Skip to main content

Singapura

jelasBERITA: Siapa sebenarnya Amir Hamza yang disiasat kerana dakwah tanpa permit di SG?

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Siapa sebenarnya Amir Hamza yang disiasat kerana dakwah tanpa permit di SG?

Amir Hamza berdakwah, tanpa terlebih dahulu mendapatkan izin, di dormitori Lantana Lodge di Tuas. (Petikan gambar: Md Naim Sarkar/Facebook)

SINGAPURA: Kementerian Ehwal Dalam Negeri pada Rabu (21 Ogos) mendedahkan pihaknya sedang menyiasat seorang lelaki Bangladesh bernama Amir Hamza kerana berdakwah, tanpa terlebih dahulu mendapatkan izin, di dormitori Lantana Lodge di Tuas.

Siapa sebenarnya Amir Hamza?
Individu itu menarik perhatian ramai di Bangladesh kerana dipercayai menyebarkan fahaman pelampau dan malah mempunyai kaitan dengan pengganas.

Dalam khutbahnya, Amir dilaporkan menggalak sikap tidak bertolak ansur antara kumpulan agama, selain menghasut kebencian dan keganasan.

Dia juga dipercayai seorang sosok dikenali dalam sebuah persatuan pengganas yang beroperasi di Bangladesh dan menyokong Al-Qaeda.

Pada 2021, Amir ditangkap kerana ceramahnya dikatakan mempengaruhi seorang suspek pengganas yang mengatur rancangan untuk menyerang Parlimen Bangladesh.

Amir dilaporkan sengaja salah mentafsirkan ajaran agama dan menyebarkan fahaman pelampau menerusi khutbah-khutbahnya.

Dia dibebaskan dengan ikat jamin pada Disember lalu sementara menunggu untuk dibicarakan.
Related article image
Amir Hamza berdakwah di Bangladesh. (Petikan gambar: Tafsir Mahfil Media/YouTube)
Singapura sebelum ini melarang beberapa pendakwah asing daripada memasuki Singapura.

Pada 2017, dua pendakwah Kristian dilarang masuk selepas mengeluarkan komen-komen yang menghina agama lain.

Pada tahun yang sama, sebilangan pendakwah asing Islam juga tidak dibenarkan memasuki Singapura. Mereka merancang untuk berdakwah di atas kapal pesiaran yang bertemakan agama. Kapal persiaran itu berangkat dan kembali ke Singapura.

Pada 2022, pendakwah Indonesia Abdul Somad Batubara, yang terkenal dengan ajaran pelampau dan pengasingan, dihantar pulang ke Batam pada hari yang sama.
Meskipun pihak berkuasa Singapura menjalankan pelbagai usaha, seorang penganalisis menegaskan bahawa masyarakat harus kekal berwaspada.

Orang ramai misalnya boleh membuat aduan kepada pihak berkuasa jika mereka mendapat tahu tentang seorang individu yang mencurigakan sedang menyampaikan ceramah agama walaupun tidak mempunyai permit.

Zamil Kanan Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam Dr Mohamed Ali juga mengingatkan masyarakat agar berhati-hati apabila mendengar ceramah pendakwah asing seperti Amir Hamza.

"Pengaruh individu sepertinya sama seperti pada masa lampau, iaitu ketika ada Anwar Awlaki, Musa Cerantonio dan banyak lagi," tegas Dr Ali yang juga pengerusi bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG).

Beliau menambah, wujudnya individu seperti Amir Hamza, yang tidak hanya menyebar ajaran pelampau tetapi mempunyai hubungan dengan persatuan pengganas, "sesuatu yang sangat membimbangkan".
Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita