Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

jelasBERITA: Siapa bersalah dalam nahas libatkan pemandu dan pejalan kaki melintas sembarangan?

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Siapa bersalah dalam nahas libatkan pemandu dan pejalan kaki melintas sembarangan?

Seseorang melintas sebarangan di jalan raya. (Gambar fail: Jeremy Long)

SINGAPURA: Pada November, sebuah video menjadi viral di media sosial apabila ia menunjukkan seorang wanita melintas jalan sembarangan meskipun lampu trafik merah bagi pejalan kaki.

Rakaman kamera dari dalam kereta menunjukkan wanita itu dilanggar sebuah kenderaan dan kemudian dia terjatuh.

Pada awal 2024, seorang pemandu dipenjara dua bulan dan tidak dibenarkan memandu selama lapan tahun selepas melanggar seorang remaja sehingga menyebabkan kematian. Pada waktu itu, remaja berkenaan juga sedang menyeberang jalan sekalipun lampu merah bagi pejalan kaki.

Siapa yang bertanggungjawab atas kemalangan antara pemandu dengan pejalan kaki melintas sembarangan?

Persoalan awal adalah siapa yang menyebabkan kemalangan berlaku dan siapa yang sebenarnya mempunyai hak laluan, menurut peguam di DL Law Corporation Ganesan Nachiappan.

Liabiliti - atau dalam istilah mudah, siapa yang menanggung pada kesalahan - ditentukan apabila menilai keadaan sedemikian yang membawa kepada kemalangan.

"Walaupun pejalan kaki bersalah, sebahagian liabiliti masih terletak pada pemandu, memandangkan pemandu perlu memikul tanggungjawab berhati-hati terhadap pengguna jalan lain yang lain," kata beliau.

Faktor-faktor yang perlu dipertimbangkan termasuk sama ada pemandu sedang memandu dengan laju atau sentiasa awas selain mematuhi peraturan trafik.

Meskipun pejalan kaki secara amnya kurang liabilitinya, mereka boleh dipertanggungjawabkan dalam kes-kes di mana tindakan mereka menjadi punca kemalangan, tambah Encik Ganesan.

Misalnya, apabila lampu merah menyala dan pejalan kaki tetap melintas jalan, mereka secara automatik dipertanggungjawabkan kerana meletakkan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain dalam bahaya, kata beliau.

"Faktor-faktor yang dipertimbangkan termasuk masa kejadian atau lokasi pejalan kaki semasa kenderaan melanggar mangsa," ujar beliau.

"Jika pejalan kaki baru sahaja hendak mula melintas semasa lampu merah, liabilitinya, dalam kebanyakan kes adalah pada pejalan kaki."

Dalam satu keputusan Mahkaman Tinggi pada 2004, seorang penunggang motosikal yang melanggar pejalan kaki dan menyebabkan kematiannya, menjelaskan perkara itu.

"Seseorang pengguna jalan raya perlu sentiasa bertanggungjawab untuk mengawasi keadaan trafik. Gagal berbuat demikian akan dilihat sebagai satu kecuaian," kata Pesuruhjaya Kehakiman pada waktu itu V K Rajah.

"Kegagalan ini boleh dikurangkan jika dapat dibuktikan bahawa bahaya tidak dapat dilihat oleh pemandu atau terdapat keadaan tertentu yang menyebabkan pemandu tidak awas seperti biasa."

Bagaimana jika kemalangan berlaku di lintasan berlampu isyarat?

Meskipun lampu hijau berpihak kepada pemandu, mereka tetap perlu awas terhadap para pejalan kaki, kata peguam Amarjit Singh, pemilik Amarjit Sindhu Law.

"(Terutama sekali) jika bukti menunjukkan bahawa pejalan kaki - tidak kira sejauh mana mereka tidak bertanggungjawab - berada dalam darjah penglihatan pemandu dan pemandu sebenarnya boleh bertindak tepat pada masanya untuk berhenti atau mengelak," tambah beliau.

Begitu juga jika pejalan kaki yang melintas beberapa meter dari lampu isyarat.

Sebaliknya, pejalan kaki yang menyeberang semasa isyarat lampu hijau juga boleh menanggung sebahagian daripada kesalahan sekiranya berlaku kemalangan.

Dalam satu keputusan mahkamah pada 2016, Mahkamah Rayuan berpendapat bahawa pejalan kaki masih perlu memeriksa trafik walaupun isyarat lampu hijau untuk mereka melintas jalan raya.

Kes pada waktu itu melibatkan seorang pemandu yang melanggar seorang pejalan kaki yang sedang melintas jalan dengan lampu hijau menyala bagi pejalan kaki.

Meskipun Mahkamah Tinggi mendapati pemandu bersalah sepenuhnya, apabila rayuan dikemukakan, dua daripada tiga hakim berasa pejalan kaki harus bertanggungjawab atas keselamatan diri mereka sendiri. Hakim tersebut meletakkan 15 peratus kesalahan ke atas pejalan kaki berkenaan.

Satu-satunya hakim yang tidak bersetuju, Hakim Besar Sundaresh Menon, berhujah bahawa ini bermakna pejalan kaki perlu melindungi diri mereka sendiri seolah-olah mereka menyeberang jalan sembarangan.

Bagaimana jika kemalangan berlaku di lintasan tanpa lampu isyarat?

Di lintasan zebra dan susur jalan, para pejalan kaki mempunyai lebih banyak hak laluan daripada kenderaan, kata peguam Lim Fang Hui dari Avalon Low Corporation, memetik Akta Lalu Lintas Jalan Raya (Lintasan Pejalan Kaki).

Beliau menyenaraikan beberapa faktor yang menjejas liabiliti, seperti:
  • sama ada pejalan kaki melintas jalan dalam jarak 50 meter atau lebih daripada lintasan pejalan kaki
  • sama ada pejalan kaki awas dengan trafik yang menuju ke arahnya
  • sama ada pejalan kaki berlari melintas jalan secara tiba-tiba
  • sama ada pemandu mengawasi keadaan sekelilingnya
  • jarak yang dilalui pejalan kaki semasa melintas pada waktu kejadian
Melintasi jalan raya dalam jarak 50 meter daripada lintasan jalan raya dikira sebagai melintas sembarangan.

"Jika pejalan kaki sudah melintas sebahagian jalan raya, pemandu memikul lebih banyak liabiliti kerana dia mempunyai lebih banyak peluang untuk nampak pejalan kaki tersebut." kata Cik Lim.

"Sungguhpun demikian, pejalan kaki mungkin memikul lebih banyak liabiliti jika kemalangan berlaku ketika dia baru sahaja hendak melintas atau baru mula melintas kerana pemandu tidak banyak masa untuk bertindak."

Para peguam juga merujuk kepada nahas maut di mana seorang pemandu melanggar seorang budak perempuan pada Januari lalu.

Menurut pemandu itu, beliau tidak nampak budak perempuan setinggi 1 meter itu melintas jalan.

Budak perempuan itu muncul dalam rakaman kamera dari dalam kereta hanya sesaat sebelum kemalangan berlaku.

"Dalam kes ini, penjaga, yang bertanggungjawab menjaga mangsa, telah didakwa," kata peguam DL Law, Ganesan.

"Undang-undang adil kerana ia tidak menyalahkan pemandu dalam setiap kemalangan yang berlaku, dan pejalan kaki juga bertanggungjawab atas keselamatan diri sendiri."

Adakah pemandu kenderaan tertakluk kepada "piawai yang lebih tinggi"?

Eugene Teo, pemandu kereta sewa privet yang sudah memandu kira-kira 20 tahun, mencadangkan agar semua pengguna jalan raya memasang kamera selagi boleh.

Beliau memberitahu Mediacorp bahawa beliau memperlahankan kenderaan dan menoleh ke kiri dan kanan apabila hendak melepasi lampu isyarat; dan di jalan-jalan kecil, beliau biasanya memberi laluan kepada pejalan kaki walaupun tiada lintasan zebra atau lampu isyarat.

"Tetapi saya akan membunyikan hon jika mereka menggunakan telefon dan melintas jalan - untuk menyedarkan mereka," kata Encik Teo.

Encik Ganesan berkata walaupun pemandu mempunyai hak laluan, mereka perlu "menilai semua keadaan dan menjangkakan perkara yang tidak dijangka".

Keputusan mahkamah sebelum ini mengenai kemalangan jalan raya juga merujuk kepada Peraturan Jalan Raya, yang memperincikan piawai yang mesti dipatuhi oleh semua pengguna jalan raya.

"Pemandu kenderaan, yang boleh menimbulkan bahaya, menjadi sasaran utama Peraturan Jalan Raya. Tetapi Peraturan Jalan Raya juga mengharapkan pejalan kaki untuk berhati-hati," kata tiga hakim dalam kes pemandu melanggar pejalan kaki yang mempunyai hak laluan pada tahun 2016.

Dalam membentangkan pertuduhan jenayah yang mungkin dihadapi oleh pemandu kenderaan, laman web Singapore Legal Advice menyatakan: "Walaupun hukuman yang dikenakan ke atas pemandu bagi kemalangan jalan raya yang membawa maut mungkin kelihatan tidak adil, rasional di sebalik ini adalah bahawa pemandu kenderaan boleh menimbulkan bahaya melalui kenderaan mereka, tidak seperti pejalan kaki.

Oleh kerana pemandu sudah dilatih untuk mengendalikan "sesuatu yang boleh menyebabkan bahaya", pemandu akan tertakluk kepada "piawai yang lebih tinggi" untuk mencegah kemalangan, menurut rencana di platform tersebut.

"Tanggungjawab sentiasa terletak pada bahu pemandu untuk mengambil langkah berhati-hati semasa memandu di jalan raya Singapura."
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan