Skip to main content

Singapura

jelasBERITA: Mengapa bacaan PSI dan AQI berbeza, mana satu perlu dirujuk semasa jerebu?

Sedang keadaan berjerebu berterusan di Singapura, pemantauan mutu udara mungkin telah menjadi amalan yang lebih kerap dilakukan dalam kalangan penduduk, pertubuhan dan institusi.

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Mengapa bacaan PSI dan AQI berbeza, mana satu perlu dirujuk semasa jerebu?

Keadaan berjerebu dilihat dari Chai Chee, Singapura, sekitar pukul 12.30 tengah hari pada 9 Oktober 2026. (Gambar: CNA/Raj Nadarajan)

Diterbitkan : 13 Oct 2026 09:20AM Dikemas Kini : 13 Oct 2026 09:21AM
explainer: Why are PSI and AQI readings different, and which should be used as a reference during haze?
  • As haze persists in Singapore, NEA provides 24-hour PSI readings and hourly PM2.5 readings, while IQAir reports air quality using the US AQI+.
  • Experts from NTU and NUS explained that PSI, AQI and IPU serve the same purpose, but differ in their thresholds, health categories and calculation methods.
  • IQAir said its data allows for global comparisons, but experts cautioned that third-party readings can be affected by low-cost sensors and mixed sources.
  • NEA and experts advised residents to refer to NEA’s official readings online and on myENV, using PSI for daily exposure and hourly PM2.5 readings for immediate decisions.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Sedang keadaan berjerebu berterusan di Singapura, pemantauan mutu udara mungkin telah menjadi amalan yang lebih kerap dilakukan dalam kalangan penduduk, pertubuhan dan institusi.

Singapura pada Jumaat (9 Okt) mengumumkan beberapa langkah yang akan diambil dan dipertimbangkan, seperti pengagihan pelitup N95 dan penutupan sekolah, sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (PSI) 24 jam mencapai paras tertentu.

Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menyediakan dua penunjuk utama bagi mutu udara Singapura, iaitu bacaan PSI 24 jam dan bacaan zarah halus PM2.5 sejam.

Namun, carian ringkas online turut memaparkan bacaan lain.

Minggu lalu, beberapa saluran berita antarabangsa melaporkan bahawa Singapura menduduki ranking teratas dalam senarai bandar utama paling tercemar di dunia oleh IQAir.

Platform pemantauan mutu udara dari Switzerland itu memantau tahap pencemaran menggunakan versi Indeks Mutu Udara Amerika Syarikat (AQI) yang diubah suai, dikenali sebagai US AQI+, dan bukan bacaan PSI atau PM2.5 Singapura.

Platform tersebut menggunakan bacaan bahan pencemar yang diukur setiap jam mengikut nilai ambang US AQI bagi menentukan kategori mutu udara.

Mengapakah bacaan-bacaan ini berbeza dan yang manakah perlu diberi perhatian oleh penduduk Singapura?

APAKAH MAKSUD PENUNJUK MUTU UDARA YANG BERBEZA-BEZA?

AQI merujuk kepada sistem umum yang mengambil kira sehingga enam bahan pencemar utama, iaitu PM2.5, PM10, karbon monoksida, sulfur dioksida, nitrogen dioksida dan ozon di paras bumi.

Menurut laman IQAir, kaedah pengiraan AQI berbeza-beza di seluruh dunia, dengan sistem China dan Amerika Syarikat sebagai dua sistem yang paling banyak digunakan.

Pengarah Pusat Perubahan Iklim dan Kesihatan Sekitaran di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Profesor Steve Yim, berkata AQI dan PSI Singapura menggunakan kaedah pengiraan yang hampir serupa.

Kepekatan bahan pencemar dipuratakan berdasarkan tempoh masa bergerak yang ditetapkan sebelum ditukar kepada nilai subindeks. Nilai subindeks tertinggi antara bahan pencemar yang diambil kira kemudian menentukan bacaan keseluruhan indeks.

Sebagai contoh, PSI Singapura mengambil kira enam bahan pencemar, iaitu PM2.5, PM10, sulfur dioksida, karbon monoksida, ozon dan nitrogen dioksida.

Jika PM2.5 mencatat nilai subindeks 150 dan merupakan bacaan tertinggi antara semua bahan pencemar, bacaan PSI keseluruhan ialah 150.

Semasa episod jerebu di Singapura, bahan pencemar utama lazimnya ialah PM2.5, iaitu zarah halus yang mempunyai diameter 2.5 mikrometer atau lebih kecil.

Menurut Profesor Yim, perbezaan utama antara indeks tersebut terletak pada nilai ambang yang digunakan untuk menentukan pelbagai kategori mutu udara.

Sebagai contoh, beliau menjelaskan bahawa di bawah sistem AQI, mutu udara dianggap tidak sihat apabila kepekatan PM2.5, sebagai bahan pencemar utama, berada antara 55.5 µg/m³ dengan 125.4 µg/m³. Di bawah sistem PSI pula, julat tidak sihat adalah antara 56 µg/m³ dengan 150 µg/m³.

"Julat yang digunakan untuk menentukan kategori AQI ini ditetapkan oleh pemerintah masing-masing berdasarkan keadaan negara mereka," kata Profesor Yim.

"Oleh itu, perlu difahami bahawa indeks yang digunakan di negara lain mungkin tidak boleh digunakan secara langsung di sesebuah negara."

Profesor Madya Liya E Yu dari Jabatan Kejuruteraan Awam dan Sekitaran di Universiti Nasional Singapura (NUS) pula berkata negara-negara turut membahagikan kategori indeks mutu udara secara berbeza.

Sebagai contoh, beliau menjelaskan bahawa sistem AQI Amerika Syarikat mempunyai enam kategori, termasuk satu kategori khusus bagi mutu udara yang "Tidak Sihat bagi Golongan Sensitif".

Kategori sedemikian tidak terdapat dalam sistem PSI Singapura mahupun Indeks Pencemar Udara (IPU) Malaysia.

Bagaimanapun, sistem PSI Singapura menyediakan nasihat kesihatan berasingan bagi kumpulan penduduk yang berbeza, termasuk kanak-kanak, warga emas dan mereka yang menghidap penyakit jantung atau paru-paru kronik.

Profesor Rajasekhar Balasubramanian, Kursi Provos dari Jabatan Kejuruteraan Awam dan Sekitaran NUS, berkata PSI Singapura, AQI dan IPU Malaysia mempunyai tujuan umum yang sama, iaitu memaklumkan orang ramai tentang tahap pencemaran udara serta kesannya terhadap kesihatan.

Namun, memandangkan ketiga-tiga sistem tersebut berbeza dari segi kaedah pengiraan, nilai ambang kepekatan bagi setiap bahan pencemar dan kategori kesihatan, bacaan masing-masing tidak seharusnya dibandingkan secara langsung tanpa mengambil kira perbezaan kaedah tersebut, tambah beliau.

Dr Yu turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membandingkan bacaan daripada sistem yang berbeza kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan.

Sebaliknya, orang ramai disarankan supaya merujuk kepada nasihat kesihatan atau penerangan mengenai mutu udara yang disertakan dalam setiap sistem penilaian, bagi membantu mereka merancang kegiatan berdasarkan keadaan mutu udara.

PERLUKAH PENDUDUK SINGAPURA MEMBERI PERHATIAN KEPADA BACAAN AQI DI LAMAN LAIN?

IQAir, yang menggunakan kategori dan nilai ambang US AQI, memberitahu Mediacorp bahawa ia menyediakan data mutu udara dari lebih 140 negara bagi membolehkan pengguna membandingkan keadaan di pelbagai bandar dan negara menggunakan indeks yang seragam.

Platform tersebut menjelaskan bahawa pendekatannya tidak bertujuan untuk menggantikan piawai nasional atau mencadangkan supaya semua negara menggunakan sistem kawal selia yang sama.

"Sebaliknya, ia menyediakan rujukan bersama yang mengutamakan kesihatan dalam dunia yang menggunakan pelbagai kaedah untuk mengukur dan menyampaikan maklumat mengenai pencemaran udara," menurut platform tersebut.

Menurut IQAir, bacaan mutu udara Singapura diperoleh dengan menggabungkan ukuran daripada stesen pemantauan pemerintah dengan alat pengesan bukan pemerintah yang telah disahkan, yang dikendalikan oleh orang awam, perniagaan, pertubuhan bukan keuntungan dan sekolah.

Menurut IQAir, rangkaian pemantauan yang "digerakkan oleh masyarakat" itu membolehkannya menyediakan maklumat mutu udara yang lebih terperinci mengikut lokasi.

Bagaimanapun, para pakar mengingatkan bahawa bacaan daripada sumber bukan pemerintah mungkin diperoleh menggunakan alat pengesan dengan kos lebih rendah, menghasilkan ukuran yang tidak semestinya boleh dibandingkan secara langsung dengan bacaan daripada stesen pemantauan pemerintah.

IQAir menyatakan sistem PSI Singapura kali terakhir menjalani perubahan besar pada April 2014, apabila PM2.5 dimasukkan sebagai salah satu komponen indeks tersebut.

Menurut platform itu, Agensi Perlindungan Sekitaran Amerika Syarikat, yang sistem AQI negara itu digunakan oleh IQAir, mengemas kini nilai ambang AQI bagi PM2.5 pada Mei 2024 untuk mengambil kira bukti kesihatan terkini dan memperkukuh perlindungan kesihatan awam.

"Ini bermakna rangka kerja asas PSI Singapura sudah berusia lebih sedekad, manakala sistem AQI Amerika Syarikat telah menjalani kemas kini yang lebih terkini," menurut IQAir.

Selain bacaan PSI 24 jam, Singapura turut menerbitkan bacaan PM2.5 sejam bagi menggambarkan keadaan mutu udara semasa.

Para pakar memberitahu Mediacorp, bacaan NEA merupakan sumber pengukuran mutu udara yang boleh dipercayai dan tepat.

Profesor Balasubramanian menasihatkan para penduduk Singapura supaya menjadikan bacaan NEA sebagai rujukan utama bagi mendapatkan maklumat rasmi mengenai mutu udara setempat.

"Sesebuah laman web mungkin memaparkan angka AQI yang kelihatan tepat, namun itu tidak semestinya memberikan gambaran yang lebih tepat mengenai mutu udara setempat," jelas beliau.

"Kebolehpercayaan bacaan bergantung kepada sumber pengukuran, kekerapan data dikemas kini, jenis bahan pencemar dan tempoh purata yang digunakan, serta sama ada bacaan itu berdasarkan ukuran sebenar atau anggaran menggunakan model."

Profesor Yim turut mengingatkan bahawa bacaan AQI di sesetengah laman web mungkin berdasarkan data daripada alat pengesan mutu udara kos rendah dan alat pengesan yang dikendalikan masyarakat.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati apabila merujuk kepada bacaan AQI di laman web yang menunjukkan tahap kepekatan bahan pencemar udara yang jauh berbeza daripada bacaan di laman NEA.

Menurut beliau, walaupun data tersebut sudah melalui proses pengesahan, ia mungkin masih tidak setanding dengan data daripada rangkaian pemantauan pemerintah disebabkan oleh kemungkinan wujudnya perbezaan dari segi ketepatan data, kebolehpercayaan alat pengesan dan lokasi pengukuran.

Profesor itu mengakui bahawa masih terdapat ruang untuk menambah baik bacaan PSI serta cara data tersebut dilaporkan supaya maklumat dapat disampaikan dengan lebih berkesan.

Namun, menurut beliau, bacaan NEA ketika ini merupakan rujukan yang "diyakini dan tepat secara relatif".

NEA memberitahu Mediacorp bahawa ia menggunakan alat analisis yang sangat khusus untuk memantau mutu udara Singapura. Peralatan tersebut juga menggunakan "kaedah pengukuran yang diiktiraf di peringkat antarabangsa bagi memastikan bacaan yang diyakini dan kukuh dari segi saintifik".

Menurut NEA, PSI 24 jam menggambarkan mutu udara selaras dengan indeks mutu udara 24 jam yang digunakan di Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah (EU) dan Britain.

Agensi itu menasihatkan orang ramai supaya merujuk kepada bacaan rasminya secara online dan melalui aplikasi myENV bagi mendapatkan maklumat tepat berhubung mutu udara Singapura.

PERNAHKAH MANA-MANA LAMAN WEB DIKENAL PASTI KERANA MENYIARKAN DATA TIDAK TEPAT?

NEA memberitahu Mediacorp bahawa platform pihak ketiga mungkin menggunakan sumber data, tempoh purata, kategori indeks dan kaedah pengiraan yang berbeza untuk menghasilkan bacaan AQI masing-masing.

Pada 2019, agensi tersebut memberi amaran supaya bacaan PSI 24 jamnya tidak dibandingkan dengan bacaan AQI di laman web pemantauan mutu udara Aqicn.

Amaran tersebut dikeluarkan selepas semakin ramai pengguna internet merujuk kepada bacaan mutu udara daripada sumber alternatif. Bagi sesetengah kes, laman web tersebut melaporkan bacaan yang seolah-olah menunjukkan mutu udara Singapura lebih buruk berbanding bacaan NEA bagi tempoh yang sama.

Ketika itu, NEA menyatakan bahawa Aqicn menggunakan bacaan PM2.5 yang tidak tepat untuk mengira angka AQI kerana pengiraannya dibuat berdasarkan bacaan PM2.5 sejam dan bukannya bacaan PM2.5 24 jam seperti yang disarankan Agensi Perlindungan Sekitaran Amerika Syarikat (EPA).

Apabila ditanya mengenai kebolehpercayaan laman web tersebut, yang masih beroperasi, NEA menyatakan Aqicn menggunakan nilai ambang US AQI yang ditetapkan bagi data 24 jam untuk menilai tahap PM2.5 sejam.

NEA menambah bahawa laman web itu turut menggunakan gabungan data daripada alat pengesan kos rendah yang kurang mantap serta data NEA yang diterbitkan bagi pengiraannya.

"Oleh itu, bacaan daripada platform pihak ketiga sedemikian tidak boleh dibandingkan secara langsung dengan PSI NEA."

Laman web tersebut tidak menjawab pertanyaan Mediacorp sama ada ia sudah mengemas kini kaedah pengiraannya.

Menurut notis di laman tersebut, data mutu udaranya tidak disahkan semasa ia diterbitkan dan boleh diubah pada bila-bila masa tanpa notis.

BAGAIMANAKAH ORANG RAMAI SEHARUSNYA MEMANFAATKAN BACAAN NEA?

Bacaan PSI 24 jam dan PM2.5 sejam yang disediakan NEA mempunyai fungsi yang saling melengkapi satu sama lain.

"PSI 24 jam menyediakan penunjuk yang stabil mengenai pendedahan keseluruhan kepada pencemaran, manakala kepekatan PM2.5 sejam memberikan gambaran yang lebih pantas mengenai perubahan dalam jangka pendek," kata Profesor Balasubramanian.

Memandangkan PSI 24 jam menggambarkan tahap pencemaran sepanjang tempoh yang lebih panjang, ia mungkin tidak menunjukkan peningkatan mendadak pencemaran yang berlaku dalam tempoh singkat dengan serta-merta, meskipun perubahan sedemikian mungkin penting bagi sesetengah individu.

Dalam situasi sedemikian, bacaan PM2.5 sejam dapat membantu.

"Kepekatan PM2.5 sejam bertindak balas dengan pantas terhadap perubahan pergerakan jerebu, arah angin, percampuran udara di atmosfera serta pelepasan bahan pencemar di sepanjang laluan pergerakan jerebu," kata Profesor Balasubramanian.

Oleh itu, bacaan tersebut dapat membantu orang ramai membuat keputusan segera, seperti menentukan kesesuaian melakukan senaman di luar rumah ketika jerebu, kata beliau.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa suatu bacaan bagi tempoh sejam mungkin tidak menggambarkan jumlah pendedahan kepada pencemaran yang terkumpul sepanjang hari.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita