Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

jelasBERITA: Sebab ada firma minta pekerja kembali ke pejabat lima hari seminggu

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Sebab ada firma minta pekerja kembali ke pejabat lima hari seminggu

(Gambar: iStock/Rudzhan Nagiev)

Diterbitkan : 29 Nov 2024 01:05PM Dikemas Kini : 29 Nov 2024 01:15PM
SINGAPURA: Firma teknologi Amazon dan Grab mempunyai satu persamaan: Kedua-duanya kembali melaksanakan bekerja sepenuhnya di pejabat, lima hari seminggu.

Grab akan menguatkuasakan dasar itu pada bulan depan, manakala Amazon pula bermula awal tahun depan.

Menurut syarikat-syarikat itu sebab ia beralih daripada model kerja hibrid ialah komunikasi dan kerjasama serta daya saing yang lebih baik.

Langkah itu diambil meskipun aturan kerja fleksibel dan model kerja hibrid yang menjadi norma semasa COVID-19, dianggap penting bagi pekerja di sini.

Tinjauan oleh firma pengambilan pekerja Robert Walters yang dikeluarkan pada Isnin (25 Nov) mendapati 82 peratus daripada 300 pekerja yang ditanya memilih waktu kerja yang fleksibel.

Menurut pengasas Anthro Insights, Dr Issac Lim, firma yang mewajibkan pekerja kembali ke pejabat, atau RTO - istilah yang semakin umum - akan, dalam jangka masa panjang, mempunyai kumpulan bakat lebih kecil yang bersedia bekerja untuk mereka.

Visi syarikatnya itu adalah untuk memupuk perundangan, dasar dan program yang berpaksikan pekerja.

Tambah beliau yang juga pensyarah adjung di Sekolah Perniagaan Universiti Nasional Singapura, peraturan ketat sedemikian akan menjadikan persekitaran kerja kurang kondusif untuk capai keseimbangan kerja-kehidupan dan mendorong mereka yang berprestasi tinggi untuk berhenti.

Bagaimanapun, pakar sumber manusia Karen Teo berkata pekerja tidak meninggalkan sesebuah organisasi hanya kerana satu dasar. Hubungan pekerja dengan majikan mereka mempunyai kesan yang besar terhadap keputusan sedemikian, tambahnya.

“Sekiranya wujud hubungan mesra dalam syarikat, kerja berpasukan (dan) interaksi sosial, ia menyukarkan mereka untuk meninggalkan organisasi itu,” kata pengurus negara untuk syarikat Quess Singapore itu.

KENAPA KEMBALI KE PEJABAT LIMA HARI?

Menurut Dr Lim, CEO lelaki yang lebih tua biasanya lebih cenderung melaksanakan amalan kerja sepenuhnya di pejabat.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KPMG 2024 jangkaan untuk kembali ke pejabat meningkat dengan usia: 87 peratus daripada mereka yang berusia 60 hingga 69 menjangkakan peralihan ini, berbanding 75 peratus dalam kalangan mereka yang berusia 40 hingga 49 tahun.

Laporan itu juga mendapati bahawa 84 peratus CEO lelaki menjangkakn pekerja kembali sepenuhnya ke pejabat dalam tempoh tiga tahun, berbanding 78 peratus CEO wanita.

Mewajibkan pekerja untuk kembali ke pejabat juga mungkin satu cara bagi syarikat untuk mengurangkan tenaga kerja, kata Dr Lim.

"Ini agak lazim dalam kalangan syarikat teknologi di mana mereka menggajikan ramai orang semasa pandemik (dan) kini mereka menyedari bahawa mereka tidak benar-benar memerlukan pekerja ini lagi," katanya.

"Ini adalah cara yang sangat 'halus' dan murah untuk membuat orang berhenti."

Beliau juga menarik perhatian bahawa amalan kembali sepenuhnya ke pejabat adalah lebih berleluasa di kalangan syarikat besar yang menghadapi kerumitan dalam cuba memutuskan siapa yang perlu diberhentikan dan komplikasi yang mungkin timbul daripada memberhentikan pekerja, termasuk tindakan undang-undang.

"Mereka (mungkin) memutuskan bahawa mungkin ini adalah cara berhentikan pekerja dengan cepat, dan kemudian dari situ, mereka memutuskan apa yang perlu dilakukan dengan yang lain," tambahnya.

BURUK BAIK

Walaupun firma mungkin mempunyai alasan masing-masing, Dr Lim menegaskan bahawa masa yang dihabiskan untuk berulang-alik ke tempat kerja boleh sebaliknya digunakan untuk bekerja.

Beliau menambah bahawa pejabat mungkin tidak semestinya selalu menjadi tempat yang paling produktif untuk bekerja.

"Terdapat banyak gangguan ... mereka yang suka bersembang, dan ia menjadikan jenis kerja yang memerlukan anda berfikir secara mendalam agak mencabar," katanya.

Bagaimanapun, Cik Teo, yang baru bekerja di firmanya, berkata salah satu kelebihan berada di pejabat adalah peluang untuk "bersembang" dan mengenali rakan sekerjanya.
Sumber : CNA/SU/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan