Skip to main content

Singapura

jelasBERITA: Mengapa syarikat motosikal elektrik tempatan teroka pasaran luar?

Apabila Singapura memulakan percubaan stesen "tukar dan cas" bateri bagi motosikal elektrik pada 2022, teknologi itu dilihat sebagai salah satu cara yang berpotensi untuk meningkatkan penggunaan motosikal tenaga lebih bersih di jalan raya.

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Mengapa syarikat motosikal elektrik tempatan teroka pasaran luar?

Sebuah motosikal elektrik yang sedang dicas. (Gambar: iStock)

Diterbitkan : 31 Aug 2026 09:03AM
SINGAPURA: Apabila Singapura memulakan percubaan stesen "tukar dan cas" bateri bagi motosikal elektrik pada 2022, teknologi itu dilihat sebagai salah satu cara yang berpotensi untuk meningkatkan penggunaan motosikal tenaga lebih bersih di jalan raya.

Dua tahun kemudian, salah sebuah syarikat yang terlibat, Mo Batteries, membatalkan rancangan untuk melancarkan khidmat penukaran baterinya. Ia menyatakan masa dan pelaburan yang diperlukan untuk memenuhi keperluan kawal selia sebagai sebab keputusan tersebut diambil. Syarikat tersebut sejak itu sudah dibatalkan pendaftarannya.

Sementara itu, penggunaan motosikal elektrik di Singapura kekal amat rendah. Setakat Julai, terdapat 433 motosikal elektrik di jalan raya, merangkumi hanya 0.2 peratus daripada keseluruhan jumlah motosikal. Sebagai perbandingan, jumlah kereta elektrik meningkat kepada lebih 69,000, atau lebih 10 peratus daripada keseluruhan jumlah kereta.

Namun, syarikat-syarikat motosikal elektrik Singapura tidak berdiam diri. Beberapa syarikat sudah meneroka pasaran luar negara untuk mengembangkan perniagaan, dengan menyasarkan negara-negara yang mempunyai kadar penggunaan motosikal yang jauh lebih tinggi.

Sebahagian daripada syarikat-syarikat tersebut kini kembali memberi tumpuan kepada Singapura dengan pendekatan yang berbeza: motosikal yang boleh dicas menggunakan prasarana pengecasan kenderaan elektrik (EV) sedia ada, berbanding stesen penukaran bateri. Mereka juga menyasarkan kumpulan kenderaan yang dimiliki syarikat bagi memastikan model perniagaan tersebut berdaya maju sebelum is diperluaskan kepada para pengguna umum.

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) memberitahu Mediacorp bahawa ia "secara berperingkat menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik dalam pelbagai segmen kenderaan, termasuk motosikal", sebagai sebahagian daripada usaha Singapura untuk beralih sepenuhnya kepada kenderaan tenaga lebih bersih menjelang 2040.

LTA menambah bahawa penggunaan motosikal elektrik masih "di peringkat awal" berbanding kenderaan beroda empat.

PERGI KE PASARAN DENGAN BANYAK MOTOSIKAL

Bagi sesetengah syarikat, penyelesaian kepada pasaran tempatan yang berkembang perlahan adalah mudah: pergi ke negara yang mempunyai lebih banyak motosikal.

Indonesia mempunyai jumlah motosikal kedua terbesar di dunia, dianggarkan antara 112 juta dengan 139 juta unit, merangkumi 85 peratus daripada semua kenderaan bermotor di negara tersebut.

Sebagai perbandingan, jumlah kereta di Singapura lebih empat kali ganda berbanding motosikal.

Syarikat kenderaan elektrik dua roda Kilats beroperasi di Indonesia sejak 2024. Ia menyewakan hampir 700 motosikal elektrik kepada Grab di Bali dan Bandung, disokong oleh 44 stesen penukaran bateri.

Pengasas bersama Vincent Yap dan Sheldon Lee berkata saiz pasaran Indonesia mendorong mereka untuk memulakan operasi di negara tersebut. Syarikat tersebut merancang untuk memperluaskan operasinya di Indonesia, memasuki pasaran Thailand menjelang hujung tahun ini serta menembusi pasaran Vietnam dan Filipina pada 2027.

Buat masa ini, Encik Yap tidak mempunyai sebarang kenderaan yang beroperasi di Singapura, sebaliknya menyifatkan negara ini sebagai "batu loncatan" untuk mengembangkan perniagaan di rantau ini.

"Menjadikan Singapura sebagai pusat pembiayaan dan operasi strategik membolehkan syarikat berkembang dengan lebih pantas di rantau ini dari segi permit, kerjasama dan penggunaan modal," kata beliau.

"Singapura merupakan 'kapal induk' kami dan wadah pegangan pelaburan, di mana kami merancang untuk memiliki kepentingan saham secara langsung dalam semua operasi di luar negara."

Syarikat tempatan Charged Asia kini meraih kesemua pendapatannya dari Indonesia dan sedang merancang untuk berkembang ke Malaysia. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Joel Chang, berkata syarikat itu sudah menyediakan lebih 5,000 motosikal di Indonesia dan berada di landasan untuk menyediakan lebih 300,000 motosikal di seluruh rantau ini dalam tempoh "beberapa tahun akan datang".

Leo Electric juga pada mulanya meneroka pasaran luar negara, termasuk kemungkinan memperkenalkan motosikalnya di Nigeria dan Timur Tengah. Namun, rancangan tersebut terjejas akibat cabaran prasarana dan geopolitik.

Sedang ia merancang untuk melancarkan motosikalnya di Nigeria pada tahun depan, syarikat itu juga kini mengalihkan tumpuannya lebih dekat ke Singapura. Ia bekerjasama dengan Kilats untuk memperkenalkan sebuah model motosikal elektrik di Singapura tahun ini yang direka agar ia boleh dicas menggunakan prasarana pengecasan sedia ada bagi kereta elektrik.

"Selain penjualan kenderaan, kami juga sedang meneroka peluang dalam prasarana pengecasan sebagai bidang yang berpotensi untuk dikembangkan," kata Ketua Pegawai Operasi Nicholas Ng.

Harga masih belum dimuktamadkan, namun Encik Ng berkata kos awal model baharu itu akan menjadi "sedikit lebih tinggi" berbanding motosikal petrol biasa dalam kelas yang sama.

"Namun, ia akan memberikan lebih banyak penjimatan dalam jangka panjang dari segi kos petrol dan penyelenggaraan, sama seperti perbandingan antara kereta elektrik dengan kereta petrol," kata beliau.

Encik Chang berkata Charged Asia juga merancang untuk melancarkan model baharu di Singapura tahun ini yang boleh menggunakan prasarana pengecasan sedia ada.

Beliau menambah, meskipun jumlah motosikal di Singapura kecil, pasaran tersebut masih "penting" bagi syarikat tersebut memandangkan ia diasaskan di sini. Motosikal juga kekal sebagai satu keperluan bagi "kegunaan mobiliti tertentu".

MENGAPA PENUKARAN BATERI MUNGKIN TIDAK SESUAI BAGI SINGAPURA

Menurut Kilats dan Leo Electric, sistem penukaran bateri mungkin tidak berdaya maju bagi motosikal-motosikal elektrik di Singapura.

"Singapura merupakan pasaran yang lebih sesuai untuk sistem pengecasan kerana kenderaan elektrik dua roda memerlukan bateri dan motor berkapasiti lebih tinggi untuk digunakan di rangkaian jalan raya dan lebuh raya Singapura yang sangat cekap," kata Encik Lee.

Menurutnya, perjalanan yang kerap di hiwe bermakna motosikal sering bergerak pada kelajuan tinggi. Ini menyebabkan bateri yang boleh ditukar kehabisan kuasa lebih cepat berbanding bateri terbina yang lebih berat. "Oleh itu, kami tidak menjangka untuk membangunkan prasarana penukaran bateri di Singapura dalam tempoh beberapa tahun akan datang."

Pakar ekonomi pengangkutan Walter Theseira dari Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) bersetuju. Beliau berkata model penukaran bateri yang paling banyak digunakan bergantung pada "bateri yang sangat kecil" dan cukup ringan untuk ditukar secara manual.

"Jika penggunaannya hanya dalam sesebuah kawasan kejiranan, misalnya untuk membuat penghantaran dan sebagainya, saya rasa tiada masalah," kata beliau. "Namun, jika kita bercakap tentang seorang pekerja penghantaran yang berulang alik dari Tuas ke Changi beberapa kali sehari, bateri pada dasarnya perlu ditukar setiap beberapa jam."

Jumlah pengguna yang rendah turut menjadi satu masalah, kata penganalisis pengangkutan Terence Fan, Penolong Profesor di Universiti Pengurusan Singapura (SMU).

"Untuk menjayakan inovasi seperti penukaran bateri, kita perlu mempunyai jumlah pengguna yang mencukupi terlebih dahulu – dan nampaknya kita belum mempunyai jumlah pengguna motosikal yang mencukupi," kata beliau.

Ketua Pegawai Eksekutif Leo Electric, Jeelian Leong, berkata pembangunan rangkaian penukaran bateri dan ekosistem lebih luas yang menyokongnya akan mengambil masa "beberapa tahun". Beliau menarik perhatian bahawa pusat pengecasan yang sedia ada juga mengambil masa bertahun-tahun untuk berkembang sehingga mencapai skala yang dilihat hari ini.

Namun, pengecasan secara langsung turut mempunyai cabarannya sendiri, kata Profesor Madya Theseira. Ini termasuk ketidakpastian dalam kalangan orang ramai berhubung sama ada motosikal elektrik dibenarkan di sisi undang-undang untuk dicas di petak pengecasan EV awam.

LTA mengesahkan kepada Mediacorp bahawa para pengguna motosikal elektrik boleh mengecas kenderaan mereka di pusat pengecasan EV di seluruh Singapura.

MENUJU KE PASARAN MASSA

Motosikal elektrik masih belum berdaya maju dari segi ekonomi bagi para pengguna umum, kata Encik Lee.

"Jenama-jenama sudah mencuba untuk menjualnya kepada para pengguna runcit, namun mereka masih belum yakin kerana banyak aspek seperti kebimbangan mengenai jarak perjalanan, akses kepada sumber tenaga, jangka hayat bateri dan kos masih belum terbukti kepada mereka," kata beliau.

Encik Lee menjangkakan syarikat-syarikat motosikal elektrik akan mendapat sambutan lebih baik dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang dengan menyasarkan perniagaan pula – termasuk entiti berkaitan pemerintah serta syarikat logistik, penghantaran jarak dekat dan perdagangan pantas. Para pekerja gig dapat meraih penjimatan segera daripada kos petrol, manakala syarikat-syarikat tersebut pula berdepan tekanan yang semakin meningkat untuk memenuhi sasaran kemampanan.

"Oleh itu, model perniagaan ke perniagaan dan penjimatan kos yang dapat diraih dengan segera akan menjadi kunci untuk menggalakkan penggunaan dalam jangka pendek," kata beliau.

"Dengan lebih banyak kenderaan elektrik dua roda digunakan oleh syarikat-syarikat di jalan raya, penggunaannya akan menjadi lebih ketara dan diharapkan dapat meningkatkan keyakinan serta kepercayaan para pengguna."

Encik Chang memberi bayarangan bahawa dasar pemerintah dapat memainkan peranan, sama seperti yang dilaksanakan bagi kereta – menerusi skim yang mengenakan penalti terhadap motosikal baharu yang lebih mencemarkan, di samping subsidi bagi motosikal elektrik.

"Sama seperti kereta elektrik berbanding kereta dengan enjin pembakaran dalaman, perlu ada semacam pendekatan yang menggabungkan insentif dengan denda," kata beliau.

Kemampuan membayar masih menjadi satu hambatan, kata Penolong Profesor Fan. Motosikal elektrik yang menawarkan jarak perjalanan dan kapasiti bateri yang baik dijual pada harga lebih tinggi. Pada masa yang sama, para pengguna motosikal biasa "mungkin mempunyai belanjawan yang lebih terhad berbanding para pengguna kereta sedan, lantas kurang cenderung untuk mengeluarkan lebih banyak wang sekarang demi meraih penjimatan kos operasi pada masa depan".

APA SETERUSNYA?

Menurut LTA, ia menyokong penggunaan motosikal elektrik dengan menyediakan proses homologasi – proses pensijilan rasmi yang mengesahkan bahawa sesebuah produk memenuhi piawaian kawal selia – dan penggunaan model-model motosikal elektrik, selain membangunkan lebih banyak prasarana pengecasan.

LTA juga bekerjasama dengan pihak industri untuk memudahkan penggunaan bateri yang boleh ditukar di stesen penukaran dan pengecasan bateri di seluruh Singapura. Namun begitu, menurut LTA, kadar penggunaan motosikal elektrik masih rendah, antara lain disebabkan oleh jarak perjalanan yang lebih pendek dan kuasa yang lebih rendah berbanding motosikal petrol.

Profesor Madya Theseira berkata kapasiti bateri menjadi antara faktor yang menghambat perkembangan industri tersebut. Kereta boleh membawa bateri yang lebih berat dan besar bagi meningkatkan jarak perjalanan, namun motosikal mempunyai lebih banyak keterbatasan.

"Untuk motosikal mencapai jarak perjalanan yang sama, bateri yang lebih besar perlu digunakan dan ini akan meningkatkan berat serta kos dengan ketara," kata beliau.

Namun, Encik Ng dari Leo Electric berharap kemajuan teknologi dapat mengubah keadaan tersebut.

"Sedang teknologi motosikal elektrik terus bertambah baik dan kos menjadi lebih kompetitif, saya tidak terkejut jika kita melihat sasaran penggunaan motosikal elektrik yang lebih bercita-cita tinggi dalam dekad akan datang," kata beliau.

"Pada akhirnya, setiap kenderaan elektrik di jalan raya menyumbang kepada matlamat kemampanan Singapura."
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita