Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

jelasBERITA: Kendalikan kelas agama di rumah tanpa berdaftar dengan MUIS juga boleh didakwa

JelasBERITA dapatkan pandangan peguam, Encik Abdul Rahman untuk jelaskan dua seksyen AMLA yang terbabit dengan kes mahkamah tentang ajaran sesat baru-baru ini

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Kendalikan kelas agama di rumah tanpa berdaftar dengan MUIS juga boleh didakwa

(Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)

SINGAPURA: Pengendali kelas-kelas agama Islam tidak rasmi yang diadakan di rumah atau di mana-mana sahaja dan tidak berdaftar dengan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) boleh dikenakan dakwaan di bawah Akta Pentadbiran Hukum Islam (AMLA).

Peguam dan Pengarah Urusan ARLC Legal, Abdul Rahman Mohd Hanipah berpendapat bahawa sekiranya aduan dibuat, mereka boleh dikenakan tuduhan tersebut.

Ini kerana ia melanggar Peraturan 5(1) dan kesalahan itu boleh dihukum di bawah Peraturan 5(2).

Encik Abdul Rahman menjelaskan: "Kalau kita mengajar agama dan sebagainya dan ini biasanya di dalam konteks kelas atau konteks pendidikan, ini boleh jatuh dalam Seksyen 5(1) itu tadi dan sesiapa yang ingin kendalikan kelas-kelas agama tersebut harus membuat pendaftaran dengan pihak MUIS."

"Kita juga tahu ada undang-undang ARS ataupun Skim Pengiktirafan Asatizah. Saya pasti ini tentulah akan bersangkut paut dengan keperluan untuk kita memastikan individu yang mengajar kelas agama tersebut memang bertauliah dari segi keperluan pihak MUIS," tambah beliau.

Di bawah AMLA, Peraturan 5(1) menyatakan seseorang itu tidak boleh mengendalikan kelas agama Islam melainkan ia berdaftar dengan MUIS.

Di bawah Peraturan 5(2), mereka boleh didenda tidak melebihi S$2,000 atau dihukum penjara tidak lebih daripada 12 bulan atau kedua-duanya sekali.

AMLA juga menyatakan bahawa bidang kuasa ke atas sekolah agama Islam tertakluk di bawah MUIS.

MUIS juga mempunyai bidang kuasa untuk mendaftar dan menyelia sekolah-sekolah agama Islam dan meluluskan kurikulum yang diajarkan di sekolah-sekolah tersebut.

Ini menyusuli kes melibatkan Mohd Razif Radi, 65 tahun yang didakwa di Mahkamah Negara atas tuduhan mengendalikan sebuah sekolah agama antara 2017 hingga 2020 di sebuah kafe di Jalan Pisang tanpa berdaftar dengan MUIS.

Selain Peraturan 5(1), Mohd Razif Radi juga dipercayai menyebarkan ajaran sesat dan ia melanggar Seksyen 139 AMLA.

MUFTI AKAN BERIKAN BUKTI BAGI TENTUKAN JIKA BERTENTANGAN DENGAN AJARAN ISLAM

Seksyen 139 dibahagikan kepada dua bahagian.

Bahagian pertama menyatakan sesiapa yang mengajar atau menjelaskan sebarang doktrin atau melakukan sebarang upacara atau tindakan berkaitan dengan agama Islam dalam cara-cara yang bercanggah dengan hukum Islam akan didapati bersalah dan boleh didenda tidak melebihi S$2,000, dihukum penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali.

Bahagian kedua pula menyatakan jika didakwa atas kesalahan di bawah seksyen ini, di mana bukti diberikan oleh Mufti bahawa doktrin, upacara atau tindakan bercanggah dengan hukum Islam, maka mahkamah akan menyifatkannya sebagai bercanggah dengan hukum Islam.

Encik Abdul Rahman turut menjelaskan sejauh mana peranan Mufti dalam hal ini: "Bahagian kedua adalah sesuatu yang membantu mahkamah untuk memudahkan proses dakwaan di mana jika terdapat bukti atau jika ada bukti yang diberikan pihak Mufti yang mendapati doktrin ataupun ajaran tersebut songsang ataupun bercanggah dengan apa yang diterima dari segi hukum Islam maka mahkamah boleh menerima dapatan Mufti itu sebagai sahih dari segi hukum Islam."

Encik Abdul Rahman berkata kejadian itu diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kesalahan tersebut mengikut AMLA.

"Dengan adanya dakwaan ini, mengambil tindakan yang serius adalah sangat-sangat bagus dan hantar isyarat kuat kita tak boleh sembarangan ajar agama atau kita tak bertauliah kalau kita tak ada syarat kelayakan dan ajar perkara-perkara yang bertentangan dengan ajaran agama yang betul," jelas Encik Abdul Rahman.

Beliau juga berharap masyarakat tidak akan memandang enteng kesalahan sebegini dan membuat aduan sekiranya mereka tahu tentang adanya individu-individu yang melakukan kesalahan sedemikian.
Sumber : BERITA Mediacorp/iz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan