jelasBERITA: Mengapa SIA terus melabur dalam Air India meski alami kerugian besar?
Kerugian tahunan terbesar, berbilion dolar dibelanjakan bagi penstrukturan semula besar-besaran dan permintaan ekuiti baharu sebanyak AS$1.5 bilion (S$1.9 bilion) daripada pemiliknya.
Para pengunjung berkumpul berhampiran pesawat Airbus A350 pertama Air India di Lapangan Terbang Begumpet di Hyderabad, India, pada 18 Jan 2024. (Gambar fail: AFP/Noah Seelam)
Itulah antara cabaran yang dihadapi Air India dalam usahanya untuk kembali menjadi syarikat penerbangan global utama, sedang tekanan luaran termasuk kos bahan api yang tinggi dan gangguan geopolitik terus menjejas kedudukan kewangannya.
Namun, Singapore Airlines (SIA) terus memegang 25.1 peratus saham Air India dan menyatakan ia kekal komited terhadap pelaburan tersebut bagi jangka panjang.
"Kami tidak pernah menyangka bahawa ia satu perjalanan yang mudah. Ketika kami memulakan usaha sama dengan rakan kongsi kami Tata Sons untuk menubuhkan Vistara, kami sudah tahu ketika itu bahawa ia merupakan satu usaha jangka panjang," kata Ketua Pegawai Eksekutif SIA Goh Choon Phong semasa taklimat keputusan kewangan pada Mei.
Jadi, mengapa SIA sanggup terus melabur meskipun Air India mengalami kerugian? Berapa banyak lagi modal yang mungkin perlu disuntik? Dan apakah yang perlu berlaku supaya pelaburan tersebut membuahkan hasil?
MENGAPA SIA MASIH PERTARUHKAN AIR INDIA?
Jawapannya sebahagian besarnya terletak pada saiz dan potensi pasaran penerbangan India.
SIA mengenal pasti India sebagai bahagian penting dalam "strategi berbilang hab" syarikat itu.
Pegangannya dalam Air India memberikan SIA akses langsung kepada pasaran tersebut dan kelebihan domestiknya, menurut Penolong Profesor di Universiti Penerbangan Nasional Rajiv Gandhi, Dr Rohit Kumar Rawat.
India merupakan antara pasaran penerbangan terbesar dunia, dengan trafik penumpang berkembang sekitar 10 hingga 12 peratus setahun sepanjang sedekad lalu.
Jumlah trafik penumpang dijangka mencecah hampir 1.1 bilion menjelang 2040.
Saiz operasi Air India juga memberikan SIA akses kepada aset yang sukar ditandingi syarikat baharu, termasuk rangkaian domestik yang luas, hak trafik penerbangan dan slot lapangan terbang.
Delhi dan Mumbai pula berpotensi berkembang menjadi hab penerbangan antarabangsa yang lebih kukuh.
Ini membolehkan Air India meraih sebahagian trafik yang kini melalui hab-hab di Timur Tengah dan Asia Tenggara.
Jika transformasi Air India berjaya, SIA juga berpeluang meraih manfaat daripada nilai masa depan syarikat penerbangan yang lebih besar itu.
Dalam erti kata lain, pertaruhan SIA bukan semata-mata terhadap prestasi kewangan Air India sekarang, tetapi potensi jangka panjang pasaran penerbangan India.
BILA KERUGIAN AIR INDIA JADI TERLALU BESAR?
Air India sedang meminta suntikan ekuiti baharu sebanyak AS$1.5 bilion (S$1.91 billion) daripada pemiliknya, Tata Sons dan SIA, hanya beberapa bulan selepas mencatatkan kerugian tahunan terbesar.
Jurucakap SIA sebelum ini berkata lembaga pengarahnya akan "mempertimbangkan dengan teliti" sebarang permintaan modal tambahan daripada Air India dengan mengambil kira keperluan modal lain kumpulan itu serta strategi perniagaan Air India.
BERITA Mediacorp sebelum ini melaporkan Air India dan unit tambang rendahnya, Air India Express, mencatatkan kerugian gabungan AS$2.33 bilion (S$2.96 bilion) bagi tahun kewangan berakhir Mac, lebih dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya.
Syarikat penerbangan Singapura itu mencatatkan kerugian bersih S$76 juta pada suku pertama 2026, antaranya disebabkan kos bahan api yang lebih tinggi berkaitan perang di Timur Tengah serta bahagian kerugian lebih besar daripada Air India.
Namun, Dr Rawat berkata ini tidak bermakna Air India perlu mencatat keuntungan dengan segera kerana syarikat penerbangan itu sedang menjalani transformasi yang memerlukan modal besar.
Persoalan utama adalah sama ada Air India akhirnya mampu menggunakan saiz, rangkaian dan kedudukan pasarannya untuk mewujudkan kelebihan daya saing yang mampan serta keuntungan jangka panjang.
Tata Sons sebelum ini menyatakan transformasi Air India mungkin mengambil masa sehingga sedekad.
Ini bermakna SIA perlu menilai bukan sahaja potensi hasil akhirnya, tetapi juga sama ada Air India menunjukkan kemajuan yang mencukupi sepanjang proses transformasi tersebut.
SEJAUH MANA REALISTIK AIR INDIA BOLEH DIPULIHKAN?
Air India menjalani rombakan besar-besaran sejak Tata Group mengambil alih syarikat penerbangan itu, namun sesetengah penganalisis penerbangan masih ragu-ragu tentang seberapa cepat prestasinya boleh dipulihkan.
Pengerusi firma perunding penerbangan Starair Consulting Harsh Vardhan berkata pemulihan segera tidak mungkin berlaku, terutama dengan prestasi kewangan Air India yang semakin merosot serta gangguan lebih luas akibat perang di Timur Tengah.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif firma khidmat nasihat penerbangan dan risiko Martin Consulting, Mark Martin, turut mempersoalkan sama ada SIA wajar terus menyuntik modal ke dalam Air India.
Beliau turut menarik perhatian kepada laporan akhir mengenai nahas maut Air India tahun lalu yang dijangka diterbitkan pada Oktober.
Dapatan siasatan itu boleh membawa kesan terhadap operasi dan reputasi Air India, bergantung kepada kesimpulan para penyiasat.
Namun, bukan semuanya negatif.
Penganalisis DBS Jason Sum berkata pengurusan Air India melaporkan kemajuan operasi yang stabil, termasuk peningkatan pengalaman pelanggan menerusi kerja menaik taraf kabin, penambahbaikan khidmat dan naik taraf ruang istirahat.
SIA juga dilaporkan memindahkan sebahagian kakitangannya ke Air India, dengan beberapa eksekutif memegang jawatan penting dalam operasi penerbangan, kejuruteraan dan penyenggaraan.
Air India turut melantik Tewolde Gebremariam sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharunya.
Encik Tewolde menerajui Ethiopian Airlines selama lebih sedekad dan membantu menjadikannya antara kumpulan syarikat penerbangan terbesar dan paling menguntungkan di Afrika.
Cabaran Air India bukan sekadar menambah pesawat baharu atau menaik taraf kabinnya.
Syarikat penerbangan itu sudah melalui beberapa penggabungan dan masih dalam proses menyepadukan operasi, sistem serta budaya organisasi yang berbeza.
Encik Vardhan berkata struktur pengurusan dan organisasinya perlu diperkemas supaya Air India dapat beroperasi sebagai sebuah entiti yang lebih bersepadu.
Meskipun kepakaran SIA boleh membantu Air India dalam bidang seperti perancangan rangkaian, pengurusan hasil, khidmat premium dan operasi antarabangsa, SIA tidak mampu mengubah syarikat penerbangan itu sendiri.
Ini kerana SIA merupakan pemegang saham minoriti yang besar dan bukannya pemilik yang mempunyai kawalan.
Tata Sons kekal sebagai pemegang saham yang mempunyai kawalan, bermakna hala tuju akhir transformasi Air India bergantung kepada keseluruhan struktur pemilikan dan pengurusannya.
APA MANFAAT AIR INDIA DARIPADA SIA?
Hubungan antara kedua-dua syarikat bukan sekadar mengenai SIA menyediakan modal.
Menurut Dr Rawat, SIA membawa dua manfaat utama kepada Air India – kesalinghubungan rangkaian yang lebih kukuh dan kepakaran industri.
Hab SIA di Singapura boleh melengkapi rangkaian domestik Air India, sekali gus mewujudkan aliran penumpang tambahan antara India, Asia Tenggara dengan destinasi antarabangsa lain.
SIA juga boleh menyumbang kepakaran dalam perancangan rangkaian, pengurusan hasil, khidmat premium dan operasi antarabangsa.
Kedudukan Encik Goh dalam lembaga pengarah Air India pula menyediakan saluran rasmi bagi SIA untuk mengambil bahagian dalam keputusan strategik.
Namun, pegangan saham SIA sebanyak 25.1 peratus turut mengehadkan tahap kawalannya terhadap Air India.
JADI, ADAKAH PERTARUHAN SIA BERBALOI?
Antara petunjuk utama yang perlu diperhatikan adalah sama ada prestasi operasi Air India terus bertambah baik, kerugian kewangannya dapat dikurangkan dan syarikat penerbangan itu akhirnya mampu menjana pulangan mampan daripada saiz, rangkaian serta aksesnya kepada pasaran penerbangan India yang semakin berkembang.
SIA bukan sekadar bertaruh terhadap prestasi Air India hari ini.
Pertaruhannya adalah Air India boleh ditransformasikan menjadi aset yang nilainya pada masa depan mampu mengimbangi kos dan masa yang diperlukan untuk memulihkannya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.