijangka membantu para jemaah yang perlu berjalan untuk melontar jamrah.
Ini kerana khemah baru itu dianggarkan hampir setengah kilometer lebih dekat, atau sekitar 3 kilometer dari tapak jamrah. Ini berbanding lokasi khemah-khemah lama yang terletak sekitar 3.4 kilometer daripada tempat melontar jamrah.
Demikian dedah Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan Muslim Singapura (AMTAS), Ustaz Tengku Mohd Fouzy, mengenai perkhidmatan yang dinaik taraf dan lebih selesa untuk jemaah Singapura kali ini.
"Khemah itu akan lebih baik dengan alat hawa dingin yang lebih kuat, kerana tahun ini musim panas, suhu panas itu sampai ke 50 darjah Selsius. Dan tempat akan lebih luas sedikit, atau selesa, kalau tidak yang dulu-dulu agak sempit.
"Dari perkhidmatan makan minum, mereka akan siapkan secara bufet, air panas, air sejuk, jus, akan disiapkan 24 jam," kata Ustaz TM Fouzy secara eksklusif kepada BERITAmediacorp tentang ciri-ciri dan khidmat tambahan yang akan dinikmati para jemaah haji Singapura.
'SOFA-BED' UNTUK SETIAP JEMAAH
Syarikat-syarikat pengendali haji seperti Shahidah Travel & Tours mengalu-alukan perkembangan ini sebagai "berita gembira" untuk para jemaah Singapura.
Pengarah Urusan Shahidah Travel, Encik Ayoob Angullia memberi pendapat bahawa jarak lebih dekat antara khemah dan jamrah itu pasti melegakan ramai jemaah Singapura yang menurutnya "banyak yang dah uzur dan orang yang tua-tua".
Pihak kami juga difahamkan bahawa ruang khemah lebih luas dan selesa itu boleh memberi ketenangan jiwa kepada para jemaah untuk menumpukan perhatian kepada ibadah.
"Kita ada ruang lebih besar lagi untuk Mina dan di Arafah untuk kita berehat, dan diberi kita 'sofa-bed', Alhamdulillah. Dan ia akan digunakan dan berguna untuk kita baring dan untuk kita duduk, dan kita boleh alihkan apabila kita ingin lakukan untuk solat atau berzikir insya-Allah," jelas Encik Ayoob.
KOS TAMBAHAN S$200 BAGI SETIAP JEMAAH, TAPI BAYAR $100 SAHAJA
Penggunaan khidmat yang "dinaik taraf"atau dipertingkat ini sebenarnya dicadangkan dan ditawarkan kepada Singapura hanya seminggu lalu oleh pihak Muassasah Haji Asia Tenggara di Arab Saudi, dedah Ustaz TM Fouzy. Pihak Singapura, tambah beliau, dinasihatkan supaya mengambilnya.
Pendeknya, ia meliputi pelbagai khidmat tambahan serta penginapan di khemah-khemah lebih baik di Arafah dan Mina, berbanding tahun-tahun sudah.
Bagaimanapun, khidmat itu juga memerlukan sedikit kos tambahan, iaitu lagi S$200 bagi setiap jemaah. Namun pihak agensi haji atau GSA, tampil dengan huraian murah hati.
"Oleh kerana perkara ini mendadak dan jemaah pun kemungkinan tak bersedia untuk menambahkan kos perbelanjaan itu, maka pihak AMTAS telah dapat persetujuan daripada semua GSA.
"Jadi S$100 pihak GSA akan menanggungnya dan S$100 pihak jemaah perlu menambahkan akan kos yang sudah sedia mereka bayar," jelas Ustaz TM Fouzy kepada BERITAmediacorp.
Yang pasti, semua itu diharap membantu melancarkan dan menyempurnakan lagi ibadah para jemaah Singapura pada tahun ini, dan mungkin pada tahun-tahun mendatang.
"Apa yang diberikan dari kerajaan Saudi kepada kita ini syukur Alhamdulillah, terima kasih kepada kerajaan Saudi, untuk mempelawa kita untuk mendapat khidmat ini, semoga dapat kita aturkan haji yang terbaik untuk para jemaah Singapura kita insya-Allah," kata Encik Ayoob menggulung wawancara.
Kumpulan pertama jemaah haji tahun ini dijadual berangkat Sabtu ini (20 Jul) manakala kumpulan terakhir pula berlepas pada 5 Ogos.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.