Skip to main content

Singapura

jelasBERITA: Mengapa semakin banyak rompakan laut berlaku di Selat Singapura?

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Mengapa semakin banyak rompakan laut berlaku di Selat Singapura?

Pemandangan pulau Bukom di Selat Singapura. (Gambar: iStock/IgorSPb)

SINGAPURA: Sejak awal 2025, sebanyak 50 insiden rompakan laut dilaporkan secara keseluruhan di Selat Melaka dan Singapura.

Kesemua kejadian tersebut bagaimanapun berlaku di Selat Singapura, menurut data dari Perjanjian Kerjasama Serantau bagi Memerangi Kegiatan Lanun dan Rompakan Bersenjata ke atas Kapal di Asia (ReCAAP).

Ini merupakan peningkatan ketara berbanding dengan 14 kejadian dalam tempoh yang sama (1 Januari hingga 7 Mei) pada tahun lalu.

Sebagai salah satu laluan pelayaran paling sibuk di dunia dengan lebih daripada 1,000 kapal melaluinya setiap hari, Selat Singapura telah lama diisytiharkan oleh ReCAAP sebagai kawasan yang perlu diberi perhatian akibat kejadian rompakan laut yang berterusan.

Rompakan laut biasanya berlaku dalam perairan dalaman sesebuah negara, perairan kepulauan dan laut wilayah; manakala kegiatan lanun merujuk kepada tindakan kekerasan atau penahanan yang dilakukan secara haram di laut lepas (high seas).

APA MAKNA ANGKA-ANGKA INI?

ReCAAP, bersama dengan Pusat Perkongsian Maklumatnya, dicadangkan seawal tahun 1999 setelah negara-negara di rantau ini menyuarakan kebimbangan mengenai kes rompakan laut.

Di Selat Singapura sahaja, satu trend peningkatan boleh dilihat sejak 2019.

Pada tahun itu, terdapat 31 kejadian - berbanding tujuh pada 2018. Ini termasuk serangan sebenar dan yang cuba dilakukan.

Jumlah kejadian ini terus meningkat dengan stabil, mencapai 61 kejadian pada tahun lalu.

Angka tersebut dari Selat Singapura adalah lebih separuh daripada 116 kejadian rompakan laut yang dilaporkan di seluruh dunia pada tahun lalu, kepada Biro Maritim Antarabangsa.

Laporan-laporan ini mengambil kira serangan di lokasi-lokasi seperti Asia Tenggara, Asia Timur, benua kecil India, Amerika dan Afrika.

DI MANA KEBANYAKAN KEJADIAN BERLAKU?

Daripada 50 kejadian yang dilaporkan tahun ini di Selat Singapura, 47 daripadanya berlaku di laluan timur selat itu dalam Skim Pemisahan Trafik Selat Singapura, yang mengarahkan dan mengelakkan pertembungan antara kapal-kapal yang bergerak di arah bertentangan.

Kebanyakan kejadian berlaku berhampiran dengan pulau-pulau di sekitar Singapura, dengan salah satunya terletak kira-kira 14 kilometer ke selatan dari negara ini.

APA YANG DICURI?

Perompak laut di sini cenderung untuk menyasarkan barang mudah alih yang tidak diikat pada kapal.

Ini termasuk alat ganti enjin dan penjana kuasa (generator), serta logam sekerap (scrap metal).

Dalam beberapa kejadian lain, peralatan dalam kapal seperti mangga kunci (padlock) dan peralatan kerja seperti gerudi tangan dan mesin gergaji 'jigsaw' turut dijarah.

Perompak kadang-kadang juga mencuri barang-barang peribadi.

Namun, dalam separuh daripada kejadian di Selat Singapura tahun ini, perompak sebenarnya pergi tanpa membawa apa-apa.

SIAPA PEROMPAK-PEROMPAK INI?

Penyelidik keselamatan maritim Ian Storey memberitahu Mediacorp bahawa sebahagian besar serangan berlaku di perairan Indonesia. Beberapa kumpulan jenayah terancang, yang dipercayai beroperasi dari Kepulauan Riau, dikatakan menjadi dalang bagi kebanyakan serangan tersebut, tambahnya.

Ketua kumpulan jenayah ini sering menggunakan nelayan yang tiada pekerjaan pada masa itu, kata felo kanan di Institut ISEAS-Yusof Ishak itu.

Encik Toby Stephens dari firma undang-undang maritim global HFW berkata perompak juga nampaknya berpusat di pulau-pulau Indonesia yang lebih terpencil, seperti Pulau Cula.

“Mereka memanfaatkan lokasi terpencil mereka, yang menjadikannya sukar untuk menjejak, mengesan dan mengejar pelaku,” kata ketua pasukan pengurusan krisis Asia Pasifik HFW.

"Bukti menunjukkan bahawa mereka adalah penjenayah bersenjata, tetapi jarang sekali menggunakan kekerasan; dan tidak dikenali serta sukar dikesan."

APA MODUS OPERANDI MEREKA?

Dalam kesemua 50 kejadian tahun ini, perompak menyasarkan terutamanya kapal pengangkut pukal dan kapal tangki besar ketika ia sedang berlayar.

Kebanyakan serangan berlaku pada awal pagi, biasanya antara 1.00 pagi hingga 6.00 pagi.

Perompak cenderung menggunakan kapal kecil seperti bot dan sampan, yang merupakan kapal kayu dengan dasar rata.

Mereka akan mendekati bahagian belakang kapal seperti dek belakang atau buritan, dan memanjat badan kapal menggunakan cangkuk atau tali.

Kebanyakan daripada mereka bersenjatakan pisau.

Beberapa senjata lain termasuk tukul dan parang.

Dalam tiga kejadian, perompak membawa senjata api.

Apabila pelaku bersenjata, kejadian tersebut biasanya diklasifikasikan sebagai Kategori 3 dan ke atas.

Kebanyakan laporan di Selat Singapura tahun ini tersebar di Kategori 3 dan 4, yang dianggap sebagai "kurang" atau "paling tidak" signifikan.

Lima kejadian dinilai sebagai Kategori 2, dengan beberapa anggota kru diikat dalam beberapa kes.

Tetapi tiada kejadian yang dilaporkan setakat ini yang diklasifikasikan sebagai Kategori 1.

Kejadian dalam Kategori 1 ini melibatkan sekumpulan besar pelaku bersenjata, dengan anak kapal mengalami kecederaan atau keganasan fizikal dan kapal itu sama ada dirampas atau kargonya seperti minyak dicuri.

APA YANG MENDORONG ROMPAKAN INI?

Dr Storey dari Institut ISEAS-Yusof Ishak berkata pelbagai faktor memainkan peranan, termasuk keadaan sosioekonomi yang buruk; rasuah dalam syarikat pelayaran dan agensi penguatkuasaan undang-undang; serta persekitaran yang kaya dengan sasaran di Selat Singapura.

Indonesia mempunyai domain maritim yang luas tetapi "aset terhad" untuk mengawalnya, kata Dr Storey, yang juga pakar dalam isu pertahanan dan keselamatan di Asia Tenggara.

“Tentera laut dan pengawal pantai Indonesia tidak dapat berada di semua tempat sepanjang masa.”

Pusat Perpaduan Maklumat (IFC), sebuah pusat keselamatan maritim serantau di bawah Tentera Laut Republik Singapura (RSN), juga menunjukkan gabungan keadaan mengikut musim dan situasi.

Dalam rumusan kejadian suku tahunan sepanjang tiga bulan pertama 2025, IFC menarik perhatian bahawa monsun timur laut - antara Disember hingga Mac - telah menjejas hasil tangkapan ikan.

Beban kewangan yang meningkat menjelang perayaan pada bulan Februari dan Mac mungkin mendorong penduduk tempatan untuk terlibat dalam jenayah kecil di perairan pesisir untuk menambah pendapatan mereka, tambah pusat itu.

ADAKAH PENINGKATAN ANGKA INI SATU KEBIMBANGAN?

Satu kebimbangan, ya - tetapi tidak berlebihan, kata Dr Storey.

Beliau menegaskan bahawa kebanyakan serangan melibatkan kecurian kecil berbanding rampasan kapal, penculikan atau kecurian kargo.

Atas sebab itu, beliau - bersama dengan Encik Stephens dari HFW - percaya impaknya terhadap perdagangan maritim setakat ini adalah minimal.

Kedua-dua pakar tersebut bagaimanapun berkata premium insurans mungkin meningkat untuk kapal yang melalui Selat Singapura, jika serangan ini terus menjadi tidak terkawal atau semakin kerap dan intensif.

Syarikat pelayaran akan memindahkan kos ini kepada pelanggan mereka, yang kemudian akan memindahkan kos tersebut kepada pengguna.

Namun, Encik Stephens berkata "tidak mungkin" orang biasa akan merasakan sebarang kesan.

“Jika dibandingkan dengan jumlah kapal yang berdagang melalui Selat ini setiap tahun, (jumlah rompakan laut) adalah sangat kecil,” katanya.

“Sebagai contoh, Pelabuhan Singapura sahaja mencatat rekod tertinggi sebanyak 3.11 bilion tan kasar trafik kapal yang tiba (tahun lalu).”

APA PENDEKATAN SINGAPURA TERHADAP ROMPAKAN LAUT?

Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA), Polis Pengawal Pantai (PCG) dan RSN bekerjasama untuk menjadikan perairan wilayah selamat.

MPA secara berkala mengeluarkan maklumat mengenai kejadian perompakan laut di Selat Singapura dan Melaka, kepada kapal-kapal yang paling sering terlibat dalam kejadian tersebut.

PCG bergantung kepada kerjasama antarabangsa, rondaan serta rangkaian kamera dan sistem lain untuk bertindak balas terhadap aktiviti jenayah dalam perairan wilayah Singapura.

PCG juga akan menaiki kapal yang terlibat dalam kejadian rompakan bersenjata di perairan Singapura, dan menyiasatnya dengan sewajarnya.

Bagi RSN, ia menubuhkan Pasukan Bertindak Keselamatan Maritim pada tahun 2009, dan Pusat Krisis Maritim Singapura pada 2011.

IFC angkatan tentera laut juga berkongsi maklumat secara langsung dalam kalangan negara jiran Singapura, sebagai sebahagian daripada kerjasama rapat yang juga melibatkan rondaan laut dan udara yang diselaraskan.

Selat Singapura juga termasuk perairan wilayah Malaysia dan Indonesia.

APA LAGI YANG BOLEH DILAKUKAN?

Kerjasama yang lebih erat antara Singapura, Malaysia dan Indonesia adalah cara untuk maju ke hadapan, kata penganalisis.

Beliau juga menyeru Indonesia untuk bertindak keras terhadap kumpulan jenayah yang terlibat dalam serangan di laut, seperti dengan menangkap dan mendakwa perompak laut tersebut.

“Buat masa ini, sangat sedikit pelaku yang ditahan dan didakwa.”

Encik Stephens berkata ketiga-tiga negara boleh memberikan panduan bersama kepada pelaut dan kelasi yang melalui rantau ini tentang perkara yang perlu diperhatikan, bersama dengan langkah pencegahan dan saluran untuk mendapatkan bantuan.

Beliau menambah bahawa lebih banyak rondaan di kawasan terpencil yang dikenal pasti sebagai tempat tumpuan utama - mungkin dibantu dengan penggunaan dron dan sistem tanpa pemandu - juga akan berguna.

“Tetapi, dengan jujurnya, sangat tidak mungkin untuk menghapuskan amalan ini sepenuhnya, kecuali faktor sosioekonomi dan politik yang mendasarinya dihapuskan.”
 
Sumber : CNA/IM/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita