Skip to main content

Singapura

jelasBERITA: Mengapa pelancong perlu isytihar wang tunai S$20,000 ketika keluar masuk SG?

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Mengapa pelancong perlu isytihar wang tunai S$20,000 ketika keluar masuk SG?

Lapangan Terbang Changi pada 15 Julai 2024. (Gambar fail: AFP/Roslan Rahman)

SINGAPURA: Seramai 10 orang baru-baru ini ditangkap di Lapangan Terbang Changi kerana gagal mengisytiharkan membawa wang tunai lebih S$20,000 ke Singapura.

Sejak Mei, semua pelancong perlu melakukan pengisytiharan online sedemikian dalam tempoh 72 jam mereka tiba atau berangkat dari pusat pemeriksaan Singapura.

Mengapa perlu isytihar jumlah wang tunai yang besar?

Seorang pakar menarik perhatian kepada wang tunai "tidak bernama" dan bagaimana ini "jelas daya tarikan" buat mereka yang terlibat dalam kegiatan haram.

"Lebih besar jumlah wang tunai yang terlibat, objektifnya semakin mencurigakan," kata Profesor Madya Sandra Boosyen, pengarah Pusat Undang-Undang Perbankan dan Kewangan di Universiti Nasional Singapura.

"Kini kita mempunyai cara-cara yang lebih cekap dan selamat untuk menyimpan wang dan melakukan pembayaran."

Profesor Madya Razwana Begum Abdul Rahim, ketua program keselamatan awam di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura, memberitahu Mediacorp bahawa pengisytiharan membantu pihak berkuasa menjejaki aliran tunai mencurigakan dan memastikan dana itu tidak digunakan bagi tujuan yang menyalahi undang-undang.

Ini termasuk pengubahan wang haram, pembiayaan pengganasan, penipuan dan pengelakan cukai.

Encik Rajan Supramaniam, peguam jenayah kanan di Regent Law, berkongsi satu kes yang diuruskannya beberapa tahun lalu sebagai contoh.

Dalam kes itu, anak guamnya, seorang wanita, menerima lebih S$100,000 sebagai sebahagian daripada urus niaga dadah.

Wang itu dipindahkan daripada sebuah akaun di Kuala Lumpur kepadanya di Singapura.

Dia mengeluarkan jumlah itu dan mengatur rancangan untuk ke Johor Bahru lalu menyerahkannya kepada seseorang di sana.

Wanita berkenaan akhirnya didakwa bagi tuduhan pengubahan wang haram lalu dipenjara.
Mengapa had S$20,000?

Profesor Madya Booysen menjelaskan bahawa ia soal mengimbangi kecekapan dengan gangguan.

"Jumlahnya tidak boleh ditetapkan lebih tinggi kerana ia meningkatkan kemungkinan kegiatan menyalahi undang-undang tidak dapat dikesan," katanya.

"Ia juga tidak boleh terlalu rendah kerana seandainya ia perlu diisytiharkan, ia akan terlalu rumit dan tidak wajar, memandangkan penggunaan wang tunai itu akan biasa sahaja bagi urus niaga kecil."

Menganggap jumlah S$20,000 sebagai munasabah, Encik Rajan berkata: "Dalam kes-kes di mana sukar untuk memberikan kata putus, pihak berkuasa mungkin akan perlu mengeluarkan amaran. Ini akan memerlukan satu penjelasan sah, seperti sebab-sebab perubatan - misalnya pembayaran di hospital swasta, atau satu kecemasan keluarga. Mereka harus berupaya memberikan bukti."

Ada beberapa lagi sebab "munasabah" yang disebut pakar-pakar, termasuk hadiah, urus niaga perniagaan, kos pendidikan atau pembayaran bagi pembelian besar.

Apa yang terjadi jika anda tidak membuat pengisytiharan?

Para pelancong yang gagal mengisytiharkan wang tunai atau dana bukan dalam bentuk tunai berjumlah lebih S$20,000 - seperti cek, kiriman wang dan pos - boleh dipenjara sehingga tiga tahun dan/atau didenda S$50,000.

"Disebabkan pengisytiharan perlu dilakukan online dalam tempoh 72 jam, mereka tidak boleh memberikan alasan untuk melakukannya," akur Encik Rajan. "Mereka tidak boleh, sebagai contoh, mengaku mereka tidak tahu mereka membawa jumlah itu."

Peguam yang mempunyai pengalaman selama 25 tahun dan pernah bekerja sebagai pegawai kanan penjara itu, sering berdepan kes banduan dihukum kerana membawa jumlah wang tunai yang besar dan tidak diisytiharkan.

"Dalam kes-kes tertentu, mereka lebih berani mengelak daripada ditangkap - menyembunyikan wang tunai dalam papan pemuka atau bahagian lain kereta, ataupun dalam tubuh mereka sendiri," kongsinya.

Adakah had ini hanya dikuatkuasakan di Singapura?

Tidak. Pengisytiharan sedemikian juga mandatori di negara-negara lain.

Para pelancong yang memasuki atau berangkat dari Australia perlu mengisytiharkan jika mereka membawa wang tunai melebihi A$10,000 (S$9,052).

Di Amerika Syarikat, jika anda membawa wang tunai melebihi AS$10,000 (S$13,548), anda perlu mengisytiharkannya.

Negara-negara di Kesatuan Eropah - seperti Jerman, Sepanyol, Itali dan Perancis - memerlukan pelancong membuat pengisytiharan jika mereka membawa lebih 10,000 euro (S$14,577).

Anda boleh membawa sehingga £10,000 semasa (S$17,172) masuk atau keluar Britain, tanpa perlu mengisytiharkannya.

Di Amiriah Arab Bersatu, yang merangkumi Dubai dan Abu Dhabi, hadnya adalah 60,000 dirham (S$22,130).
Sumber : CNA/AQ/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita