Skip to main content

Singapura

jelasBERITA: Mengapa tempahan khidmat kereta sewa SG-Malaysia menerusi aplikasi belum jadi kenyataan?

Untuk menjadikan perkhidmatan kereta sewa rentas sempadan antara Malaysia dan Singapura satu kenyataan, pelbagai peraturan, perbezaan kos serta mekanisme penguatkuasaan perlu diselesaikan terlebih dahulu, menurut para pakar dan pengendali.

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Mengapa tempahan khidmat kereta sewa SG-Malaysia menerusi aplikasi belum jadi kenyataan?

Seorang penumpang menaiki teksi rentas sempadan berlesen dari Larkin Sentral, Johor Bahru ke Ban San Street di Singapura pada 6 Ogos 2025. (Gambar: CNA/Zamzahuri Abas)

Diterbitkan : 02 Sep 2025 10:46PM
SINGAPURA: Untuk menjadikan perkhidmatan kereta sewa rentas sempadan antara Malaysia dan Singapura satu kenyataan, pelbagai peraturan, perbezaan kos serta mekanisme penguatkuasaan perlu diselesaikan terlebih dahulu, menurut para pakar dan pengendali.

Ini termasuk kesan terhadap teksi rentas sempadan berlesen dan projek RTS (Sistem Gerak Cepat) Link antara Singapura dan Johor Bahru yang dijadualkan beroperasi mulai hujung tahun depan, tambah mereka.

Perkhidmatan kereta sewa rentas sempadan juga akan memberi kesan terhadap kesesakan di pusat-pusat pemeriksaan darat, dengan para penganalisis menekankan bahawa perkhidmatan itu tidak akan menghuraikan “kesesakan asas di Koswe” meskipun permintaan bagi perjalanan lebih lancar dijangka meningkat dengan projek-projek seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JSSEZ).

Memandangkan adanya pertimbangan peraturan yang rumit serta pelbagai halangan, perkhidmatan kereta sewa rentas sempadan tidak mungkin akan dilaksanakan dalam masa terdekat, kata para penganalisis kepada Mediacorp.

Komen mereka itu menyusuli kenyataan Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke pada 18 Ogos bahawa negaranya berharap untuk memperkenalkan perkhidmatan kereta sewa rentas sempadan dengan Singapura bagi meningkatkan keterhubungan. Beliau berkata perkara itu perlu dipersetujui kedua-dua pihak sebelum ia dapat dilaksanakan.

Respons Encik Loke di parlimen terhadap soalan Anggota Parlimen Tebrau, Jimmy Puah berhubung kesesakan trafik rentas sempadan dan pemandu kereta sewa menyusuli kenyataan Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi pada awal Ogos.

Encik Onn Hafiz berkata isu tersebut merupakan antara topik yang dibincangkan dalam mesyuaratnya baru-baru ini dengan Pemangku Menteri Pengangkutan Singapura, Jeffrey Siow.
Related article image
Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi (kanan), bertemu dengan Pemangku Menteri Pengangkutan Singapura, Jeffrey Siow (kiri), semasa lawatan rasminya ke Singapura pada 1 Ogos 2025. (Gambar: Instagram/@onnhafiz)
Perkhidmatan kereta sewa rentas sempadan akan menjadi “pemangkin” kepada sistem pengangkutan yang lebih mesra pengguna, selamat dan berdaya saing, sambil memperkukuh integrasi rangkaian pengangkutan awam kedua-dua negara, kata Encik Onn Hafiz dalam satu catatan Facebook pada 1 Ogos.

Menjawab pertanyaan Mediacorp mengenai kenyataan Encik Loke, Kementerian Pengangkutan Singapura menyatakan bahawa isu membenarkan kereta sewa merentasi sempadan sememangnya dibangkitkan semasa para pegawai Singapura dan Malaysia bertemu untuk membincangkan pengaturan perkhidmatan rentas sempadan, tetapi “tiada keputusan dibuat pada waktu itu”.

“Kami kini sedang menilai penambahbaikan bagi Skim Teksi Rentas Sempadan untuk menangani permintaan yang semakin meningkat bagi perkhidmatan titik-ke-titik rentas sempadan yang lebih mudah,” kata jurucakap kementerian tersebut.

“Di sisi undang-undang, adalah salah bagi kereta privet atau kereta sewa berdaftar Malaysia untuk menyediakan perkhidmatan rentas sempadan atau sewaan di dalam Singapura,” tambah jurucakap itu.

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura sebelum ini pada 3 Ogos mengatakan bahawa walaupun pihaknya bersikap terbuka terhadap idea untuk meningkatkan pengalaman perjalanan rentas sempadan, “kami ingin menjelaskan bahawa LTA tidak bercadang untuk membolehkan dengan sepenuhnya pengangkutan titik-ke-titik rentas sempadan melalui perkhidmatan kereta sewa”.

Sebaliknya, LTA sedang menimbangkan penggunaan aplikasi kereta sewa untuk menempah perjalanan teksi berlesen rentas sempadan serta menambah bilangan lokasi untuk mengambil dan menurunkan penumpang di Singapura dan Malaysia.

ISU “KOMPLEKS” DAN “SENSITIF”

Mana-mana model kereta sewa rentas sempadan mesti mematuhi undang-undang, permit dan keperluan insurans kedua-dua negara, kata Nor Aziati Abdul Hamid, profesor madya dan penyelidik kanan di Pusat Kecemerlangan Industri Rel, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.

Sebagai contoh, semakan latar belakang dan latihan pemandu mesti memenuhi piawaian kedua-dua bidang kuasa, kata beliau.

Perlu ada pengiktirafan bersama bagi lesen khidmat kereta sewa masing-masing, iaitu sesuatu yang belum wujud pada masa ini, kata Rosli Azad Khan, pengarah urusan MDS Consultancy di Malaysia.

Peraturan dalam bidang seperti lesen pengangkutan, insurans, cukai dan penguatkuasaan mesti dipersetujui, kata beliau.

“Memperkenalkan aplikasi kereta sewa untuk operasi rentas sempadan memerlukan perjanjian dua hala yang menyelaraskan bidang peraturan tersebut, yang dari segi politik dan pentadbiran amat rumit,” kata Encik Rosli.

Mekanisme penguatkuasaan dan penghuraian pertikaian juga mesti diperjelaskan bagi menangani sebarang kesalahan yang dilakukan oleh pemandu Malaysia di Singapura dan sebaliknya, kata beliau.

Selain itu, ada kebimbangan tertentu yang lebih berat bagi pihak Singapura, kata pakar kepada Mediacorp.

Terdapat “perbezaan ketara dalam kos penyediaan perkhidmatan kereta sewa” di kedua-dua negara, kata Timothy Wong, pensyarah kanan di jabatan ekonomi Universiti Nasional Singapura.

“Kereta jauh lebih murah untuk dibeli di Malaysia berbanding di Singapura. Begitu juga dengan petrol dan kos penyelenggaraan kenderaan. Kos sara hidup juga lebih rendah di Malaysia. Jadi, para pemandu sanggup menerima gaji lebih rendah,” kata Encik Wong.

Ini bermakna pemandu titik-ke-titik Malaysia akan dapat menawarkan perkhidmatan rentas sempadan pada harga lebih rendah dan sekali gus “menguasai pasaran”, kata Encik Wong. “Pembukaan pasaran tersebut menguntungkan para pemandu kereta sewa Malaysia berbanding pemandu kereta sewa Singapura.”

Jika perkhidmatan itu dilaksanakan, selain bersetuju untuk mewujudkan tahap keseragaman dari segi piawaian keselamatan kenderaan dan pemandu, pemerintah Singapura “mungkin juga mahu memperkenalkan peraturan harga untuk memastikan tambang tidak terlalu rendah,” kata Encik Wong.

Penolong profesor strategi dan keusahawanan di Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Terence Fan, bersetuju bahawa terdapat "banyak pertimbangan sensitif" yang perlu diambil kira.

Salah satu isu adalah apabila perkhidmatan kereta sewa Malaysia memasuki Singapura, "adalah lebih sukar untuk mengawal selia” sama ada mereka turut mengambil dan menurunkan penumpang di dalam Singapura, iaitu suatu tindakan yang tidak dibenarkan, kata beliau.

“Anda berpotensi menambah lagi jumlah kenderaan di jalan raya Singapura,” kata Encik Fan kepada program CNA938 Rewind.

“Ia sebenarnya tidak sejajar dengan prinsip kita di sini di mana kita mempunyai Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) yang tinggi, kita mengehadkan jumlah kenderaan dan kita mahu memastikan jalan raya kita tidak sesak,” kata beliau.

Sistem COE Singapura merupakan kaedah utama dalam mengawal pertumbuhan jumlah kenderaan di negara ini, menurut laman web Kementerian Pengangkutan. Pemilik kenderaan perlu membida COE melalui tender terbuka online, yang memberi mereka hak untuk memiliki kenderaan selama 10 tahun.

Perkhidmatan kereta sewa juga berpotensi memburukkan kesesakan yang kerap berlaku di Koswe, menurut para penganalisis.

Tidak seperti bas, kereta api dan RTS Link akan datang, perkhidmatan kereta sewa memenuhi keperluan individu, bukan pergerakan orang ramai, kata Encik Rosli.

“Masalah besar adalah perkhidmatan kereta sewa tidak menyelesaikan kesesakan asas di Koswe,” katanya. “Malah, ia mungkin memburukkan lagi kesesakan jika ribuan kereta sewa tambahan membanjiri pusat-pusat pemeriksaan setiap hari.”
Related article image
Sekitar 300,000 orang menyeberangi Koswe setiap hari. (Gambar: CNA/Zamzahuri Abas)
Kira-kira 300,000 orang menyeberangi Koswe setiap hari sama ada dengan menggunakan kenderaan, kereta api atau berjalan kaki.

Penguasa Imigresen & Pusat Pemeriksaan Singapura mengatakan pada Januari tahun lalu bahawa lebih 400,000 orang dijangka menggunakan Koswe setiap hari menjelang 2050.

KHIDMAT KERETA SEWA PRIVET HARUS "MELENGKAPI" RTS

Walaupun terdapat pelbagai perbezaan yang perlu dirungkaikan di samping potensi memburukkan lagi kesesakan, khidmat kereta sewa privet rentas sempadan boleh memberi manfaat kepada penumpang jika ia melengkapi RTS Johor-Singapura dan dilaksanakan secara berperingkat, menurut para penganalisis.

Perkhidmatan itu seharusnya melengkapi RTS dengan memenuhi keperluan perjalanan jarak dekat atau di luar waktu sesak, bukannya menggantikan rangkaian pengangkutan orang ramai, kata Cik Nor Aziati.

RTS Link sepanjang empat kilometer yang dijadualkan beroperasi mulai Disember tahun depan bertujuan mengurangkan kesesakan di Koswe dengan membawa sehingga 10,000 penumpang sejam setiap hala bagi perjalanan sekitar lima minit.

Pihak berkuasa Singapura akan mahu untuk “menunggu” dan menilai tindak balas orang ramai terhadap RTS apabila ia mula beroperasi. Justeru, Singapura tidak mungkin bersetuju melakukan perubahan besar pada dasar pengangkutannya dalam masa terdekat, kata Encik Fan.

“Jika difikirkan, mana-mana rakyat Singapura atau pelancong dari Singapura boleh menaiki RTS untuk ke Johor Bahru dan mengambil teksi di sana untuk ke mana-mana,” kata Encik Fan.
Related article image
Kenderaan jalan raya di Johor Bahru. (Gambar: CNA/Zamzahuri Abas)
“Apabila anda mempunyai mod pengangkutan baharu seperti itu, ia memerlukan masa untuk orang ramai menyedari, ‘Oh, saya boleh lakukan itu. Ia tidak sesukar yang saya bayangkan’,” kata beliau.

Cik Nor Aziati pula mencadangkan pendekatan berperingkat untuk perkhidmatan kereta sewa rentas sempadan, bermula dengan kawasan perintis yang meliputi Johor kerana terdapat “permintaan jelas”, integrasi RTS serta sokongan aktif di peringkat negeri dan persekutuan.

Fasa awal itu seharusnya hanya merangkumi teksi rentas sempadan berlesen yang boleh ditempah melalui aplikasi, dan bukan kenderaan sewa privet, katanya.

Ini kerana langkah memperkenalkan khidmat kereta sewa privet berskala besar boleh menjejas mata pencarian pemandu teksi rentas sempadan berlesen, katanya. Model integrasi berperingkat, yang mungkin bermula dengan tempahan teksi berlesen melalui aplikasi, boleh menjadi “langkah pertama yang lebih mampan”.

Di bawah skim teksi rentas sempadan sedia ada, sehingga 400 teksi dari Singapura dan Malaysia diberi lesen untuk mengambil dan menurunkan penumpang hanya di satu lokasi yang ditetapkan di negara lain – Larkin Sentral di Johor Bahru untuk teksi Singapura dan Terminal Ban San Street di Singapura untuk teksi Malaysia.

Namun, skim itu kurang dimanfaatkan dengan sekitar 300 pemandu teksi rentas sempadan berlesen di Singapura dan Malaysia setakat awal Ogos, menurut LTA.

Salah satu sebab utama ia kurang dimanfaatkan adalah ketiadaan perkhidmatan dari pintu-ke-pintu, yang menjadikan perkhidmatan teksi tidak berlesen lebih menarik kerana ia lazimnya menawarkan lokasi mengambil dan menurunkan penumpang yang lebih fleksibel, lapor Mediacorp baru-baru ini.

Pihak berkuasa mengetatkan tindakan terhadap perkhidmatan tidak berlesen baru-baru ini, dengan para pemandu ditahan di kawasan Taman di Pesisiran, Lapangan Terbang Changi dan sebuah pusat pemeriksaan darat di Singapura pada 5 Ogos, manakala Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia pula menahan dan merampas empat kenderaan kereta sewa privet yang dipandu individu Singapura pada 13 Ogos.

Para pemandu teksi berlesen dari kedua-dua pihak turut menyuarakan kebimbangan tentang kesannya apabila khidmat kereta sewa dibenarkan dan perjalanan rentas sempadan diperluaskan kepada kenderaan sewa privet.

Cik Nor Aziati mencadangkan jika petunjuk utama seperti masa menunggu, keselamatan, jumlah aduan dan turun naik harga dapat dipenuhi dalam tempoh 12 hingga 18 bulan di bawah projek perintis yang dicadangkannya, fasa seterusnya boleh diperluas ke kawasan Linkedua Tuas.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, platform kereta sewa Grab dan Ryde mengatakan bahawa mereka terbuka untuk berunding dengan pihak berkuasa dari kedua-dua negara.

Menyediakan perkhidmatan kereta sewa rentas sempadan memerlukan pertimbangan peraturan yang rumit meliputi dasar pengangkutan, piawaian keselamatan dan pengaturan dua hala, menurut mereka.

Sebarang perkhidmatan berpotensi memerlukan panduan jelas dan kelulusan daripada LTA Singapura serta pihak berkuasa berkaitan di Malaysia, menurut Ryde, yang kini hanya beroperasi di Singapura. “Kami kekal terbuka untuk berunding secara konstruktif dengan pihak berkuasa sekiranya rangka kerja peraturan rasmi ditetapkan.”

Grab pula mengatakan pihaknya sudah berunding dengan pihak berkuasa dari kedua-dua negara “untuk meneroka huraian yang selamat, sah dan adil” bagi memenuhi permintaan berterusan terhadap perkhidmatan rentas sempadan sambil mengurangkan kebergantungan pada pengendali tidak berlesen.

“Kami bersedia bekerjasama dengan kedua-dua pemerintah untuk bersama-sama mewujudkan perkhidmatan kereta sewa rentas sempadan yang selamat dan mudah untuk pengguna serta menyediakan peluang pendapatan tambahan bagi para pemandu tempatan di negara masing-masing,” menurut Grab.

Penyediaan khidmat kereta sewa privet rentas sempadan di Singapura dan Malaysia tidak terkait isu kesediaan dari segi teknikal tetapi terkait isu dasar, kata Encik Rosli.

“Dari segi teknikal, pengendali di kedua-dua pihak sudah bersedia. Aplikasi, sistem pembayaran dan logistik mungkin sudah tersedia,” kata beliau.

“Apa yang menghalangnya bukan teknologi tetapi dasar – keperluan bagi kelulusan dua hala, peraturan yang diselaraskan dan kejelasan berhubung penguatkuasaan.”
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita