Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

jelasBERITA: Menyusur sejarah Cold Storage hingga dijual kepada Macrovalue pada 2025

Cold Storage telah menjadi jenama popular di Singapura selama 120 tahun.

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Menyusur sejarah Cold Storage hingga dijual kepada Macrovalue pada 2025

Pasar raya CS Fresh. (Gambar: Macrovalue)

Diterbitkan : 24 Mar 2025 11:09PM Dikemas Kini : 24 Mar 2025 11:10PM
SINGAPURA: Cold Storage telah menjadi jenama popular di Singapura selama 120 tahun. Rangkaian pasar raya itu dijangka akan memulakan lembaran baharu tidak lama lagi.

Pada Isnin (24 Mac), kumpulan runcit Malaysia Macrovalue mengumumkan bahawa ia akan mengambil alih Cold Storage dan Giant dalam perjanjian bernilai S$125 juta.

Mediacorp mengimbas kembali sejarah Cold Storage, sambil menjejaki perjalanannya daripada depot runcit kecil kepada salah satu jenama pasar raya yang paling dikenali di negara ini.

1903: Penubuhannya

Pengendali pasar raya tertua di Singapura ini telah diasaskan sebagai Singapore Cold Storage Company pada 8 Jun 1903, menurut artikel yang diterbitkan oleh Lembaga Perpustakaan Negara (NLB).

Seperti namanya, ia bermula sebagai perniagaan yang khusus dalam menyimpan dan mengedarkan makanan beku dan mudah rosak, dan merupakan perintis dalam bidang ini di Malaya.

1905: Melancarkan depot runcit pertama di Orchard Road

Cold Storage membuka ruang runcit pertamanya di Orchard Road pada 24 Mac 1905, menawarkan daging beku, ayam itik dan produk tenusu yang diimport dari Queensland, Australia.

Penghantaran awal barangannya disimpan dalam kemudahan peti sejuk berkapasiti 400 tan yang ditempatkan di Pelabuhan Keppel.

1923: Menghasilkan aiskrim Paradise

Dua dekad sejak penubuhannya, Cold Storage menjadi syarikat pertama yang mengeluarkan aiskrim di Singapura.

Menurut artikel yang diterbitkan oleh Universiti Nasional Singapura (NUS), jenama aiskrim mereka pada mulanya dinamakan Paradise, tetapi ia dilancarkan semula pada tahun 1937 di bawah nama yang masih terkenal di Singapura hari ini – Magnolia.

Lewat 1930-an:
Menubuhkan ladang tenusu tropika pertama di dunia

Menurut Lembaga Taman Negara (NParks), Cold Storage membuka ladang tenusu tropika pertama di dunia di Singapura pada akhir 1930-an.

Ia ditubuhkan di sebidang tanah seluas 24 hektar di dalam hutan oleh pengarah urusan syarikat ketika itu Fred Heron, yang mahu meningkatkan mutu susu di Singapura.

Ladang itu pada mulanya mempunyai 24 ekor lembu Friesian yang diimport dari Belanda dan Australia.

Ladang itu ditutup pada tahun 1970-an, tetapi ia kekal di atas nama Dairy Farm Road dan Dairy Farm Nature Park.

1959: Memperkenalkan pasar raya layan diri pertama di Singapura

Cold Storage kekal beroperasi melalui Perang Dunia II, dan yang pertama untuk Singapura, apabila cawangannya di Orchard Road menjadi pasar raya layan diri pada tahun 1959.

Semasa era ini, Cold Storage juga terkenal dengan bar susu Magnolia gaya Barat dan snek bar dengan aiskrim, kek dan 'milkshake'.

Snek Bar Magnolia di Bangunan Capitol merupakan kedai yang terkenal. Melaporkan penutupannya pada 1988, The Straits Times menyatakan bahawa ia telah "menjadi tempat kegemaran pelajar, tempat berpacaran dan daya tarikan pelancong" selama lebih 40 tahun.

1987: Menaja lagu ikonik Hari Kebangsaan

Menurut video yang diterbitkan oleh Cold Storage di media sosial untuk menandakan ulang tahunnya yang ke-116 pada 2019, ia menaja lagu Hari Kebangsaan 'We Are Singapore' pada 1987.

Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) menyifatkan lagu itu sebagai "hadiah kepada negara daripada kumpulan syarikat Cold Storage".

1992: Membuka kedai kejiranan pertama, diperoleh oleh Dairy Farm International

Cold Storage membuka kedai kejiranan sulungnya di Northpoint di Yishun pada tahun 1992.

Pada tahun yang sama, ia telah diperoleh oleh Dairy Farm International dari Hong Kong, yang kini dikenali sebagai DFI Retail Group.

Menurut laman web DFI, perjanjian itu - yang dilaporkan bernilai kira-kira S$130 juta pada masa itu - menyaksikan ia memperoleh rangkaian 142 kedai Cold Storage yang merangkumi banyak kedai 7-Eleven dan farmasi Guardian.

1997: Melancarkan laman web

Menambah kepada pencapaiannya, Cold Storage menjadi pasar raya pertama di Singapura yang menjual produknya secara online.

2021: Menubuhkan CS Fresh Gold

Cold Storage membuka kedai utama baharu, CS Fresh Gold, di pusat beli-belah Paragon di Orchard Road pada 2021, menawarkan rangkaian hasil organik terbesar Singapura dan menampilkan penjualan tiram dan udang galah.

2025: Diperolehi oleh Makrovalue

Selepas lebih tiga dekad di bawah DFI, Cold Storage akan dibeli oleh Makrovalue dari Malaysia, dengan pemerolehan itu merangkumi 48 cawangan Cold Storage yang beroperasi di bawah jenama Cold Storage, CS Fresh, CS Fresh Gold dan Jasons Deli.

Perjanjian itu dijangka akan dimuktamadkan pada separuh kedua 2025.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan