Skip to main content

Singapura

jelasBERITA: Warga emas bentuk hampir 50% kes beri makan kepada burung secara haram - apa yang boleh dilakukan?

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Warga emas bentuk hampir 50% kes beri makan kepada burung secara haram - apa yang boleh dilakukan?
Gambar fail burung merpati di kolong flat HDB. (Gambar: iStock/WC Tan)
Diterbitkan : 17 Mar 2026 08:46AM Dikemas Kini : 17 Mar 2026 08:57AM
SINGAPURA: Selepas bertahun-tahun menjadi warga emas yang mematuhi undang-undang, sesetengah warga emas menjadi penjenayah kali pertama pada usia tua apabila mereka mula memberi makan secara haram kepada burung merpati.

Secara purata, Lembaga Taman Negara (NParks) menerima aduan hampir 320 kes memberi makan burung secara haram setiap tahun antara 2023 dan 2025.

Kira-kira separuh daripada kes-kes tersebut melibatkan warga emas berumur 65 tahun ke atas, menurut Pengarah Kumpulan Pengurusan Hidupan Liar NParks, How Choon Peng, kepada Mediacorp.

Agensi perkhidmatan sosial Lions Befrienders menganggarkan bahawa daripada 13,000 warga emas yang didampinginya, kira-kira 0.5 hingga 1 peratus daripada mereka terlibat dalam memberi makan secara haram kepada haiwan liar.

Ini bersamaan dengan kira-kira seorang warga emas daripada setiap enam hingga tujuh blok perumahan awam yang disediakan khidmat oleh agensi tersebut. Ia mengendalikan 10 pusat penuaan aktif di serata Singapura, dan perkhidmatan kesejahteraan lain untuk warga emas.

Skala masalah ini tidak besar, tetapi tingkah laku sedemikian cenderung berterusan dan ia boleh menimbulkan kemarahan, kata Pengarah Eksekutif Lions Befrienders, Karen Wee.

Pengetahuan tentang faktor-faktor yang mendasarinya, termasuk keperluan untuk menjalin persahabatan dan mewujudkan struktur, boleh membantu membentuk respons terhadap tabiat degil memberi makanan secara haram kepada burung.

“Jika anda menghuraikannya, secara teknikal, ia boleh difahami,” kata Cik Wee.

MEMAHAMI SEBABNYA

Kes warga emas berulang kali memberi makan kepada burung dan melepaskan burung dalam operasi memerangkap yang bertujuan untuk mengawal jumlah burung telah menjadi tajuk berita sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Memberi makanan kepada hidupan liar tanpa kelulusan bertulis daripada pihak berkuasa di Singapura adalah satu kesalahan. Pesalah boleh didenda sehingga S$5,000 untuk kesalahan pertama, dan sehingga S$10,000 untuk kesalahan berikutnya.

Dalam satu kes, denda S$1,200 tidak mencukupi untuk menghentikan seorang wanita berusia 70-an, yang didenda lagi S$3,200 apabila dia memberi makanan kepada burung merpati sekali lagi berhampiran flatnya di Toa Payoh.

Sesetengah warga emas juga telah melanggar undang-undang dengan mengganggu operasi perangkap burung, termasuk membuat bunyi bising untuk menghalau burung merpati dan memotong tali kabel untuk melepaskan perangkap burung gagak.

NParks mengambil tindakan terhadap aduan yang diterima dengan menyiasat, melibatkan diri dan campur tangan dalam masyarakat, serta mengambil tindakan penguatkuasaan.

Tetapi sesetengah kes sukar ditangani, melibatkan sesetengah anggota masyarakat yang rentan dan pesalah berulang, kata Encik How.

Cik Wee dari Lions Befrienders mengaitkannya dengan beberapa faktor, termasuk tabiat, pengasingan sosial, kepercayaan rohani dan kemungkinan mengalami gangguan kognitif ringan.

Sesetengah warga emas membentuk tabiat memberi makanan kepada burung untuk menebus kehilangan rutin dan struktur dalam hidup mereka, yang mungkin mereka perolehi daripada pergi bekerja ketika mereka muda dahulu.

Kesunyian mungkin mendorong mereka untuk mencari persahabatan dalam kalangan burung dan haiwan lain, kata Cik Wee.

Kepercayaan rohani tentang kebaikan dan karma, yang dalam amalan Buddha boleh mengambil bentuk "pelepasan nyawa" atau membebaskan haiwan ke alam liar, mungkin menjadi pengaruh, tambahnya.

Gangguan kognitif ringan juga mungkin menjelaskan mengapa sesetengah warga emas tidak dapat memahami bagaimana memberi makan sebegini boleh membahayakan haiwan walaupun selepas ia dijelaskan berulang kali kepada mereka, katanya lagi.

Tidak dapat merasionalkan penjelasan ini, mereka mungkin terus mendasarkan tindakan mereka kepada pengalaman zaman kanak-kanak yang positif dengan memberi makan kepada haiwan dan pengajaran zaman kanak-kanak tentang mengurangkan pembaziran makanan, kata Cik Wee.

Cik So Man Shan, pengurus di Pusat Penuaan Aktif AWWA, bersetuju bahawa warga emas mungkin mendapat rasa rutin dan hubungan dengan persekitaran mereka dengan memberi makan kepada burung.

 
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita