jelasBERITA: Mengapa semakin ramai rakyat SG pilih pembedahan siang hari?
Bagi sesetengah pesakit, istilah "pembedahan" mungkin sama menakutkan seperti mendapat diagnosis bagi sesuatu penyakit yang kronik.
Semakin ramai pesakit memilih pemulihan di rumah selepas menjalani pembedahan. (Gambar: iStock/Pony Wang)
Selepas menjalani pembedahan, pesakit juga mungkin berasa keliru dan tertekan apabila berdepan dengan kesan selepas menerima anestetik am atau bius am (seperti rasa loya dan seram sejuk). Di wad pula, bunyi monitor, lampu terang yang tidak pernah dipadamkan serta gangguan berterusan untuk menjalani pemeriksaan perubatan boleh mengganggu tidur.
"Golongan muda semakin cenderung memilih tempoh rawatan di hospital yang lebih singkat dan model pemulihan di rumah," kata Dr Chia Shi-Lu, seorang pakar bedah ortopedik kanan dari HMI Medical Centre dan Activ Orthopaedic Centre.
"(Mereka melihat) kemasukan ke hospital yang berpanjangan sebagai kurang diingini apabila penjagaan yang setara boleh diberikan di luar persekitaran hospital. Pesakit yang lebih berpengetahuan juga semakin banyak bertanya kepada saya mengenai pilihan pembedahan siang hari (day surgery)."
Sebab itulah semakin banyak hospital kini membenarkan pesakit keluar hospital pada hari yang sama (dalam tempoh kurang 24 jam) bagi prosedur yang sesuai. Sebagai contoh, sekitar 30 hingga 40 peratus pembedahan yang dijalankan di Hospital Universiti Nasional (NUH) dilakukan sebagai prosedur pembedahan siang hari - meningkat daripada 20 peratus sedekad lalu.
Malah, sesetengah hospital sudah menjadikan pembedahan siang hari sebagai amalan standard. "Kes-kes yang sesuai dan memenuhi kriteria biasanya akan disyorkan untuk pembedahan siang hari, dan pakar bedah akan menerangkan pilihan ini semasa sesi konsultasi," kata konsultan kanan, Profesor Madya Alfred Kow Wei Chieh, yang mengetuai Jabatan Pembedahan, Divisyen Pembedahan Hepatobiliari dan Pankreas di NUH.
Namun, tidak semua pesakit bersedia untuk menerima pendekatan pembedahan siang hari kerana mereka mungkin mempunyai kebimbangan mengenai proses pemulihan di rumah, kata Profesor Madya Adjung Glenn Tan Wei Leong, konsultan kanan pembedahan am serta Pengerusi Divisyen Pembedahan di TTSH.
Namun, beliau menegaskan bahawa "kemajuan pada teknik pembedahan dan bius, termasuk pembedahan invasif minimum, bius am dan pengurusan kesakitan selepas pembedahan yang lebih baik, telah menjadikan pembedahan siang hari semakin diterima sebagai standard penjagaan bagi banyak prosedur."
BAGAIMANA PULA DENGAN INSURANS? BUKANKAH IA BIASANYA TIDAK MELIPUTI PEMBEDAHAN SIANG HARI?
Tanggapan bahawa banyak polisi insurans tidak meliputi pembedahan siang hari adalah satu salah faham, kata Prof Madya Kow.
"Prosedur pembedahan siang hari, di mana pesakit dipantau di wad pembedahan pada waktu siang selama beberapa jam selepas pembedahan, lazimnya boleh dituntut di bawah kebanyakan polisi insurans. Pesakit juga boleh menggunakan MediSave untuk menampung sebahagian daripada kos tersebut di samping perlindungan insurans mereka."
Penolong Profesor Thiruchelvam Jegathesan, konsultan kanan di Jabatan Urologi TTSH, bersetuju bahawa banyak prosedur pembedahan siang hari memenuhi kriteria yang ditetapkan; bagi sesetengah polisi, ia mungkin memerlukan tempoh pemantauan atau penjagaan dalam wad minimum selama lapan jam.
"Semakin banyak syarikat insurans kini mengiktiraf kelebihan tempoh penjagaan di hospital yang lebih singkat, dan syarat-syarat sedemikian semakin longgar dari semasa ke semasa."
"Bagi pembedahan siang hari, pesakit boleh memilih rawatan Swasta (A) atau Bersubsidi (B2)," kata Penolong Profesor Jegathesan.
"Warga Singapura yang layak dan menerima rawatan bersubsidi boleh menerima sehingga 80 peratus subsidi pemerintah, tertakluk kepada ujian kemampuan di peringkat nasional."
Beliau menambah bahawa baki bil mungkin boleh dilunaskan menerusi MediShield Hayat atau Pelan Perlindungan Insurans Bersepadu (IP), bergantung kepada perlindungan yang dimiliki.
"Pesakit juga boleh menggunakan MediSave untuk membantu membayar jumlah yang perlu dibayar sendiri terlebih dahulu, bayaran bersama dan perbelanjaan lain yang perlu ditanggung sendiri, tertakluk kepada had pengeluaran semasa yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (MOH)," kata beliau.
Apa yang lazimnya tidak dilindungi oleh kebanyakan polisi insurans, jelas Chee Li Li, penolong pengarah Divisyen Kejururawatan KKH, ialah prosedur elektif seperti pembedahan kosmetik atau estetik.
"Bagi prosedur seperti pembuangan ketulan pada payudara yang dianggap sebagai diperlukan dari segi perubatan, perlindungan insurans lazimnya akan diberikan. Namun, lebih baik untuk mendapatkan pengesahan terus daripada syarikat insurans masing-masing mengenai perlindungan yang ditawarkan."
Berikut merupakan antara prosedur yang boleh dilakukan menerusi pembedahan siang hari:
1. Pembedahkan 'replacement' lutut
2. Pembuangan ketulan pada payudara
3. Pembuangan pundi hempedu
4. Rawatan pembesaran prostat
5. Rawatan hernia
6. Pembedahan sinus
Orang ramai juga boleh melungsuri laman web MOH untuk mendapatkan maklumat lanjut.
BERAPA KERAP PESAKIT PERLU DIMASUKKAN KE DALAM WAD?
Kemasukan ke dalam wad "jarang berlaku jika pemilihan dan persiapan pesakit dilakukan dengan teliti", kata Dr Chia, yang pakar dalam pembedahan 'replacement' lutut.
"Selalunya, sebab paling lazim ialah sesetengah pesakit memerlukan sedikit masa tambahan untuk pulih daripada kesan bius, yang akan melengahkan proses pemulihan mereka."
Prof Madya Lim turut menyatakan bahawa kesan sampingan berkaitan bius seperti muntah dan pening sering menjadi faktor yang menyebabkan pesakit tidak dibenarkan keluar hospital dengan serta-merta.
"Pesakit-pesakit ini biasanya dibenarkan pulang pada keesokan hari selepas kesan bius itu hilang."
Tanda-tanda lain yang mungkin memerlukan pesakit dimasukkan ke dalam wad termasuk pendarahan yang ketara serta tanda-tanda jangkitan seperti demam, kemerahan, seram sejuk dan kesakitan di sekitar luka, kata beliau.
Bagi bidang kepakaran yang melibatkan prostat dan hernia misalnya, antara tanda yang memerlukan pesakit mendapatkan rawatan lanjut di hospital termasuk kesukaran membuang air kecil, sakit pada bahagian perut yang semakin teruk dan kehadiran darah beku dalam jumlah yang banyak pada air kencing.
Dalam kebanyakan keadaan, "pesakit biasanya dipantau di wad pembedahan siang hari selama sekitar lima hingga enam jam", kata Prof Madya Kow, yang jabatannya mempunyai kepakaran dalam rawatan pundi hempedu, saluran hempedu, hati dan pankreas.
"Jika kesakitan mereka dapat dikawal dengan baik dan mereka boleh bercakap serta makan, mereka boleh dibenarkan pulang."
Beliau menambah bahawa "kesakitan lazimnya berkurangan dengan ketara dalam tempoh 24 hingga 48 jam, dan kebanyakan pesakit kembali kepada hampir 98 peratus keadaan fizikal mereka sebelum pembedahan dalam tempoh satu hingga dua minggu".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.