Skip to main content

Singapura

jelasBERITA: Mengapa pencalonan Rena Lee sebagai hakim Mahkamah Keadilan Antarabangsa penting bagi SG?

Apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan pemilihan hakim Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di New York pada Selasa (3 Nov), Singapura akan memberi perhatian khusus terhadap keputusan tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Mengapa pencalonan Rena Lee sebagai hakim Mahkamah Keadilan Antarabangsa penting bagi SG?

Calon Singapura, Rena Lee, mempengerusikan persidangan antara pemerintah mengenai biodiversiti marin pada Mac 2023. Beliau merupakan antara 10 calon yang bersaing bagi 5 kerusi Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) untuk penggal 2027 hingga 2036. (Gambar fail: AP/Peter Dejong)

Diterbitkan : 02 Nov 2026 05:55PM
jelasBERITA: Why is Rena Lee’s candidacy for judge at the International Court of Justice important to Singapore?
  • Singapore has nominated Rena Lee, 57, Ambassador for International Law, for one of the five ICJ judgeships for the 2027 to 2036 term; voting will take place in New York on 3 November.
  • This is Singapore’s first nomination since independence in 1965, reflecting the importance of international law to the foreign policy and national security of a small country, rather than an effort to secure rulings in Singapore’s favour.
  • Experts say Lee’s election could add to the diversity of the ICJ, where Southeast Asia is under-represented, and strengthen Singapore’s contribution to the peaceful settlement of disputes and the development of international law.
  • A national group of legal experts nominates candidates, while UN members vote through the General Assembly and Security Council. Winning requires an absolute majority in both, with additional rounds of voting if necessary.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan pemilihan hakim Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di New York pada Selasa (3 Nov), Singapura akan memberi perhatian khusus terhadap keputusan tersebut.

Buat pertama kali sejak menyertai PBB sebagai sebuah negara merdeka pada 1965, Singapura mengemukakan seorang calon untuk menganggotai badan kehakiman utama PBB itu.

Calonnya ialah Duta Singapura bagi Undang-Undang Antarabangsa, Rena Lee, 57 tahun.

Pencalonan Cik Lee bukan sekadar satu pencapaian peribadi, malah mencerminkan kepentingan undang-undang antarabangsa terhadap dasar luar dan keselamatan Singapura sebagai sebuah negara kecil.

Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri Edwin Tong menegaskan perkara itu ketika berucap di ibu pejabat PBB di New York pada 29 Oktober.

Beliau berkata bagi negara-negara kecil, pentadbiran berlandaskan undang-undang antarabangsa bukan sekadar satu pilihan, sebaliknya penting untuk kelangsungan hidup.

Encik Tong turut menekankan pentingnya mempertahankan Piagam PBB dan memastikan kuasa sesebuah negara tidak mengatasi prinsip undang-undang.

Menurut beliau, semua negara, sama ada besar atau kecil, mempunyai kedudukan yang sama dari segi kedaulatan di hadapan mahkamah tersebut.

Cik Lee merupakan antara 10 calon yang bersaing bagi 5 kerusi ICJ untuk penggal 2027 hingga 2036.

Pencalonannya pertama kali diumumkan pada 2024 sebelum beliau dicalonkan secara rasmi pada 2026.

Sekiranya terpilih, Cik Lee akan menjadi hakim wanita pertama dari Asia Tenggara yang menganggotai ICJ.

MENGAPA PENTING BAGI RAKYAT SG MENJADI HAKIM ICJ?

Mempunyai seorang rakyat Singapura sebagai hakim ICJ tidak bermakna keputusan mahkamah akan memihak kepada Singapura.

Hakim ICJ bukan wakil atau peguam bagi negara asal masing-masing.

Sebaliknya, mereka diwajibkan bertindak secara bebas dan saksama.

Di bawah Statut ICJ, setiap hakim perlu membuat pengisytiharan rasmi untuk menjalankan tugas secara tidak berat sebelah dan penuh tanggungjawab.

Namun, para pakar berkata kepelbagaian latar belakang hakim penting bagi memastikan badan kehakiman antarabangsa itu mempunyai kewibawaan dan mewakili pelbagai sistem perundangan dunia.

Perkara 9 Statut ICJ menetapkan bahawa barisan 15 hakim mahkamah tersebut secara keseluruhannya perlu mewakili bentuk utama tamadun serta sistem perundangan dunia.

Asia Tenggara setakat ini kurang diwakili dalam ICJ.

Hanya seorang hakim dari rantau ini pernah berkhidmat di mahkamah tersebut, iaitu mantan Ketua Hakim Negara Filipina, Cesar Fernando Cabrera Bengzon, dari 1967 hingga 1976.

Profesor Madya Vincent-Joël Proulx dari Fakulti Undang-Undang Universiti Nasional Singapura (NUS) berkata pemilihan Cik Lee akan menjadi perkembangan penting dalam meningkatkan kepelbagaian wakil negara kecil dan negara kepulauan dalam ICJ.

Beliau menambah penyertaan Singapura boleh memperkukuh sumbangan negara terhadap penyelesaian pertikaian secara aman serta pembangunan undang-undang antarabangsa.

Sejak ICJ mula beroperasi pada 1946, hanya 20 hakim yang pernah berkhidmat berasal dari negara kecil.

Antaranya termasuk Patrick Robinson dari Jamaica, Julia Sebutinde dari Uganda dan Abdulqawi Yusuf dari Somalia.

Menurut Profesor Madya Proulx, pemilihan Cik Lee juga akan mengukuhkan rekod Singapura dalam mempertahankan kedaulatan undang-undang dan menyokong institusi antarabangsa.
Related article image
Para hakim Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengambil tempat sebelum membacakan pendapat nasihat mengenai tanggungjawab Israel memastikan bantuan kemanusiaan sampai kepada rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat yang diduduki, di The Hague, Belanda, pada 22 Oktober 2025. (Gambar fail: AP/Peter Dejong)
BAGAIMANA CALON HAKIM ICJ DICALONKAN?

Setiap hakim ICJ berkhidmat bagi tempoh 9 tahun, namun penggal mereka tidak berakhir serentak.

5 daripada 15 kerusi dipertandingkan setiap 3 tahun, dengan hakim yang tamat penggal dibenarkan bertanding semula.

Pensyarah Kanan Michael Ng dari Sekolah Undang-Undang Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) menjelaskan proses pencalonan hakim ICJ berbeza daripada pilihan raya biasa.

Sesebuah negara tidak boleh mencalonkan seseorang secara langsung.

Sebaliknya, pencalonan dibuat oleh kumpulan kebangsaan yang terdiri daripada sehingga 4 pakar undang-undang kanan.

Setiap kumpulan boleh mencalonkan sehingga 4 individu, tetapi tidak lebih daripada 2 calon boleh berasal dari negara kumpulan berkenaan.

Calon juga boleh menerima pencalonan daripada kumpulan kebangsaan negara lain, yang dikenali sebagai pencalonan bersama.

Dalam pemilihan tahun ini, calon Britain Dapo Akande menerima pencalonan daripada 43 kumpulan kebangsaan, diikuti François Alabrune dari Perancis dengan 40 pencalonan.

Cik Lee menerima 33 pencalonan, manakala Phoebe Okowa dari Kenya dan Jin-Hyun Paik dari Korea Selatan masing-masing menerima 26 dan 21 pencalonan.

Berdasarkan dokumen PBB yang tersedia kepada umum, pencalonan bersama Cik Lee merangkumi kesemua 5 kumpulan serantau PBB, iaitu Asia-Pasifik, Afrika, Amerika Latin dan Caribbean, Eropah Barat dan Negara-Negara Lain serta Eropah Timur.

Profesor Madya Proulx berkata kesediaan Singapura menyertai proses pemilihan yang memerlukan sumber besar untuk berkempen dan mendapatkan sokongan diplomatik mencerminkan keyakinan negara terhadap institusi undang-undang antarabangsa.
Related article image
Bendera Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkibar semasa Perhimpunan Agung PBB di ibu pejabat pertubuhan itu di New York, Amerika Syarikat, pada 21 September 2026. (Gambar: Justin Tang/The Canadian Press menerusi AP)
BAGAIMANA SESEORANG CALON BOLEH MEMENANGI PEMILIHAN?

Walaupun pencalonan dibuat oleh kumpulan kebangsaan, undi pemilihan hakim ICJ diberikan oleh pemerintah negara anggota PBB.

Untuk terpilih, seseorang calon mesti memperolehi majoriti mutlak secara berasingan dalam kedua-dua Perhimpunan Agung PBB dan Majlis Keselamatan PBB.

Ini bermakna calon perlu mendapatkan sekurang-kurangnya 97 undi daripada 193 anggota Perhimpunan Agung, serta 8 undi daripada 15 anggota Majlis Keselamatan.

Profesor Madya Proulx berkata sistem pengundian dua peringkat itu boleh menjadi cabaran kerana calon perlu meraih sokongan meluas daripada negara-negara anggota PBB, di samping mengambil kira kepentingan strategik kuasa besar.

Majlis Keselamatan mempunyai 5 anggota tetap, iaitu China, Perancis, Rusia, Britain dan Amerika Syarikat.

Seorang calon mungkin memperolehi undi mencukupi dalam satu badan, tetapi gagal mendapat majoriti dalam badan yang satu lagi.

Keadaan itu boleh menyebabkan pengundian diadakan berulang kali.

Para pakar berkata negara-negara anggota juga boleh membuat persetujuan untuk saling menyokong pencalonan dalam pemilihan berbeza di bawah sistem PBB.

Sebagai contoh, sesebuah negara mungkin menyokong calon hakim ICJ dari negara lain sebagai pertukaran untuk mendapatkan sokongan bagi pencalonannya ke Majlis Keselamatan PBB atau badan antarabangsa lain.

Namun, kekerapan amalan sedemikian sukar dibuktikan.

Profesor Madya Proulx berkata sokongan timbal balik seperti itu lazimnya dirunding melalui saluran diplomatik, termasuk ketika mesyuarat antarabangsa atau lawatan rasmi.

Pada hari pemilihan, setiap pengundi boleh memilih sehingga 5 calon.

Sekiranya kurang daripada 5 calon memperolehi majoriti mutlak, pusingan pengundian tambahan akan diadakan bagi mengisi kerusi yang masih kosong.

Jika lebih daripada 5 calon mencapai jumlah undi yang diperlukan, amalan sedia ada menetapkan bahawa pengundian tersebut dibatalkan dan pusingan baharu diadakan melibatkan semua calon.

Selepas Perhimpunan Agung dan Majlis Keselamatan masing-masing memilih 5 calon, senarai kedua-dua badan itu akan dibandingkan.

Hanya calon yang tersenarai dalam kedua-duanya akan diisytiharkan terpilih.

Sekiranya terdapat kerusi yang belum dapat diputuskan, pengundian berasingan akan diteruskan.

Jika kedua-dua badan masih gagal mencapai persetujuan selepas 3 mesyuarat, Statut ICJ membenarkan sebuah persidangan bersama diadakan bagi menyelesaikan kebuntuan.

Bagaimanapun, Encik Ng berkata mekanisme itu belum pernah digunakan meskipun kebuntuan pernah berlaku dalam pemilihan terdahulu.
Related article image
Duta Singapura bagi Undang-Undang Antarabangsa Rena Lee mempengerusikan Persidangan Antara Pemerintah mengenai Biodiversiti Marin di Kawasan di Luar Bidang Kuasa Negara (BBNJ) dan menerima ucapan tahniah selepas perjanjian BBNJ berjaya dimuktamadkan. (Gambar: Kementerian Ehwal Luar Singapura)
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita