Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

jelasBERITA: Tidak dapat mengundi 1 Sep nanti? Ini yang akan berlaku

Anggaran Waktu Membaca:
 jelasBERITA: Tidak dapat mengundi 1 Sep nanti? Ini yang akan berlaku
Diterbitkan : 21 Aug 2023 09:36PM Dikemas Kini : 23 Aug 2023 02:19PM
SINGAPURA: Rakyat Singapura akan tahu pada Hari Penamaan Calon, Selasa (22 Ogos), jika mereka akan mengundi bagi Pilihan Raya Presiden 2023.

Jika lebih daripada seorang calon layak bertanding, mereka akan keluar mengundi pada 1 September.

Namun, memandangkan 1 September adalah permulaan cuti sekolah penggal ketiga, mungkin ada di antara kita yang sudah membuat perancangan dan membeli tiket untuk keluar negara. Ini bermakna, ada yang akan terlepas peluang untuk mengundi.

Jadi, apa yang akan berlaku sekiranya anda tidak mengundi pada1 September nanti? Adakah ia membawa sebarang kesan ke atas anda pada masa akan datang dan apa yang perlu anda lakukan? Kami jelaskan…

APA AKAN BERLAKU JIKA SAYA TIDAK MENGUNDI?

Mengundi adalah wajib kerana ia adalah hak asas kerakyatan serta tanggungjawab sivik yang perlu dijalankan oleh rakyat. Semua rakyat Singapura berusia 21 tahun dan ke atas wajib mengundi. Tahun ini kira-kira 2.7 juta orang layak mengundi.

Usai sahaja pilihan raya, Pegawai Pengurus undi akan mengumpulkan nama-nama pengundi yang layak namun tidak keluar mengundi.

Nama-nama itu kemudian diserahkan kepada Pegawai Pendaftaran, yang akan mengeluarkan nama mereka daripada senarai pengundi yang disahkan.

BOLEHKAH SAYA MENGUNDI DALAM PILIHAN RAYA SETERUSNYA?

Ini bermakna anda tidak boleh mengundi dalam pilihan raya akan datang - baik Pilihan Raya Umum atau Pilihan Raya Presiden. Anda juga tidak layak menjadi calon bagi kedua-dua pilihan raya.

SAYA TIDAK BOLEH MENGUNDI LAGI BUAT SELAMA-LAMANYA?

Jangan bimbang. Anda boleh membuat permohonan untuk mengembalikan nama anda sebagai pengundi.

Permohonan boleh dibuat online di laman Jabatan Pilihan Raya (ELD),  di mana-mana kelab masyarakat atau datang sendiri ke bangunan ELD.

Sekalipun demikian, anda mesti menjelaskan sebab anda tidak mengundi dalam pilihan raya sebelumnya.

Yuran S$50 akan dikenakan jika anda tiada sebab yang sah atau wajar. Permohonan juga hanya boleh dibuat sebelum Writ Pilihan Raya seterusnya dikeluarkan.

APAKAH SEBAB YANG BOLEH DITERIMA?

Antara sebab yang boleh diterima oleh ELD termasuk:
  • bekerja di luar negara semasa hari mengundi
  • menuntut di luar negara semasa hari mengundi
  • menetap bersama pasangan yang bekerja atau belajar di luar negara
  • bercuti di luar negara
  • sakit atau melahirkan bayi
Apabila tarikh pilihan raya diumumkan dan anda mengetahui bahawa anda tidak dapat mengundi atas sebab-sebab relevan seperti yang tertera di atas, anda boleh membuat permohonan awal untuk mengembalikan nama anda ke dalam senarai pengundi.

Namun permohonan yang diterima semasa tempoh pilihan raya hanya akan diproses selepas senarai nama-nama yang gagal mengundi dikumpulkan setelah selesai pilihan raya.

Jika anda tiba-tiba mendapati anda boleh mengundi dalam pilihan raya yang menjelang, anda masih boleh keluar mengundi. Permohonan awal yang sudah dibuat akan dibatalkan secara automatik.
Sumber : BERITA Mediacorp/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan