Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

jelasBERITA: Siapa Noor Deros dan apakah dibangkitkannya di media sosial?

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 26 Apr 2025 07:57PM Dikemas Kini : 26 Apr 2025 11:29PM

SINGAPURA: Parti Pekerja (WP) pada Sabtu (26 Apr)memberikan penjelasan mengenai pertemuan melibatkan seorang guru agama, di mana parti itu mendedahkan bahawa "tiada janji" dibuat kepada guru agama itu, atau sesiapa sahaja, bagi mendapatkan sokongan politik untuk calon-calon WP.

Guru agama itu dikenal pasti sebagai "Noor Deros" di laman Facebook atau nama sebenarnya Mohammed Noor Mohammed Deros.

Siapa sebenarnya Noor Deros ini?

LATAR BELAKANG

Menurut laman Infaq.SG, dia adalah seorang lulusan Madrasah Al-Aljunied Al-Islamiah dan graduan Universiti Al-Azhar di Mesir dalam Sarjana Muda Usuluddin (Aqidah & Falsafah).

Dia juga mantan presiden PERKEMAS di Kaherah selama dua tahun dari 2006 hingga 2007.

Dia juga pernah berkhidmat sebagai eksekutif Jabatan Pemikir Islam Masjid En-Naeem dari 2009 hingga 2011.

Menurut laman Persatuan Kesedaran Dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA) Malaysia, dia mengajar kelas-kelas Islam sebagai penceramah bebas dari 2012 hingga 2015.

Noor Deros juga pernah berkhidmat sebagai penolong editor bagi sebuah majalah Islam di Singapura yang diterbitkan dalam Bahasa Melayu dan Inggeris, Vizier.

Dia juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Dakwah di Nur Hijra Consultancy Services, Singapura.

Sekarang ini, Noor Deros aktif mengajar Akidah Islam, terutamanya mengenai menghadapi cabaran yang ditimbulkan oleh falsafah Barat di Johor Bahru, Selangor dan Kuala Lumpur.

Noor Deros juga merupakan pengamal ruqyah dan psikoterapi Islam sejak hampir satu dekad dan kini menawarkan perkhidmatan itu melalui MIASA sebagai Naib Presiden 2.

Dalam usaha memerangi riba, dia juga telah menulis sebuah buku mengenai Sejarah dan Undang-Undang Mata Wang Fiat dari Perspektif Fiqh Tradisional.

GERAKAN 'WEARWHITE'

Pada 2014, Noor Deros juga mengadakan gerakan "Wearwhite" di Singapura bagi menyeru umat Islam di sini supaya menentang tekanan budaya dan politik daripada kumpulan-kumpulan LGBT.

Bulan Ramadan pada 2014 dijangka bermula pada 29 Jun 2014, dan solat tarawih pertama dijangka diadakan pada Sabtu malam, 28 Jun 2014, iaitu hari yang sama Pink Dot 2014 dijadualkan berlangsung di Hong Lim Park.

Ketika itu, dia menggesa umat Islam supaya memakai pakaian putih ke solat tarawih pertama pada hari tersebut.

Lambang kempen itu adalah titisan putih dengan latar belakang hitam, dengan beberapa penyokong turut menggunakannya sebagai gambar profil Facebook mereka ketika itu.

CATATAN MEDIA SOSIAL

Beberapa catatan oleh Noor Deros tular sejak beberapa hari lalu, termasuk senarai tuntutannya untuk parti-parti politik di Singapura, yang bertajuk 'Aspirations, Demands and Offers from a Malay-Muslim
Ustaz to Contesting Political Parties in Singapore GE2025'.

Tuntutannya termasuk penubuhan Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam dan menjadikan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) sebagai sebuah badan bebas.

Pada 23 April, dia mendakwa bahawa Parti Pekerja (WP) adalah satu-satunya parti yang telah memberikan respons kepada tuntutannya, tetapi menambah bahawa mereka tidak membuat "janji konkrit".

Noor Deros juga membuat senarai empat tuntutan lanjut dalam catatan itu.

Apabila ditanya dalam ruang komen Facebook siapa dalam WP yang telah bercakap dengan beliau, Noor Deros menjawab: "Semua calon Melayu".

Dalam catatan lain, Noor Deros mengkritik Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli, sambil menuduhnya gagal mempertahankan hak dan aspirasi masyarakat Melayu/ Islam dan menyeru penduduk GRC Tampines supaya "melakukan perkara yang wajar".

Petikan skrin komen yang dibuat oleh Noor Deros di Facebook, di mana dia kata dia telah bertemu dengan semua calon Melayu Parti Pekerja.
Petikan skrin catatan Facebook yang dibuat oleh Noor Deros.
Noor Deros kemudian berkata pada 24 April bahawa jika WP "tidak memberikan respons kepada tuntutan meluas masyarakat Islam untuk menolak normalisasi LGBT dan menangani keprihatinan utama lain, maka saya menggesa agar kita mengundi calon, bukan parti".

Sekitar tengah malam pada 26 April pula, Noor Deros membuat catatan Facebook lain di mana dia menjelaskan bahawa WP telah "menerima" permintaannya, tetapi itu tidak sama dengan "bersetuju" dengan permintaannya.

"'Memandang serius' tidak semestinya bermaksud 'bersetuju dan berjanji untuk melaksanakannya'," tambahnya, sambil merujuk kepada catatan sebelumnya bahawa WP adalah satu-satunya parti yang memandang serius terhadap tuntutannya.

RESPONS WP

Dalam kenyataannya pada 26 April, WP menyatakan bahawa ia bertemu dengan pelbagai anggota masyarakat agama Singapura, tanpa mengira kaum atau agama.

"Dalam pertemuan dengan pemimpin agama lain di mana Noor Deros hadir, WP mengesahkan tiada janji, komitmen atau perjanjian dibuat kepada mana-mana individu, termasuk Noor Deros, bagi mendapatkan sokongan politik untuk calon-calon WP," jelas WP.

Ia juga menekankan ucapan yang dibuat di Parlimen oleh ketua parti Pritam Singh serta Encik Faisal Manap tentang jangan mencampuradukkan agama dan politik.

"Kami tetap komited kepada masyarakat sekular, berbilang kaum dan agama di Singapura, dan melindungi integriti proses pilihan raya kita," kata parti pembangkang itu.

Dalam kenyataannya pada 25 April, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Jabatan Pilihan Raya (ELD) menyatakan bahawa kedua-dua pihak mengenal pasti "beberapa warga asing" yang cuba mempengaruhi Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) dan menambah: "Kita tidak boleh mencampuradukkan agama dan politik. Singapura adalah sebuah negara sekular.

"Membawa agama ke dalam politik akan melemahkan perpaduan sosial dan keharmonian, seperti yang kita lihat di negara-negara lain dengan politik berlandaskan kaum atau agama."
Sumber : BERITA Mediacorp/IM/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan