Skip to main content

Singapura

jelasBERITA: Mutu latihan guru lebih penting daripada tempoh program NIE?

Menyingkatkan tempoh latihan guru bagi Program Diploma Possiswazah dalam Pendidikan (PGDE) daripada 16 bulan kepada 12 boleh membawa perubahan kepada usaha memikat pemohon, tetapi tidak sepenting menjadikan program itu berkesan dan cekap, kata para bakal pendidik.

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Mutu latihan guru lebih penting daripada tempoh program NIE?

Para pelajar mengikuti pembelajaran dalam sebuah bilik darjah di Singapura. (Gambar fail: CNA/Raj Nadarajan)

SINGAPURA: Menyingkatkan tempoh latihan guru bagi Program Diploma Possiswazah dalam Pendidikan (PGDE) daripada 16 bulan kepada 12 boleh membawa perubahan kepada usaha memikat pemohon, tetapi tidak sepenting menjadikan program itu berkesan dan cekap, kata para bakal pendidik.

Awal minggu ini, Menteri Pendidikan Desmond Lee mengumumkan bahawa tempoh latihan PGDE di Institut Pendidikan Nasional (NIE) akan dipendekkan empat bulan.

Ini adalah sebahagian daripada semakan berkala program tersebut, menurut Kementerian Pendidikan (MOE) dan NIE.

"Semakan itu dibina berdasarkan kekuatan PGDE semasa, dan tidak akan menjejaskan ketegasan program," kata agensi itu kepada CNA sebagai jawapan kepada pertanyaan mengenai perubahan itu.

Semakan - oleh para pendidik dan pemimpin dari MOE dan NIE - sedang dijalankan, dengan butiran dan tarikh mula program tersebut yang lebih pendek akan diumumkan kemudian.

Pada 2016, program PGDE telah dilanjutkan daripada 12 bulan kepada 16 bulan.

Mediacorp mewawancara tiga bakal guru dan seorang guru yang baru menamatkan program itu, mengenai pentingnya perubahan tersebut.

Encik Linus Chen, kini dalam program itu, percaya kursus yang dipendekkan masih berkesan selagi kelas-kelas yang berguna dikekalkan.

Ini termasuk psikologi pendidikan dan kelas khusus subjek, walaupun ada juga yang berpendapat bahawa terdapat pertindihan, kata lelaki berusia 26 tahun itu kepada Mediacorp.

Beliau berkata kontrak mengajar sebelum memulakan program tersebut "sangat, sangat penting", baik bagi sekolah untuk menilai pelatih dan pelatih sendiri untuk melihat sama ada mereka sesuai dengan kerjaya itu.

Menurut MOE, tugas ini biasanya selama sekurang-kurangnya empat bulan.

Program NIE selama 16 bulan yang berikutnya kemudian merangkumi dua lagi tugas mengajar di sekolah - empat minggu sebagai penolong guru, kemudian 10 minggu latihan mengajar menjelang akhir kursus.

"Sejujurnya, cara terbaik untuk belajar ialah melakukannya di tempat kerja," kata Encik Chen. "Cuba untuk belajar mengajar tanpa mempunyai pelajar sebenar adalah seperti cuba belajar memandu tanpa mempunyai kereta."

Apa yang berharga tentang program NIE ialah mempunyai masa untuk meninjau pengalaman mengajar dan berkongsi idea dengan rakan-rakan, tambahnya.

Seorang guru maktab rendah yang menukar kerjaya dan menghadiri program NIE tahun lalu juga berkata tugas mengajar sebelum kursus adalah "bahagian paling berharga".

Menyingkatkan kursus NIE tidak mungkin memberi perubahan kepada mutu program, kata lelaki itu, yang enggan namanya didedahkan.

“Guru biasanya (memberi) maklum balas bahawa kebanyakan perkara yang diajar di NIE tidak boleh digunakan di sekolah,” tambahnya.

"Beberapa modul lain sepanjang tahun kami di NIE berasa tidak perlu atau sekadar sepintas lalu, jadi saya merasakan tempoh latihan - dan bukan betapa panjang tempoh itu - adalah perkara yang harus diberi perhatian."

Dari 2022 hingga 2024, kira-kira 390 guru pelatih mendaftar bagi program PGDE setiap tahun. Mereka sama ada graduan baharu atau daripada industri yang berbeza.

MEMIKAT GURU

Ketika mengumumkan semakan itu, Menteri Pendidikan Desmond Lee berkata ia adalah untuk memenuhi keperluan pembelajaran tenaga pengajar yang "semakin pelbagai".

Encik Lee juga berkata MOE menggandakan usaha untuk menarik guru dan mengalu-alukan individu yang mempunyai pengalaman dan kemahiran hidup yang berbeza, termasuk mereka yang menukar kerjaya.

Seorang pekerja pertengahan kerjaya yang telah memohon untuk program NIE berkata pengurangan empat bulan itu akan membuat "perbezaan ketara" untuknya.

Ia akan menjadikan program itu "kurang menggerunkan" untuk pemohon baharu dari "perspektif kos", kata lelaki itu, yang mengambil potongan gaji untuk menyertai bidang perguruan. Beliau tidak mahu namanya didedahkan.

Beliau juga berkata apa yang lebih penting ialah menjadikan latihan itu berkesan dan membantu guru baharu menyesuaikan diri dengan persekitaran bilik darjah yang sebenar.

"Saya hanya boleh berharap penyingkatan tempoh latihan disebabkan oleh penyatuan kandungan latihan yang bermakna, dan bukan pengguguran latihan yang penting," katanya.

Seorang guru dalam latihan yang kini dalam program NIE berkata mereka yang ingin mencapai kejayaan mungkin perlu diberi insentif untuk mengikuti kursus yang lebih pendek.

Guru maktab rendah yang mengikuti kursus tersebut tahun lepas, bagaimanapun, memberitahu Mediacorp bahawa dia tidak menjangka tempoh yang lebih singkat akan memberi perubahan besar kepada mereka yang berminat untuk mengajar.

Profesor Madya NIE bagi Kurikulum Sasar dan Kepimpinan Jason Tan, yang tidak terlibat dalam semakan itu, menyatakan bahawa program possiswazah menghadapi cabaran untuk melengkapkan kedua-dua graduan baharu dan karyawanl pertengahan kerjaya, yang mungkin mempunyai tahap pendedahan yang berbeza-beza kepada latihan dan pendidikan, dengan kemahiran yang diperlukan.

Beliau telah memerhatikan lebih ramai karyawan pertengahan kerjaya berlatih untuk menjadi guru, walaupun ini bukan satu fenomena baru-baru ini.

Pada 2008, MOE telahpun menaikkan gaji dan mempercepatkan kenaikan pangkat bagi karyawan pertengahan kerjaya. Pada masa itu, terdapat 6,600 guru pertengahan kerjaya, membentuk 22 peratus daripada khidmat pendidikan.

Hakikatnya, tempoh latihan yang lebih singkat hanyalah satu pertimbangan yang mempengaruhi keputusan pemohon kerja, kata Prof Madya Tan.

Faktor lain seperti trend makroekonomi dan kemunculan bidang kerja baharu juga memberi kesan kepada daya tarikan kerjaya sebagai seorang guru, dan ini bukan dalam bidang kuasa MOE, katanya.
Kementerian Pendidikan (MOE) menyatakan bahawa program yang disingkatkan tidak akan menjejas mutu latihan. (Gambar: CNA TODAY/Raj Nadarajan)
PEMBELAJARAN AMALI DISELARASKAN DENGAN MINAT

MOE dan NIE memberitahu Mediacorp bahawa semakan berterusan akan menyegarkan persediaan guru melalui dua cara utama.

Pertama, ia akan mengukuhkan sokongan pembelajaran profesional semasa program diploma itu dan apabila guru memasuki sekolah.

Dengan tumpuan kepada penyepaduan teori dan amalan, guru pelatih akan belajar melalui "modaliti yang berbeza, peluang untuk pembelajaran lebih khusus dan kolaboratif serta penyepaduan kemahiran dan pengetahuan merentas kursus dan pengalaman pembelajaran yang berbeza".

Selepas tamat pengajian, guru baharu akan menerima lebih banyak sokongan tersusun melalui "sesi pembelajaran berorientasikan latihan yang menggunakan pengajaran bilik darjah harian mereka".

“Ini akan membolehkan mereka untuk menyesuaikan konteks pembelajaran mereka dengan lebih baik dalam pengalaman bilik darjah yang sebenar,” kata MOE dan NIE.

Kedua, guru pelatih akan mempunyai lebih kelonggaran dan autonomi untuk membentuk pembelajaran mereka.

“Sebagai contoh, meskipun semua guru mengambil kursus teras yang penting untuk pengajaran, guru baharu akan dapat memilih elektif yang sejajar dengan keperluan dan minat mereka,” kata MOE dan NIE.

Prof Madya Tan mengingatkan agar tidak melihat penyingkatan tempoh program NIE sebagai langkah "mudah".

Beliau menjangkakan ia melibatkan pemikiran semula struktur kursus untuk guru baharu memperkukuh kemahiran mereka dalam bidang-bidang yang menjadi keutamaan.

Bagi elektif-elektif baharu, beliau menarik perhatian kepada enam bidang amalan yang diutamakan dalam pelan hala tuju pembangunan profesional 'SkillsFuture for Educators'.

Ini adalah: Penilaian untuk mengenal pasti dan menangani jurang pembelajaran; menyokong murid berkeperluan khas; pembelajaran berasaskan Pengetahuan dan Penyelidikan menggunakan soalan dan bukti; pedagogi digital; pengajaran yang berbeza untuk pelajar dengan keperluan yang berbeza; dan Pendidikan Perwatakan dan Kewarganegaraan.

Elektif-elektif ini mungkin membolehkan guru baharu meneroka bidang ini dengan lebih mendalam sambil dilatih dalam kecekapan teras, katanya.

Kecekapan teras ini mungkin termasuk penilaian pembelajaran dan prestasi; penglibatan ibu bapa; hubungan guru-murid; dan psikologi pendidikan dan amalan pedagogi, antara lain.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita