jelasBERITA: Mengapa diesel kini lebih mahal berbanding petrol?
Apabila perang tercetus di Timur Tengah, pasaran minyak mentah global terjejas, dan harga di stesen minyak turut meningkat.
Sebuah trak mengisi minyak di sebuah stesen minyak. (Gambar fail: iStock)
Namun, dinamik itu kini sudah berubah: diesel telah mengatasi petrol dari segi harga, dan para penganalisis berkata jurang tersebut tidak mungkin dapat diatasi dalam masa terdekat.
Seminggu sebelum perang tercetus pada akhir Februari, stesen-stesen minyak utama di Singapura mengenakan harga sehingga S$2.66 seliter bagi diesel - lebih murah berbanding S$2.88 bagi petrol oktan-95.
Keadaan itu kini sudah berubah. Setakat sehingga Selasa (31 Mac), Shell mencatatkan harga tertinggi pada S$4.23 seliter bagi diesel, diikuti oleh Caltex dan Esso masing-masing pada harga S$4.13, menurut aplikasi perbandingan harga Price Kaki. SPC dan Sinopec pula masing-masing mengenakan harga S$3.92 dan S$3.93.
Sebagai perbandingan, petrol oktan-95 kini menjadi pilihan yang lebih murah, pada S$3.40 hingga S$3.42 seliter.
Apakah yang mendorong perubahan itu, dan berapa lama ia akan berterusan? Mediacorp meninjau perkembangan ini.
Mengapa harga diesel mengatasi petrol?
Diesel secara struktur lebih terdedah kepada kejutan bekalan berbanding petrol, menurut para penganalisis.
Ia bergantung kepada minyak mentah sederhana atau berat yang bersulfur tinggi, iaitu jenis yang paling terjejas oleh gangguan di Timur Tengah, dan sangat terdedah kepada sekatan laluan perkapalan global seperti Selat Hormuz, kata Encik Nithin Prakash, penganalisis komoditi di Rystad Energy.
Bekalan terus terjejas akibat serangan Ukraine ke atas loji penapisan Rusia, sekatan eksport China yang mengehadkan aliran diesel di Asia, serta keupayaan loji penapisan yang terhad untuk meningkatkan pengeluaran diesel.
Permintaan pula tidak menunjukkan sebarang tanda mereda. Diesel digunakan dalam sektor perindustrian, pengangkutan, logistik dan penerbangan - terdiri daripada para pengguna yang tidak boleh dikurangkan begitu sahaja apabila berlaku lonjakan harga.
Seorang pemandu yang berdepan dengan harga petrol yang tinggi boleh beralih kepada pengangkutan awam. Namun, pengendali logistik tidak mempunyai pilihan sedemikian, kata Dr David Broadstock, seorang rakan kongsi di firma perundingan tenaga The Lantau Group.
“Sama ada menghantar barangan atau penumpang, jika harga diesel meningkat, mereka tetap perlu menjalankan tugas. Mereka tidak akan mengubah jumlah diesel yang digunakan kecuali jika seluruh ekonomi terhenti,” kata ahli ekonomi itu.
Sebaliknya, harga petrol lebih dilindungi melalui paras inventori yang lebih tinggi serta bekalan yang lebih fleksibel, tambah Encik Nithin.
Dengan ketidaktentuan geopolitik yang masih berterusan, pembekal bahan api tidak tergesa-gesa untuk menurunkan harga.
“Segala yang berlaku di Timur Tengah menunjukkan bahawa lebih banyak ketidaktentuan menanti kita, dan ketidaktentuan lazimnya membawa kepada harga yang lebih tinggi,” kata Dr Broadstock.
Adakah jurang harga ini bersifat sementara?
Premium diesel berbanding petrol berkemungkinan besar tidak bersifat sementara, menurut kedua-dua penganalisis, meskipun mereka mempunyai pandangan yang berbeza-beza mengenai tempohnya.
Encik Nithin berkata kekurangan bekalan secara struktur bermakna harga tidak akan kembali seperti biasa sebaik krisis ini berakhir. “Walaupun keadaan mereda, pembetulan sekitar 30 hingga 40 peratus mungkin berlaku, namun usaha membina semula infrastruktur yang rosak dan memulihkan aliran bekalan boleh mengambil masa bertahun-tahun,” kata beliau, sambil meramalkan harga diesel akan kekal lebih mahal berbanding petrol sekurang-kurangnya sepanjang tahun hadapan.
Dr Broadstock juga tidak menjangkakan perubahan berlaku dengan cepat, namun beliau menganggarkan ia akan mengambil masa selama beberapa bulan, bukan bertahun-tahun.
Permintaan bermusim turut menyokong harga diesel — aktiviti binaan dan pertanian pada musim bunga, serta pemanasan pada musim sejuk — manakala permintaan petrol semakin terjejas dari semasa ke semasa akibat penggunaan kenderaan elektrik dan pertumbuhan konsumpsi perlahan, kata Encik Nithin Prakash.
Pemerintah berkemungkinan campur tangan sebelum harga menjadi tidak mampan, tambah Dr David Broadstock. “Kita mungkin akan melihat usaha untuk menstabilkan harga … khususnya apabila ia memberi kesan kepada isi rumah, yang lebih cenderung berlaku bagi petrol.”
"Apakah maknanya terhadap harga pengguna dan inflasi?"
Kenaikan kos diesel cepat memberi kesan kepada ekonomi secara keseluruhannya. Kos pengangkutan, logistik dan pengeluaran semuanya meningkat — dan akhirnya, harga yang dibayar pengguna bagi barangan dan makanan turut meningkat.
Mengikut sejarah, kenaikan 10 peratus pada harga diesel boleh diterjemahkan kepada peningkatan antara satu hingga dua peratusan mata dalam indeks harga pengguna bagi tempoh enam hingga sembilan bulan, kata Encik Nithin. Kesan penuh lonjakan harga baru-baru ini masih belum dipaparkan pada data inflasi semasa, tambah beliau.
Dr Broadstock memberi amaran bahawa pendedahan Singapura melangkaui harga diesel domestik. Sebagai ekonomi yang sangat bergantung kepada import, Singapura terdedah kepada kenaikan harga merentasi pelbagai barangan import - kesemuanya berdepan kos penghantaran dan logistik yang lebih tinggi.
“Kita boleh mengatakan dengan yakin bahawa ini akan menambahkan tekanan inflasi, tetapi kita tidak pasti sejauh mana,” katanya.
Adakah Singapura mengekalkan simpanan diesel?
Ya, seperti kebanyakan negara lain.
Rizab strategik tenaga lazimnya ditetapkan pada kadar yang membolehkan ekonomi terus beroperasi selama kira-kira dua hingga tiga bulan sekiranya bekalan terputus sepenuhnya, kata Dr Broadstock. Diesel, sebagai sejenis bahan api pengangkutan utama, menjadi sebahagian daripada rizab tersebut.
Di Singapura, Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) turut mewajibkan penjana tenaga untuk menyimpan stok diesel sebagai bahan api sokongan. Langkah-langkah terkini telah meningkatkan tahap penampan, namun ia direka sedemikian rupa bagi daya tahan operasi jangka pendek dan bukan campur tangan pasaran secara meluas, kata Encik Nithin.
Adakah kekurangan diesel global sedang berlaku?
Belum - namun bekalan semakin tertekan.
“Kita belum berada dalam keadaan di mana berlaku kekurangan bekalan diesel di peringkat global,” kata Encik Nithin.
Namun, dengan paras inventori yang sudah rendah dan risiko geopolitik yang tinggi, usaha untuk mendapatkan bekalan tambahan menjadi semakin mencabar. Kos penghantaran dan insurans juga boleh meningkat disebabkan oleh keadaan tersebut, tambah beliau.
Dr David Broadstock berkata pemerintah dan pengimport utama kini sedang meneroka sumber-sumber bahan api alternatif serta mempelbagaikan bekalan agar tidak bergantung kepada Rusia. Walaupun gangguan di Selat Hormuz menjejaskan sekitar 20 peratus aliran gas asli cecair (LNG) global, beliau berkata pasaran mempunyai masa untuk membuat penyesuaian.
“Keupayaan pasaran lain untuk meningkatkan pengeluaran - dan kini apabila kita bercakap tentang tempoh beberapa minggu, malah hampir menjangkau beberapa bulan dengan gangguan terhadap rantaian bekalan - ia juga memberi masa kepada pihak-pihak lain untuk meningkatkan bekalan mereka,” kata beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.