Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

jelasBERITA: Nak buat korban di dalam atau luar negara? Apakah antara pertimbangannya?

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Khidmat korban di luar negara, terutamanya di Palestin mendapat permintaan tinggi tahun ini.

Antara lain, keadaan di Palestin kini antaranya memberi kesan kepada pemilihan lokasi bagi ibadah korban oleh warga Singapura.

Menurut tinjauan BERITA Mediacorp ke atas empat syarikat atau institusi swasta iaitu Signaturesofimran Group, SimplyIslam, Persatuan Muhammadiyah, dan Al Hilal Ummah Services, tempahan bagi korban di Palestin tahun ini membentuk sekitar 35 peratus daripada jumlah keseluruhan tempahan yang ditawarkan di kira-kira sembilan negara lain termasuk Syria, Indonesia dan Yaman.

Ada syarikat juga yang menjanjikan bahawa penyembelihan akan dilaksanakan di Palestin sendiri.

Faktor itu mendorong para sohibul korban dan buat mereka lebih yakin daging korban itu sampai kepada penduduk Palestin.

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

"Ini adalah kali pertama yang saya lihat ibadah korban boleh dijalankan di Palestin. Jadi saya suka cuba benda yang baharu. Itu yang saya lihat ada Palestin dan harganya pun (berpatutan) juga," kongsi salah seorang sohibul korban, Danial Iskandar kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

Encik Danial memilih untuk membuat tempahan dengan Signaturesofimran Group.

SOHIBUL KORBAN INGIN BANTU GOLONGAN MEMERLUKAN DI PALESTIN
 

Danial Iskandar bersama Pengasas Signaturesofimran Group, Imran Mean. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

Meskipun kebimbangan itu ada lebih-lebih lagi dengan pergolakan di Timur Tengah, namun Encik Danial yakin setelah diberikan bukti-bukti oleh syarikat tersebut.

"Dia akan mengirimkan gambar dan resit sebagai contoh untuk transaksi saya sudah saya lakukan," ujar Encik Danial.

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Bukti-bukti sebegini turut beri keyakinan kepada salah seorang lagi sohibul korban, Ahmad Syakir Husny.

"Ini mungkin cara yang terbaik untuk saya bantu orang-orang yang memerlukan di sana (Palestin). Pada mulanya, ragu-ragu jika daging yang saya beli akan sampai kepada orang-orang yang memerlukan (di sana) atau tidak," ujar Encik Syakir.

"Apabila saya bertanya dengan Imran sendiri, dia menjelaskan bahawa dia akan menyediakan bukti-bukti yang ada seperti gambar-gambar, video, sijil dan juga laporan bahawa ibadah korban itu telah dijalankan," tambah beliau.

PENYEMBELIHAN DI AUSTRALIA DAHULU, DAGING DITERBANGKAN KE PALESTIN

Namun, ada juga yang memilih khidmat korban yang dilaksanakan di Australia dan kemudian dagingnya diterbangkan ke Palestin.

Ini termasuk khidmat yang disediakan Persatuan Muhammadiyah.

"Ia akan diagihkan kepada kem-kem pelarian Palestin yang sedia ada di sana. Bila kita menyembelih untuk Palestin, ada bilangan-bilangan tertentu untuk diberikan kepada Palestin sendiri," kongsi Pengurus, Perkhidmatan Sokongan Masyarakat Muhammadiyah, Shamsul Bahri.

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

"Ada yang memberi seluruh daging itu untuk ke Palestin dan ada yang para peserta boleh mengambil dagingnya untuk diri mereka sendiri iaitu mungkin satu pertiga, dan dua pertiga pula, kita akan memberikannya kepada Palestin," tambah beliau.

KEPRIHATINAN RAKYAT SG UNTUK NEGARA DIBELENGGU KONFLIK & YANG MEMERLUKAN

Dalam masa yang sama, pemilihan lokasi-lokasi lain yang dibelenggu konflik atau dengan penduduk yang memerlukan, juga mencerminkan keprihatinan warga Singapura untuk mereka, bukan sahaja di Palestin.

Ada juga yang memberikan daging korban kepada orang Rohingya dan ada juga bagi penduduk di sesetengah negara di rantau Afrika seperti Ghana dan Uganda.

Untuk syarikat SimplyIslam misalnya, tempahan untuk Yaman paling tinggi, malah tiga kali ganda lebih tinggi berbanding Palestin.

Selain keprihatinan, apa lagi yang mendorong atau menjadi pertimbangan bagi warga Singapura yang mahu buat korban di luar negara?
 

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

"Banyak negara yang saya pertimbangkan. Saya nampak Palestin semua tetapi Indonesia adalah antara yang disenaraikan sebagai negara yang paling memerlukan. Jadi saya pun mempertimbangkan itu," kongsi salah seorang sohibul korban, Encik Adeel Kasban yang memilih untuk lakukan ibadah korban di Indonesia.

"Palestin juga ada saya pertimbangkan tetapi sedikit mahal untuk saya dan saya rasa agak tidak tentu sama ada mereka akan boleh menerima daging-daging itu atas sebab konflik dan apa sedang berlaku," tambahnya.

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Bagi seorang lagi sohibul korban yang lakukan korban di Indonesia, Cik Chitra Dewi, beliau berkongsi, "Tidak pernah rasa tertipu sebab nanti bila sudah habis korban lepas seminggu, mereka akan menghantar video untuk menunjuk daging korban kita, dan nama semuanya ada, Alhamdulillah!"

LEBIH 4,300 EKOR DITEMPAH TAHUN INI UNTUK SALAMSG KORBAN

Ada juga yang buat korban di luar negara tetapi dagingnya diterbangkan ke Singapura untuk para sohibul korban atau golongan memerlukan.

Ini termasuk yang ditawarkan oleh SalamSG Korban.

Tahun ini, sejumlah lebih 4,300 ekor ditempah berbanding 5,200 ekor tahun lalu.

Permintaannya turun sekitar 17 peratus berbanding tahun lalu meskipun lebih banyak haiwan korban yang ditawarkan dan tempahan dibuka lebih lama seawal dari bulan Ramadan lagi.

RAMAI PILIH LAKUKAN KORBAN DI SINGAPURA

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Ini juga mungkin kerana lebih ramai yang pilih untuk laksanakan korban di Singapura sendiri.

Menurut dua syarikat privet Aliyah Rizq Holdings Pte Ltd dan An Nahr Master Pte Ltd yang menawarkan khidmat sedemikian, jumlah tempahan meningkat lebih 46 peratus.

Kalau tahun lalu, hanya 900 kambing dibawa masuk untuk korban di Singapura, tahun ini jumlahnya melebihi 1,300.

"Di sini, kita boleh melihat ibadah korban itu dijalankan. Itu yang memuaskan hati melihatnya," kongsi salah seorang sohibul korban, Cik Jariah Tamsir.

"Selain daripada ibadah, ia juga satu pengalaman. Harap-harap esok lusa, anak-anak kita juga akan melakukannya," kongsi seorang lagi sohibul korban, Encik Umar Othman pula.

"Moga-moga, anak-anak kita pun dapat meneruskan amalan korban di Singapura," tambah beliau.

Walaupun lebih mahal iaitu sekitar 30 peratus lebih tinggi berbanding korban di luar negara, ramai yang tetap pilih melaksanakannya di Singapura sendiri.

AN NAHR MASTER BAWA KAMBING BIRI-BIRI LEBIH BESAR

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Bagi syarikat An Nahr Master pula, selain kambing yang diternak di sini iaitu dari Hay Dairies, mereka juga bawa masuk kambing biri-biri yang lebih besardan menjanjikan daging yang lebih lumayan untuk diagihkan

"Kalau biasanya membawa masuk kambing atau kambing biri-biri yang berat badannya di antara 38 hingga 42 kilogram tetapi untuk syarikat An Nahr Master kali ini, kita tahu yang pentingnya adalah haiwan-haiwan yang lebih besar di mana mutunya lebih bagus," kongsi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) An Nahr Master, Rafee Eunos.

"Tahun ini kita membawa masuk haiwan-haiwan yang lebih besar iaitu beratnya secara purata dalam 56 kilogram. Ada yang juga beratnya hampir 70 kilogram. Yang memuaskan bila kita membawa masuk haiwan yang lebih besar ini sudah tentu berat dagingnya itu boleh lebih diperolehi oleh sohibul-sohibul korban," tambah beliau.

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Bagaimanapun, ini tidak datang tanpa cabaran.

"Cabaran yang saya hadapi ialah kos mengendalikan "live korban" di mana kita membawa masuk haiwan-haiwan ini lebih awal kerana kita mahukan haiwan-haiwan ini menyesuaikan diri dengan iklim kita dan di situ, ada kos makannya, kos pekerja," ujar Encik Rafee.

INGIN KEKALKAN TRADISI & DEDAHKAN ANAK MUDA KEPADA IBADAH KORBAN
 

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Meskipun membawa masuk kambing-kambing ini ada cabarannya tersendiri, ia tetap dilakukan juga.

Ini kerana menurutnya, ia adalah sebahagian usaha untuk kekalkan tradisi dan dedahkan anak muda kepada ibadah korban.

"Anak-anak muda, pelapis-pelapis baru kita dapat menyaksikan proses penyembelihan, proses melapah kambing jadi mereka tahu erti korban itu apa sebenarnya. Sebenarnya yang memerlukan daging di Singapura pada kita itu masih ramai yang memerlukan. Jadi inilah dorongan kita untuk membuat 'live korban' di Singapura," jelas Encik Rafee.

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

"Membuat ibadah korban di tanah air sendiri itu berbeza kerana ini ia seperti cara mengeratkan ikatan keluarga, di mana keluarga akan bersatu, untuk datang melihat proses penyembelihan dan apabila bawa pulang itu, boleh juga diagihkan daging itu kepada saudara mara," tambahnya.

Penyembelihan kambing korban oleh syarikat itu dilakukan di Masjid Hang Jebat dan Masjid Omar Salmah tahun ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan