Skip to main content

Singapura

jelasBERITA: Mengapa jumlah pesalah dadah baharu di SG naik?

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Mengapa jumlah pesalah dadah baharu di SG naik?

Gambar: iStock

Diterbitkan : 24 Feb 2024 11:27PM Dikemas Kini : 25 Feb 2024 12:36AM
SINGAPURA: Semuanya bermula dengan sekali sedut sahaja gara-gara rasa ingin tahu dan tarikan untuk mendapat wang dengan mudah.

"Apa yang boleh berlaku?" Ini yang berlegar di fikiran Isaac Goh. Meskipun bahan yang tidak diketahui yang diberikan kepadanya oleh seseorang yang tidak dikenali merupakan dadah haram, ia "hanya sekali sahaja".

Berusia 18 tahun ketika itu, Isaac yang baru memulakan perniagaan online menjual minyak pati dan alat untuk aromaterapi, bertemu dengan seseorang yang tidak dikenali itu selepas menghantar pesanan ke sebuah bilik hotel. Setelah menerima produk tersebut, lelaki yang tidak dikenali itu - seorang lelaki separuh baya - membuat tawaran kepadanya.

"Dia berkata dia boleh mengambil semua stok yang saya ada tetapi saya perlu sedut sekali apa sahaja yang diberikan kepada saya," kata Isaac.

"Hanya satu sedutan dan saya boleh mendapat wang dan semua stok jualan saya habis. Jadi saya membuat keputusan dengan cepat."

Ia merupakan pertama kali Isaac menggunakan Ice, yang juga dikenali sebagai methamphetamine kristal.

Bagaimanapun ia bukan yang terakhir baginya. Dia terus berhubungan dengan lelaki berkenaan yang kemudian membekalkannya dengan pelbagai dadah secara percuma seperti Ice dan ecstasy.

Isaac akhirnya ditangkap kerana menyalahgunakan dadah dan menghabiskan masa selama enam bulan di pusat pemulihan dadah. Dia melakukan kesalahan itu sekali lagi dan ditahan lebih lama untuk menjalani pemulihan. Selepas mengharungi masa yang amat sukar, dia akhirnya disahkan bebas dadah.

Statistik terbaharu Biro Narkotik Pusat (CNB) menunjukkan jumlah pesalah dadah baharu di bawah usia 30 tahun, melonjak 20 peratus dalam tempoh setahun.
Tahun lalu, seramai 480 pesalah dadah baharu yang ditangkap berusia bawah 30 tahun, naik daripada 400 orang yang ditangkap dalam tahun 2022. Ia juga merupakan pertama kali sejak 2019, jumlah itu meningkat.

Mereka yang ditangkap tahun lalu termasuk lima remaja berusia 14 tahun iaitu pesalah paling muda yang pernah ditahan.

Meskipun masalah dadah di Singapura kekal terkawal, ia "sangat membimbangkan kerana mereka yang menyalahgunakan dadah telah mula melakukannya pada usia yang lebih muda," jelas pengarah CNB Sam Tee.

"Ramai yang melakukannya di rumah sendiri atau rumah kawan mereka," tambahnya.

Pada awal Februari 2024, tiga remaja perempuan ditangkap kerana menyalahgunakan Ice. Dua daripada mereka berusia 13 tahun.
RASA INGIN TAHU DAN ISU KESIHATAN MENTAL

Kajian menunjukkan bahawa penggunaan dadah boleh memberi kesan negatif kepada struktur dan fungsi otak terutama sekali terhadap golongan remaja" kata Dr Mythily Subramaniam, penolong pengerusi lembaga perubatan (penyelidikan) di Institut Kesihatan Mental (IMH).

"Lebih awal seseorang mulakan, semakin besar kemungkinan ia akan menjadi bentuk penyalahgunaan yang lebih teruk ... dan risiko berulang adalah lebih besar," katanya kepada Mediacorp.

Antara sebab yang lazimnya mendorong golongan muda mencuba dadah termasuk rasa ingin tahu dan pengaruh rakan.

Tinjauan IMH yang didedahkan tahun lalu menunjukkan bahawa kira-kira 20 peratus daripada mereka yang menggunakan dadah berbuat demikian kerana mereka ingin tahu tentang bahan haram itu. Ia disusuli dengan rasa percaya bahawa dadah akan membantu dalam menangani masalah mereka di samping dipengaruhi rakan-rakan.

Terdapat juga sikap yang semakin "permisif" terhadap penggunaan dadah dengan golongan muda terdedah kepada pandangan liberal dan maklumat salah di wadah online, jelas para pakar.
Related article image
Gambar hiasan: iStock
MENGULANGI KESALAHAN BUKAN SATU KEGAGALAN: KAUNSELOR

Para pakar berkata mengulangi kesalahan adalah "ancaman sebenar" bagi pesalah dadah dari mana-mana kumpulan usia. Huraiannya melibatkan merawat bukan sahaja ketagihan tetapi juga menangani isu-isu lain dan faktor risiko yang wujud dalam kehidupan penagih dadah.

"Sering kali, mereka dapat mengatasi ketagihan ketika berada di hospital atau pusat pemulihan tetapi apabila mereka kembali ke rumah, mereka menghadapi cabaran yang sama atau kekurangan sokongan sosial, tabiat lama kembali," kata Encik S B Viknesan, kaunselor kanan di Perkhidmatan Pengurusan Ketagihan Nasional IMH.

Bagi pesalah dadah muda, tidak mengetahui siapa yang boleh dipercayai untuk mengadu mengenai masalah yang dihadapi dan rasa malu, boleh menyebabkan mereka menggunakan dadah.

Adalah "hampir mustahil untuk merawat anak-anak muda itu tanpa melibatkan ibu bapa", ujar Encik Viknesan.

Menyedari bahawa "peranan ibu bapa dalam mewujudkan faktor perlindungan untuk anak-anak mereka tidak boleh dianggap mudah", beliau berkata cabarannya adalah untuk bekerjasama dengan kedua-dua, anak dan ibu bapa atau waris dalam melakar matlamat yang tidak terlalu bersifat menghukum atau permisif.

Walaupun matlamat yang hendak dicapai mungkin mengambil masa yang lama atau kesilapannya berulang, ia tidak harusnya dianggap sebagai suatu kegagalan, tambahnya. Sebaliknya, ia merupakan suatu peluang pembelajaran.

PERANAN PENTING IBU BAPA

Pemerintah mengumumkan pada Mei lalu bahawa ia akan menubuhkan sebuah jawatankuasa berbilang kementerian untuk meninjau bagaimana pihaknya boleh bekerjasama dengan ibu bapa, sekolah, masyarakat dan pihak berkepentingan lain bagi mencegah penyalahgunaan dadah dalam kalangan belia.

Pendidikan pencegahan dadah kekal sebagai benteng pertama dalam strategi kawalan dadah secara keseluruhannya di Singapura. Ia termasuk program pendampingan selepas sekolah di sekolah rendah dan menengah serta pertandingan video antidadah untuk golongan belia.

Pengarah CNB Encik Tee bahkan berkata biro itu tidak dapat melakukannya sendiri untuk membanteras penyalahgunaan dadah. Usaha itu memerlukan sokongan orang ramai, terutama sekali ibu bapa.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita