jelasBERITA: Peranan Presiden di bawah Perlembagaan SG

Gambar fail kerusi Presiden. (Gambar: TODAY)
SINGAPURA: Encik Ng Kok Song, Encik Tharman Shanmugaratnam dan Encik Tan Kin Lian sudah disahkan akan bertanding pada Pilihan Raya Presiden 2023 semasa Hari Penamaan Calon pada Selasa (22 Ogos).
Ini bermakna rakyat Singapura akan keluar mengundi pada 1 September.
Sebelum membuat pilihan anda, kami jelaskan tentang peranan presiden di bawah perlembagaan Singapura. Apa yang perlu kita faham mengenai fungsi presiden sebagai penjaga rizab negara serta peranan bersifat istiadat lainnya.
PRESIDEN SEBAGAI KETUA NEGARA
Di bawah Perlembagaan Negara, Presiden merupakan Ketua Negara.
Perdana Menteri adalah Ketua Pemerintah. Arahan dan kawalan Pemerintah terletak pada tangan Perdana Menteri bersama-sama Kabinet.
Sebagai Ketua Negara, Presiden adalah lambang perpaduan negara. Presiden mengetuai acara-acara penting negara, seperti Perbarisan Hari Kebangsaan dan Pembukaan Parlimen.
Presiden juga memegang kuasa menjaga rizab negara.
Presiden tidak terkait mana-mana parti politik. Ini bermakna Presiden tidak boleh menjadi anggota parti politik.
SISTEM PEMERINTAH PRESIDEN, PARLIMEN, KABINET
Arah tuju dan kawalan Pemerintah secara amnya terletak di bawah bidang kuasa Kabinet. Ia menggubal dan melaksanakan dasar-dasar.
Kabinet dipimpin oleh Perdana Menteri, yang mesti mendapat kepercayaan Parlimen.
Kabinet bertanggungjawab kepada Parlimen. Parlimen pula, bertanggungjawab untuk meneliti dan meluluskan undang-undang.
Kabinet dan Parlimen pada akhirnya bertanggungjawab kepada pengundi atas undang-undang dan dasar-dasar yang digubal.
Perlembagaan memerlukan Presiden bertindak atas nasihat Kabinet dalam menjalankan fungsinya, kecuali dalam bidang-bidang tertentu, di mana Perlembagaan memberi kuasa kepada Presiden untuk bertindak mengikut budi bicara sendiri.
PRESIDEN SEBAGAI PENJAGA NEGARA
Perlembagaan memberikan Presiden beberapa kuasa sebagai penjaga negara.
Kuasa tersebut membolehkan Presiden mempunyai kuasa pembatal terhadap usulan tertentu, walau apa pun nasihat yang diberikan oleh Kabinet.
Kuasa itu terbahagi kepada tiga kategori luas.
Kategori pertama
Kategori pertama berkait rizab masa lalu Singapura - iaitu rizab yang bukan dikumpulkan semasa penggal Pemerintah sekarang.
Presiden diberi kuasa membuat penelitian dan memutuskan untuk menolak langkah-langkah yang diambil oleh Parlimen atau Pemerintah, yang akan mengeluarkan rizab masa lalu.
Contohnya, Presiden boleh menolak untuk bersetuju dengan Rang Undang-Undang Peruntukan yang diluluskan oleh Parlimen, sekiranya menurut budi bicara beliau Rang itu akan menggunakan rizab masa lalu.
Ini termasuk lembaga berkanun utama yang lain (Lembaga CPF, HDB, MAS dan JTC) dan syarikat-syarikat utama Pemerintah (Temasek dan GIC).
Presiden boleh menolak belanjawan dan urus niaga yang dibuat entiti-entiti tersebut sekiranya beliau beranggapan ia menggunakan rizab masa lalu.
Kategori kedua
Kategori kedua berkait Perkhidmatan Awam.
Presiden boleh menolak pelantikan yang dibuat bagi jawatan-jawatan utama perkhidmatan awam, termasuk
- Hakim Besar dan Hakim di Mahkamah Agung;
- Ketua Angkatan Pertahanan
- Ketua Perkhidmatan Angkatan Bersenjata Singapura;
- Pesuruhjaya Polis;
- Peguam Negara;
- Pengarah Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB)
- Pengerusi serta anggota Suruhanjaya Kehakiman dan Khidmat Undang-Undang.
Kategori ketiga
Kategori ketiga melibatkan fungsinya sebagai pelindung.
Presiden boleh meluluskan siasatan yang dijalankan oleh Pengarah CPIB jika Perdana Menteri enggan meluluskannya.
Persetujuan Presiden diperlukan untuk seseorang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sekiranya lembaga penasihat ISA menyarankan agar individu tidak ditahan.
Presiden juga boleh membatalkan atau mempelbagaikan arahan sekatan yang dibuat di bawah Akta Mengekalkan Keharmonian Agama sekiranya nasihat Kabinet bertentangan dengan saranan Majlis Presiden bagi Keharmonian Agama.
Apabila melaksanakan kuasa dalam kategori pertama dan kedua, Presiden mesti berunding dengan Majlis Penasihat Presiden.
Jika Presiden menggunakan kuasa veto bertentangan dengan saranan majlis tersebut, Parlimen boleh mengundi untuk menolak Presiden.
Usul untuk menolak keputusanPresiden mesti disokong oleh tidak kurang daripada dua pertiga jumlah keseluruhan Anggota Parlimen (AP). Ini tidak termasuk Anggota Parlimen Dilantik (NMP).
%20(Instagram%20Post)%20(59.4%20x%2084.1%20cm).jpg?itok=GSSgPjUZ)
Peranan awam seorang Presiden mencerminkan kuasa Perlembagaan dan tugas-tugas yang perlu dijalankan.
Sebagai Ketua Negara, Presiden adalah lambang perpaduan negara.
Presiden mesti, dan harus dilihat sebagai tidak menyebelahi mana-mana pihak dalam politik, dan tidak boleh terlibat dalam isu-isu politik atau yang mencetuskan kontroversi.
Dengan cara ini Presiden kekal tidak terlibat secara langsung dalam isu-isu politik.
Di ruang awam, Presiden mesti bercakap dan bertindak mengikut nasihat Kabinet, khususnya apabila menyuarakan pandangan berhubung undang-undang atau dasar Pemerintah.
Pengecualian diberi kepada perkara-perkara berkaitan kuasa menjaga negara, di mana Presiden bertindak mengikut budi bicara sendiri dan boleh menjelaskan kepada umum tentang bagaimana beliau sudah melaksanakan atau mahu melaksanakan, kuasa-kuasa tersebut.
Dalam perbincangan privet dengan Perdana Menteri, Presiden boleh berkongsi nasihatnya secara bebas. Namun perbincangan itu mesti kekal rahsia.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.