Skip to main content

Singapura

jelasBERITA: Mengapa dolar SG catat rekod tertinggi berbanding mata wang Asia di tengah perang Iran?

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Mengapa dolar SG catat rekod tertinggi berbanding mata wang Asia di tengah perang Iran?

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 21 Apr 2026 06:54AM Dikemas Kini : 21 Apr 2026 06:55AM
SINGAPURA: Dolar Singapura mencecah paras rekod tertinggi berbanding beberapa mata wang Asia pada bulan ini. Ini berlaku meskipun mata wang negara-negara pengimport tenaga kebanyakannya merosot di tengah-tengah perang Timur Tengah yang sedang berterusan.

Pada kemuncaknya, iaitu Khamis (16 Apr), S$1 boleh memperolehi 13,562 rupiah Indonesia, menurut penyedia data LSEG. Angka itu lebih rendah daripada 13,000 rupiah yang dicatatkan pada permulaan tahun ini.

Begitu juga, S$1 mampu memperolehi 125.34 yen Jepun pada Ahad, berbanding 121.93 yen bagi setiap dolar Singapura pada 1 Januari. Mata wang tempatan juga mampu memperolehi jumlah won Korea Selatan pada paras rekod dan dolar Taiwan sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Minggu lalu, Penguasa Kewangan Singapura (MAS) menyatakan ia menjangkakan inflasi akan meningkat, dan mengumumkan bahawa ia akan membenarkan dolar Singapura mengukuh dengan lebih cepat daripada sebelumnya.

"Kos tenaga import Singapura sudah pun meningkat. Harga bagi pelbagai barangan dan perkhidmatan import dijangka meningkat pada suku-suku tahun akan datang," menurut bank pusat tersebut.

MENGAPA DOLAR SG MENGUKUH?

Reputasi Singapura adalah sebagai sebuah negara yang selamat dan stabil, dan itu menarik minat pelabur dalam dunia yang tidak menentu. Hasilnya, dolar Singapura terus mendapat manfaat daripada daya tarikannya sebagai aset selamat, kata Encik Peter Chia, pakar strategi pertukaran mata wang asing kanan di UOB.

Ketua penyelidikan pertukaran asing Maybank, Saktiandi Supaat, turut bersetuju dengan sentimen tersebut, sambil merujuk kepada penarafan kredit AAA Singapura dan ciri-ciri aset selamatnya. Beliau berkata mata wang tempatan secara relatifnya lebih berdaya tahan, dan faktor global seperti konflik Timur Tengah telah memainkan peranan yang besar.

Yen menunjukkan prestasi kurang memberangsangkan kerana terdapat kurang permintaan bagi mata wang itu sebagai aset selamat, dan Jepun merupakan pengimport tenaga utama. Mata wang lain pula sedang menghadapi tekanan domestik.

"Secara keseluruhannya, ini lebih tepat dilihat sebagai daya tahan menyeluruh dolar Singapura dan bukannya kelemahan pada mana-mana satu mata wang," katanya.

Sebagai pusat kewangan utama, Singapura mungkin menarik aliran modal yang dialihkan dari Timur Tengah, kata Cik Carol Lye dari Brandywine Global Investment Management. Pengurus portfolio dan penganalisis penyelidikan kanan itu berkata Singapura menyaksikan pertumbuhan kukuh yang didorong oleh sektor berkaitan produk dan perkhidmatan Kecerdasan Buatan (AI) sebelum peperangan, yang meningkatkan permintaan terhadap mata wang tersebut.

Penganalisis juga merujuk kepada sokongan dasar terhadap dolar Singapura, dengan MAS mengetatkan dasar kewangannya minggu lalu.

BAGAIMANA DOLAR SG DIURUSKAN?

Tidak seperti kebanyakan mata wang yang mengawal dasar kewangan melalui kadar faedah, Singapura menguruskan inflasi melalui kadar pertukaran wang. Ia membiarkan dolar Singapura mengukuh atau melemah berbanding mata wang rakan dagang utama dalam satu julat yang tidak didedahkan.

MAS mengawal kekuatan atau kelemahan dolar Singapura dengan membeli dan menjual dolar Amerika Syarikat. Matlamatnya adalah untuk memastikan nilai mata wang Singapura kekal stabil berbanding rakan dagang utama. MAS mengawal nilai ini dengan melaraskan tiga perkara: kecerunan arah nilai, menetapkan titik tengah yang baharu, atau memperluaskan julat turun naik mata wang tersebut.

Kadar pertukaran ini dikenali sebagai Kadar Pertukaran Efektif Nominal Dolar Singapura (S$NEER).

Minggu lalu, MAS menyatakan ia akan "meningkatkan sedikit" kadar peningkatan julat dasar, yang bermaksud ia akan membenarkan dolar Singapura mengukuh dengan lebih cepat daripada sebelumnya.

"Itu secara semula jadi memberikan sokongan relatif kepada SGD," kata Encik Christopher Wong, pakar strategi pertukaran asing di OCBC.

Encik Chia dari UOB juga berkata daya tahan dolar Singapura telah disokong oleh jangkaan bahawa dasar kewangan akan diketatkan lagi. Bank tersebut menjangkakan MAS akan menjadikan kecerunan itu lebih curam semula pada Oktober, dengan kemungkinan MAS melaksanakan langkah tersebut pada Julai.

BAGAIMANA PULA DOLAR SG BERBANDING DOLAR AMERIKA?

Kadar pertukaran dolar Amerika berbanding dolar Singapura adalah lebih seimbang, dengan risiko kadar pertukaran boleh menuju ke mana-mana arah dalam jangka masa terdekat, kata Encik Saktiandi.

Beliau berkata "greenback" (dolar Amerika) telah disokong oleh ketidaktentuan geopolitik yang memuncak disebabkan oleh permintaan bagi mata wang stabil sudah meningkat. Dolar Amerika juga disokong oleh risiko inflasi yang didorong oleh harga minyak dan kelengahan bank pusat melonggarkan dasar kewangan, sementara dolar Singapura juga kekal berdaya tahan.

Encik Chia dari UOB juga berkata dolar Singapura adalah yang paling berdaya tahan dalam kalangan mata wang Asia. Beliau berkata ia hanya jatuh "sebanyak 0.6 peratus yang dianggap sederhana" berbanding dolar Amerika sejak konflik Timur Tengah bermula.

APA MAKNANYA DOLAR SG YANG LEBIH KUKUH UNTUK PENGGUNA?

Singapura sangat bergantung kepada import, yang bermaksud dolar Singapura perlu ditukar kepada mata wang asing apabila melakukan pembelian. Mata wang yang lebih kukuh bermakna jumlah dolar Singapura yang sama akan mampu membeli jumlah barangan atau perkhidmatan yang lebih besar. Itu dapat membantu mengekalkan kos di Singapura lebih rendah berbanding jika mata wang itu lemah.

Sebaliknya, pelawat asing mungkin mendapati Singapura lebih mahal, kerana jumlah mata wang asing yang sama akan bernilai lebih rendah berbanding dolar Singapura.

"Bagi pengguna Singapura, mata wang yang lebih kukuh secara amnya adalah positif kerana ia sebahagiannya membantu mengurangkan kesan inflasi import dan menyokong kuasa beli, terutamanya untuk melancong dan barangan import," kata Encik Wong.

Pengguna di Singapura berkemungkinan besar akan berdepan kenaikan kos yang mendadak dalam masa beberapa bulan akan datang disebabkan oleh gangguan tenaga daripada konflik Timur Tengah.

"Walaupun tekanan harga makanan global kekal agak terkawal buat masa ini, kebimbangannya adalah kos baja yang lebih tinggi akibat kejutan bekalan di Timur Tengah boleh menyebabkan peningkatan harga pertanian... yang memberi tekanan kepada inflasi makanan global dan Singapura selepas satu tempoh masa," tulis penganalisis DBS dalam nota penyelidikan minggu lalu.

MAS sudah menetapkan dasar kadar pertukarannya untuk membolehkan dolar Singapura meningkat bagi mengimbangi risiko inflasi import tersebut, menurut para penganalisis.

BAGAIMANA PERNIAGAAN AKAN TERJEJAS OLEH DOLAR SG YANG KUKUH?

Mata wang yang lebih kukuh bermakna produk yang dieksport dari Singapura akan menjadi lebih mahal di pasaran asing. Permintaan boleh jatuh jika barangan tersebut menjadi tidak lagi dimampui oleh para pembeli.

Buat masa ini, perkara itu belum berlaku. Pada bulan Mac, eksport domestik bukan minyak (NODX) meningkat 15.3 peratus, berikutan permintaan berkaitan AI yang kukuh meningkatkan penghantaran elektronik. Ini menunjukkan bahawa permintaan luaran, terutamanya bagi elektronik, kekal cukup kuat untuk mengimbangi kesan mata wang yang lebih kukuh terhadap harga, kata Encik Wong.

Encik Saktiandi juga berkata data bulan Mac mencerminkan apa yang berlaku sebelum MAS meningkatkan kadar pengukuhan dolar Singapura, dan prestasi kukuh itu mungkin mencerminkan faktor khusus sektor tertentu.

Walaupun sesetengah eksport akan tetap mendapat permintaan tinggi walaupun harga meningkat, dolar Singapura yang lebih kukuh masih boleh menjadikan produk tersebut kurang menarik lama-kelamaan, katanya. Beliau menambah kesan mata wang yang lebih kukuh biasanya hanya memberi impak selepas beberapa ketika, jadi jika dolar Singapura terus mengukuh, ia boleh menjadi rintangan kepada eksport pada masa hadapan.

Cik Lye dari Brandywine berkata permintaan untuk cip berkaitan AI dan elektronik mungkin masih tinggi walaupun harga meningkat kerana AI berada dalam fasa pertumbuhannya. "Namun pada satu ketika nanti, jika kitaran AI merosot, eksport akan terjejas oleh dolar Singapura yang kukuh," katanya.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita