Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jemaah boleh kembali rapatkan saf solat jemaah di masjid bermula 25 Feb

Anggaran Waktu Membaca:
Jemaah boleh kembali rapatkan saf solat jemaah di masjid bermula 25 Feb

(Gambar fail: Majlis Ugama Islam Singapura/Facebook)

BERITAmediacorp: Bermula Jumaat ini (25 Feb), masjid-masjid di merata Singapura tidak lagi perlu melaksanakan jarak 1 meter antara jemaah bagi saf-saf solat berjemaah.

Ini bermakna, para jemaah boleh kembali merapatkan saf semasa solat berjemaah sebagaimana lazimnya sebelum pandemik.

Berita baik ini disahkan sendiri sebilangan pegawai masjid yang enggan dinamakan, semasa dihubungi BERITAmediacorp.

Pihak kami juga dimaklumkan bahawa masjid-masjid sudah boleh menanggalkan semua tanda pelekat dalam dewan solat mahupun di tempat wuduk dan tandas selepas waktu Isyak esok (24 Feb). Tanda pelekat tersebut yang digunakan sehingga hari ini, bertujuan mewujudkan jarak selamat 1 meter bagi jemaah atau pengguna.

Dengan perubahan-perubahan itu, masjid-masjid sebenarnya sudah boleh mengadakan solat berjemaah dengan saf disusun rapat bermula dari waktu subuh lagi pada Jumaat ini.

Namun demikian, pegawai-pegawai masjid memberitahu kami bahawa ada masjid yang masih memilih untuk mengadakan solat jemaah 'tanpa ada renggang' bermula dengan solat Jumaat.

(Gambar-gambar fail: Majlis Ugama Islam Singapura/Facebook)

SELARAS DENGAN PROTOKOL MTF

BERITAmediacorp cuba mendapatkan pengesahan dari Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mengenai perkembangan ini, namun badan itu belum dapat memberi sebarang kemas kini.

Yang pasti, langkah membolehkan jemaah bersolat dengan saf yang rapat adalah selaras dengan pengumuman terkini oleh Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) minggu lalu.

Iaitu, langkah menjaga jarak selamat tidak lagi perlu dilaksanakan bagi semua acara keagamaan, asalkan pelitup masih digunakan.

Jumlah pengunjung atau jemaah di semua rumah ibadat juga tidak lagi perlu dihadkan bermula 4 Mac. Jumlah jemaah hanya perlu dihadkan kepada 50 peratus kapasiti tempat ibadat sekiranya acara itu dihadiri lebih daripada 1,000 orang.

LEBIH RAMAI BOLEH DATANG MASJID, TIDAK PERLU SOLAT IKUT ZON

BERITAmediacorp dimaklumkan bahawa para pegawai masjid tempatan sebenarnya sudah mengikuti satu sesi taklimat pada Selasa (22 Feb).

Dalam taklimat itu, mereka antara lain diberitahu bahawa lebih banyak kelonggaran boleh dilaksanakan pada bulan depan.


Ini antara perincian lain yang dimaklumkan kepada kami:

Bermula 4 Mac, solat Jumaat akan diadakan menerusi dua sesi sahaja - tidak lagi tiga sesi. Sesi pertama antara 1.00 hingga 1.45 petang, sementara sesi kedua antara 2.15 hingga 3.00 petang.

Bilangan jemaah yang boleh mengikuti solat Jumaat juga akan lebih besar. Ini kerana masjid-masjid akan dibolehkan menyambut sehingga 2,000 jemaah pada satu-satu masa.

Semua perubahan ini akan memerlukan pihak masjid membuat beberapa penyesuaian seperti memastikan jemaah dapat memasuki pekarangan masjid dengan lebih mudah, dengan jumlah pembatas fizikal yang digunakan akan jauh berkurangan.

APA YANG TIDAK BERUBAH?

Menurut maklumat yang dimaklumkan kepada kami, selain sentiasa perlu memakai pelitup, anda yang menyertai solat jemaah juga masih perlu membawa sejadah sendiri sebagaimana peraturannya sekarang.

(Gambar fail: Masjid Al-Ansar/Facebook)

Peraturan Langkah Pengurusan Selamat Berdasarkan Status Vaksinasi (VDS) yang dilaksanakan di 66 masjid tempatan sejak 1 Feb juga akan dikekalkan.

Ini bermakna jemaah yang tidak divaksin tidak dibenarkan menyertai solat jemaah bagi solat waktu ataupun solat Jumaat.

Masjid-masjid tempatan dalam pada itu akan terus melaksanakan kaedah 'Safe Entry' untuk mengurus dan memantau jemaah yang masuk ke masjid.

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan