Skip to main content

Singapura

jelasBERITA: Mengapa firma SG teroka Nanning untuk tembusi pasaran China?

Pengarah jualan warga Singapura Tracy Low, 46 tahun, pergi ke Nanning untuk mencari rakan kongsi bagi mengedarkan kopi syarikatnya di China.

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Mengapa firma SG teroka Nanning untuk tembusi pasaran China?

Pavilion Singapura di Ekspo China-ASEAN ke-23 di Nanning, China, pada 17 September 2026. (Gambar: CNA/Lan Yu)

Diterbitkan : 04 Oct 2026 07:51AM
jelasBERITA: Why are Singapore firms exploring Nanning to enter the China market?
  • More than 50 Singapore exhibitors took part in the China-ASEAN Expo (CAEXPO) in Nanning from Sep 17 to 21 to look for partners, test the China market and build networks.
  • Tracy Low, Tan Teck Yong and Wayne Eo see Guangxi as a less crowded gateway than China’s major cities, but said the process takes a long time.
  • Although 52 Singaporeans were arrested on suspicion of involvement in pyramid schemes, the Singapore Business Federation and several companies said business interest in Nanning was unaffected.
  • Lawyer Liang Weitan, Dr Samuel Chng and the Singapore Business Federation advised investors to check licences, contracts and profit models, and to make independent assessments before transferring money.
Dijana oleh AI
NANNING: Pengarah jualan warga Singapura Tracy Low, 46 tahun, pergi ke Nanning untuk mencari rakan kongsi bagi mengedarkan kopi syarikatnya di China.

Syarikat tersebut, Kim’s Duet, yang menjual kopi gaya Singapura dalam pek hidangan tunggal, mula meneroka pasaran China pada awal tahun ini.

Di Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) yang berlangsung di Nanning dari 17 hingga 21 September, Cik Low bertemu dengan beberapa pengedar berpotensi.

"Proses menilai para pengedar ini mungkin mengambil masa antara tiga hingga enam bulan sebelum kami bekerjasama dengan mereka," kata beliau.

Lebih 50 pempamer dari Singapura menyertai acara selama lima hari itu – jumlah tertinggi sejak 2023. Ada yang menguji pasaran buat kali pertama, manakala yang lain sudah bertahun-tahun membina rangkaian dan kini mengubah perbincangan menjadi urus niaga perniagaan.

Bagi banyak syarikat Singapura yang mahu berkembang di China, Nanning menawarkan pintu masuk ke pasaran yang kurang dikenali.

Ibu kota Guangxi itu menjadi tumpuan selepas 52 warga Singapura diberkas kerana disyaki terlibat dalam kegiatan skim piramid, di tengah-tengah amaran sejak sekian lama berhubung tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan luar biasa tinggi.

Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) menyatakan ia tidak mengetahui tentang sebarang syarikat yang melahirkan kebimbangan untuk memasuki pasaran Nanning menyusuli berita tersebut.

Perniagaan masih mengajukan soalan-soalan lazim berhubung "akses pasaran, peluang pasaran dan bagaimana mereka boleh memasuki sesebuah pasaran", kata Pengarah Eksekutif Perniagaan Antarabangsa SBF Soo Wei-Chieh kepada Mediacorp.

Perniagaan yang ditemui Mediacorp menggambarkan proses menembusi pasaran China yang luas sebagai sesuatu yang mengambil masa – mungkin berbulan-bulan atau bahkan bertahun-tahun untuk mencari rakan kongsi yang sesuai, menguji hubungan perniagaan dan menilai sama ada sesuatu peluang boleh diterjemahkan kepada perniagaan sebenar.

“LAUTAN BIRU”

Apabila kebanyakan rakyat Singapura memikirkan tentang China, bandar-bandar utama seperti Beijing dan Shanghai sering terlintas di fikiran terlebih dahulu, kata Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat pendidikan Singapura KinderWorld International Group, Tan Teck Yong.

Namun, Encik Tan melihat peluang di kawasan-kawasan lain.

Bandar peringkat pertama seperti Beijing, Shanghai, Guangzhou dan Shenzhen merupakan "lautan merah", kata Encik Tan, merujuk kepada istilah perniagaan bagi pasaran yang sesak dan sangat kompetitif.

Sebaliknya, wilayah Guangxi merupakan "lautan biru", kata beliau – pasaran yang kurang tepu dan mempunyai lebih banyak ruang untuk berkembang.

KinderWorld mula memasuki China pada 2000 sebelum berkembang ke Vietnam. Bagi Encik Tan, meneroka pasaran baharu merupakan sebahagian daripada strategi lebih luas syarikat tersebut.

"Kami sebuah syarikat Singapura. Moto kami sangat jelas: berkembang ke peringkat antarabangsa," kata beliau.

Sejak pandemik COVID-19, Encik Tan menghadiri CAEXPO di Nanning sebanyak tiga kali, memanfaatkan pameran tersebut untuk membina hubungan, bertemu dengan para pegawai dan memahami pasaran tempatan dengan lebih baik.

Kunjungan tersebut menjadi sebahagian daripada proses jangka panjang bagi meneroka peluang di Guangxi, kata beliau.

Mengubah hubungan kepada peluang konkrit juga mengambil masa. Encik Tan menghabiskan satu setengah tahun mengadakan perbincangan sebelum rancangan KinderWorld di Guangxi mula membuahkan hasil. Kumpulan tersebut sejak itu menandatangani perjanjian dengan institusi-institusi pendidikan tempatan.

Pada masa yang sama, pemerintah Singapura pula berusaha menggalakkan lebih banyak syarikat melakukan perkara yang sama.

"Dengan ekonomi domestik kita yang kecil, banyak peluang pertumbuhan terletak di luar Singapura," kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong dalam satu ucapan pada Mac, ketika pemerintah mengumumkan peningkatan sokongan bagi firma tempatan yang meneroka pasaran luar negara.

Menteri Kanan Lee Hsien Loong turut mengunjungi Guangxi pada Mei untuk memahami dengan lebih mendalam peranan wilayah tersebut dalam keterhubungan ASEAN-China, dengan Kementerian Ehwal Luar (MFA) menyifatkan wilayah itu sebagai "pintu masuk utama" yang menghubungkan China dengan Asia Tenggara.

Namun, bagi sesetengah perniagaan yang mengambil langkah tersebut, pasaran yang kurang dikenali itu memerlukan mereka mempelajari banyak perkara baharu.

Pengarah syarikat bahan binaan Singapura Sixth Harmony Global, Wayne Eo, tidak banyak mengetahui tentang Nanning sebelum menghadiri CAEXPO buat kali pertama pada 2024.

Beliau menyangka Nanning merupakan sebuah bandar peringkat kedua di China yang sedang pesat membangun, namun terkejut apabila melihat bangunan tinggi moden dan pusat beli-belah di sana.

Orang ramai yang ditemuinya di restoran dan gerai makanan jalanan "semuanya sangat mesra dan bersungguh-sungguh", dan makanan tempatan juga memerlukan sedikit masa untuk membiasakan diri, kata beliau.

"Kalau anda bukan peminat buluh ... anda pasti benar-benar terkejut," kata beliau sambil bergurau, merujuk kepada kegemaran penduduk tempatan terhadap rebung.

Beliau terus kembali ke Nanning sejak itu. Menerusi CAEXPO, Sixth Harmony memperluaskan rangkaiannya melangkaui Nanning dan kini membekalkan produk kepada pelanggan di kawasan lain di Guangxi serta Guangdong.

"Nanning merupakan pintu masuk bagi kami," kata Encik Eo.

PERNIAGAAN TIDAK GENTAR DENGAN PENANGKAPAN BERKAITAN SKIM PIRAMID

Ibu kota Guangxi itu juga semakin mempunyai rangkaian pengangkutan yang lebih baik. Pada bulan ini, Terusan Pinglu dibuka, menyediakan Nanning dan kawasan lain di pedalaman barat daya China dengan laluan air yang lebih pendek untuk ke laut.

Namun, peranannya yang semakin berkembang sebagai penghubung antara China dengan Asia Tenggara turut digunakan untuk mempromosikan peluang yang sangat berbeza.

Pada Disember lalu, Zhang Fan, warga Singapura berusia 40 tahun yang bekerja dalam bidang keselamatan siber, berkata seorang rakan rapatnya dari universiti mendekatinya dengan satu cadangan pelaburan.

Beliau diberitahu bahawa Nanning semakin menjadi penghubung geografi yang strategik dan malah boleh menjadi "Shanghai seterusnya" dalam tempoh sedekad.

Rakannya turut menawarkan untuk membawanya mengelilingi bandar tersebut bagi melihat bangunan-bangunan tinggi dan projek-projek pembangunan, yang diketengahkan sebagai tanda potensi Nanning.

Tawaran tersebut disertakan dengan angka yang menarik perhatian: pelaburan sehingga S$40,000 hingga S$50,000, menurut ingatannya – dengan prospek menerima lebih S$1 juta dalam tempoh dua tahun.

Namun, semua itu tidak banyak menjelaskan sama ada pelaburan yang ditawarkan adalah benar-benar sah.

Encik Zhang akhirnya menolak cadangan tersebut dengan mengatakan bahawa ia "kedengaran terlalu bagus untuk menjadi kenyataan".

Bagaimanapun, berita berhubung penangkapan berkaitan kegiatan skim piramid yang disyaki di Guangxi tidak menghalang perniagaan Singapura daripada mencari peluang di bandar tersebut.

"Setakat ini, tiada kesan," kata Encik Tan daripada KinderWorld International Group. "Kami bukan datang ke sini untuk mencari wang. Kami datang untuk membawa eksport dan program pendidikan kami ke Guangxi dan China."

Pengarah jualan warga Singapura Low juga berkata berita tersebut tidak membuatnya terlalu bimbang atau memberi tanggapan negatif terhadap Nanning.

Syarikatnya berada di sana kerana ia tidak mengetahui tentang pasaran China dengan begitu baik dan sekadar mahu mengetahui sama ada terdapat pasaran bagi kopinya.

TIADA JALAN PINTAS

Bagi Encik Eo daripada Sixth Harmony Global, China menawarkan potensi pasaran yang jauh lebih besar – namun menerokainya memerlukan usaha mempelajari cara berbeza dalam menjalankan perniagaan.

Di Singapura, syarikat boleh berhubung dengan pelanggan secara agak langsung dengan mudah, kata beliau. Di China pula, wilayah berbeza mungkin memerlukan pengedar, rangkaian hubungan dan cara menjalankan perniagaan yang berbeza, tambah beliau.

Namun, bagi syarikat kecil Singapura sepertinya, meraih walaupun sebahagian kecil daripada pasaran tersebut boleh membawa perbezaan, kata Encik Eo – tetapi ia tetap memerlukan masa.

Bagi syarikat, proses itu mungkin memerlukan lebih enam bulan untuk mengenali rakan kongsi yang berpotensi sebelum membuat komitmen perniagaan yang lebih besar.

Justeru, ia sering bermula dengan urus niaga kecil – dan penelitian sama ada bayaran dibuat tepat pada masanya dan sama ada kedua-dua pihak boleh bekerjasama dengan baik, kata Encik Eo.

"Kami membina hubungan dan memahami satu sama lain. Kemudian kami mencuba beberapa urus niaga kecil," tambah beliau.

Pendekatan tersebut secara umumnya selaras dengan nasihat peguam.

Liang Weitan, rakan kongsi dalam Amalan China di firma guaman Singapura WongPartnership, memberitahu Mediacorp bahawa projek dan pelaburan yang sah seharusnya mempunyai rakan kongsi yang boleh dikenal pasti, pendaftaran dan kontrak yang sewajarnya – selain struktur pembiayaan yang jelas dan operasi perniagaan sebenar.

"Jika mana-mana perkara ini tiada, siasatan lanjut perlu dilakukan," kata Encik Liang.

Beliau turut menasihatkan para pelabur supaya memeriksa lesen perniagaan dan pendaftaran syarikat China, selain mengambil langkah berjaga-jaga lain seperti mengunjungi premis syarikat, meneliti kontrak dan yang penting, memahami bagaimana sesuatu projek sebenarnya menjana keuntungan sebelum memindahkan wang.

Penolong Profesor Penyelidik Samuel Chng dari Pusat Lee Kuan Yew bagi Bandar-Bandar Inovatif di Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura menggesa rakyat Singapura supaya meneliti peluang pelaburan dengan berhati-hati.

Malah "pasaran yang menjanjikan juga boleh mempunyai usaha niaga yang tidak kukuh", kata Dr Chng, yang turut mengetuai Makmal Psikologi Bandar di pusat tersebut.

Mengambil masa dan "mendapatkan penilaian bebas" juga boleh membantu, tambah beliau.

"Ia adalah wajar untuk berhenti sejenak dan bertanya apakah bukti yang menyokong sesuatu cadangan perniagaan, bagaimana ia menjana pendapatan dan sama ada apa yang dikatakan boleh disahkan secara bebas tanpa bergantung kepada pihak yang mempromosikannya."

Encik Tan daripada KinderWorld International Group menasihatkan syarikat-syarikat kecil Singapura supaya sentiasa "membuka mata dan telinga" sambil mencari tahu lebih lanjut mengenai pasaran China dan mencari rakan kongsi yang boleh dipercayai.

Satu cara yang baik untuk bermula adalah menerusi misi perdagangan yang dianjurkan kumpulan-kumpulan seperti SBF, kata Encik Tan – yang membolehkan syarikat bertemu dengan rakan perniagaan yang berpotensi dan para pegawai pemerintah.

Namun, SBF menegaskan bahawa sesuatu pengenalan bukan bermakna pihak berkenaan akan mendapat sokongannya. "Apa yang berkesan bagi satu pihak mungkin tidak semestinya berkesan bagi pihak lain," kata Encik Soo.

Bagi Encik Eo, sikap berhati-hati bukanlah satu sebab untuk menjauhi pasaran yang kurang dikenali.

Sentiasa ada "tarikan pasaran yang sangat besar", kata beliau, selain persoalan berhubung "sejauh mana seseorang ahli perniagaan sanggup meneroka".

"Ia sentiasa bermula dengan mengambil langkah pertama," kata Encik Eo.

"Selepas satu atau dua tahun, barulah kita benar-benar memahami apa yang sedang berlaku."
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita