jelasBERITA: Sejauh mana tahap serius varian terbaharu COVID-19 'JN.1' yang kian mendominasi kes jangkitan SG?

Gambar hiasan: Unsplash
Kementerian Kesihatan (MOH) menyatakan pada Jumaat lalu bahawa Singapura mencatat anggaran 56,043 kes COVID-19 pada minggu 3 hingga 9 Dis, naik sebanyak 75 peratus berbanding minggu sebelumnya.
Kementerian itu justeru menasihati orang ramai supaya memakai pelitup muka di tempat sesak sekalipun mereka tidak sakit. Di samping itu, MOH juga telah membuka kemudahan rawatan COVID-19 kedua, untuk menerima pesakit yang tidak memerlukan jagaan rapi di hospital.
Dalam kenyataannya Jumaat lalu, MOH menarik perhatian bahawa sebilangan besar kes tersebut disumbang oleh varian JN.1, meskipun ia tidak menyediakan perangkaan sebenar.
Ia merupakan varian baharu yang boleh dijangkiti, yang sekali gus mendorong WHO untuk menyenaraikan ia sebagai "varian yang menjadi keprihatinan".
Dalam kenyataan pada Selasa, WHO menarik perhatian bahawa varian JN.1 dikesan sebagai sebahagian daripada varian induknya BA.2.86 - juga dikenali sebagai varian "pirola" dan merupakan varian yang menjadi keprihatinan WHO.
Sungguhpun risiko kesihatannya dinilai rendah, prevalens varian tersebut di seluruh dunia mendorong badan tersebut untuk menyenaraikannya sebagai varian yang berasingan.
Mediacorp menemui para pakar penyakit berjangkit untuk bertanya mengenai betapa teruk varian JN.1, tahap kebolehjangkitan dan faktor-faktor lain yang menyebabkan lonjakan kes terkini.
PATUTKAH KITA BIMBANG TENTANG JN.1?
Dr Paul Tambyah, presiden Presiden Persatuan Antarabangsa bagi Penyakit Berjangkit, sedia maklum bahawa meskipun JN.1 sangat mudah berjangkit, ia tidak lebih teruk daripada varian terdahulu.
Beliau berkata bahawa JN.1 sudah timbul "sejak seketika dahulu", dengan WHO melaporkan ia telah mengumpul sampel terawal varian tersebut pada 25 Ogos.
"Pengamatan WHO (bahawa JN.1 tidak lebih teruk) disahkan oleh data tempatan Singapura, yang hanya menunjukkan peningkatan kecil dalam jumlah pesakit yang dimasukkan ke ICU meskipun terdapat kenaikan mendadak dalam jumlah kes yang dilaporkan," kata Dr Tambyah.
Statistik MOH menunjukkan bahawa jumlah pesakit yang dimasukkan ke unit jagaan rapi (ICU) secara purata bagi COVID-19 adalah 9.4 dari 3 hingga 9 Dis, naik daripada 4.4 yang dicatat minggu sebelumnya. Jumlah kes tersebut juga melonjak kepada 56,043 daripada 32,035 dalam tempoh yang sama.
MENGAPA JN.1 SANGAT MUDAH BERJANGKIT?
Dr Tambyah mengatakan bahawa lonjakan dalam jumlah kes COVID-19 di sini berkemungkinan besar didorong oleh evolusi koronavirus itu.
"Ini biasanya berlaku dengan virus influenza dan selesema biasa (rhinovirus)," katanya.
"Realitinya virus-virus ini disesuaikan dengan baik untuk mengelakkan sistem imun manusia... Kebanyakan virus yang telah menyesuaikan diri dengan baik kepada manusia sentiasa berubah-ubah untuk mengelakkan tindak balas imun yang dihasilkan oleh jangkitan atau vaksinasi."
Rasa keberatan untuk mendapatkan vaksinasi terbaharu COVID-19 dan tempoh virus itu merebak sejak jangkitan sebelumnya, juga telah menyebabkan kenaikan dalam jumlah kes tersebut, jelas para pakar.
Menurut MOH, mereka yang berusia lima tahun ke atas perlu melengkapkan tiga dos vaksin Pfizer-BioNTech (Comirnaty), Moderna-Spikevax atau vaksin Novavax (Nuvaxovid), atau empat dos vaksin Sinovac untuk mencapai perlindungan minimum terhadap COVID-19.
Di lamannya, kementerian tersebut menyarankan untuk mendapatkan suntikan tambahan kira-kira setahun selepas dos terakhir bagi golongan berusia 60 tahun ke atas, penghuni kemudahan jagaan warga emas serta mereka yang mudah dijangkiti.
APAKAH FAKTOR LAIN DI SEBALIK LONJAKAN KES COVID-19?
Para pakar memberitahu Mediacorp bahawa di samping varian baharu tersebut, keadaan musim sejuk di hemisfera utara dan lebih ramai orang yang memilih untuk tidak memakai pelitup muka telah mendorong peningkatan kes COVID-19.
Kenaikan dalam jumlah penduduk yang melancong ke luar negara juga merupakan satu lagi faktor, tambah Dr Tambyah, memandangkan perjalanan sedemikian mencampurkan dan merebak varian virus yang berbeza, yang telah berkembang di lokasi yang berlainan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.