Skip to main content

Singapura

jelasBERITA: Mengapa sebilangan penumpang SG kurang senang dengan peralihan dari EZ-Link ke SimplyGo?

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) mengumumkan pada Selasa (9 Jan) bahawa kad pembayaran bas dan kereta api mesti dinaik taraf.

Namun pengumuman tersebut telah menimbulkan perbincangan hangat di ruang maya tentang sama ada langkah sedemikian perlu dilaksanakan.

Apa yang bakal berubah, dan mengapa?

Mulai 1 Jun, kad dewasa EZ-Link dan kad NETS FlashPay tidak lagi boleh digunakan untuk menaiki bas dan kereta api, menurut LTA pada Selasa (9 Jan).

Para penumpang yang sedang menggunakan kaedah pembayaran sebegini perlu menaik taraf kad mereka kepada kad EZ-Link SimplyGo atau menukarnya kepada Kad Prabayar NETS.

Pengguna kad konsesi bagaimanapun tidak akan terjejas. Mereka yang menggunakan kad bank tanpa sentuh dan dompet mudah alih pada telefon atau jam tangan bijak sudahpun menggunakan platform SimplyGo, yang diperkenalkan pada 2019, dan juga tidak akan terjejas.

Malah, sekitar dua pertiga tambang dewasa pengangkutan awam kini dibayar menggunakan kad EZ-Link SimplyGo atau kad bank.

"Dengan lebih ramai penumpang menggunakan kaedah pembayaran SimplyGo, dan sistem tiket legasi berlandaskan kad bagi penumpang dewasa kian sampai ke penghujung tempoh operasinya, kita akan mengalihkan semua penumpang dewasa kepada platform SimplyGo," jelas LTA.

Penguasa itu juga menarik perhatian tentang manfaat SimplyGo, seperti keupayaan menambah nilai pada beberapa kad EZ-Link menggunakan aplikasi mudah alihya; menyekat urus niaga sekiranya kad hilang; dan menerima pemberitahuan mengenai tambang dan baki kad.

Pada Mac lalu, LTA mengumumkan aplikasi mudah alih EZ-Link dan SimplyGo TransitLink akan digabungkan menjadi satu platform sahaja. Pada waktu itu, penguasa itu menyatakan tidak akan ada sebarang perubahan bagi cara pembayaran tambang untuk penumpang.

Tidak ada sebarang petanda juga bahawa kad lama EZ-Link akan digantikan.

Bagaimana reaksi orang ramai?

Catatan Facebook CNA mengenai pengumuman itu sahaja menarik beratus-ratus reaksi dan komen warga maya yang meluahkan kekecewaan mereka.

Aduan serupa di ruangan komen serta platform-platform perbincangan online adalah di bawah sistem SimplyGo, baki kad tidak akan dipaparkan pada pagar tambang MRT atau alat pengesan kad dalam bas.

Skrin tersebut hanya akan menunjukkan perkataan "SimplyGo" dan pengguna yang mahu memeriksa baki kad mereka perlu bergantung kepada mesin tiket atau aplikasi SimplyGo.

Sebilangan pengguna bertanya mengapa sistem yang tidak rosak perlu "diperbaiki".

Para pengguna juga menarik perhatian bahawa para pemandu tidak dapat menggunakan kad yang sama untuk membayar Bayaran Elektronik Jalan Raya (ERP), meletak kereta dan pengangkutan awam.

Untuk membayar ERP atau semasa meletak kereta, mereka perlu menggunakan kad EZ-Link atau kad NETS FlashPay yang tidak menggunakan platform SimplyGo.

Malah sebilangan lain juga mencadangkan supaya menyepadukan sistem baharu dengan yang lama, berbanding menghapuskan sistem sedia ada.

Apa kata pihak berkuasa?

Mediacorp menghubungi LTA bagi mendapatkan responsnya tentang maklum balas orang ramai yang melimpah ruah.

Penguasa itu pada Selasa menyatakan potongan tambang dan baki kad tidak dapat dipaparkan kerana "urus niaga SimplyGo diproses di belakang tabir" dan bukan di pagar tabang MRT atau alat pengesan kad dalam bas.

Sebagai memberi respons kepada surat forum dalam The Straits Times tahun lalu, LTA juga menyatakan tokokan nilai menerusi aplikasi mudah alih memerlukan urus niaga untuk diproses di belakang tabir.

Ciri lain yang boleh diupayakan dengan pemprosesan di belakang tabir termasuk menyekat kad yang hilang, menyimpan rekod sejarah tambang dan mengekalkan baki yang tidak digunakan dalam kad yang sudah tamat tempoh.

Anggota Parlimen Saktiandi Supaat, yang mempengerusikan Jawatankuasa Parlimen Pemerintah berhubung pengangkutan, menulis di laman Facebook bahawa beliau berharap akan ada usaha untuk memastikan peralihan yang lancar, termasuk bagi warga lebih lanjut usia dan mereka yang mungkin tidak begitu celik digital.

"Saya juga ingin menggesa LTA supaya memastikan adanya peningkatan pada sistem perkakasan/perisian jika boleh, bagi membolehkan penumpang melihat tambang yang mereka bayar/baki kad apabila mereka menyentuh keluar," tulis Encik Saktiandi.

"Memiliki maklumat mengenai tambang/ baki kad hanya melalui aplikasi atau di mesin tiket tidak mesra penumpang mahupun memudahkan orang ramai."

Ahli ekonomi pengangkutan Walter Theseira berkata SimplyGo adalah platform yang lebih mudah disesuaikan memandangkan ia boleh menerima kad bank, kad dengan simpanan nilai dan dompet mudah alih.

Untuk membolehkan dua sistem berbeza saling dimanfaatkan, beliau berkata ini mungkin akan mendatangkan kos tambahan dan pentadbiran tidak perlu.

Mereka yang sudahpun menggunakan SimplyGo dijangka "gembira tetapi senyap", tambahnya, apabila ditanya tentang kekecewaan orang ramai di media sosial.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita