jelasBERITA: Kematian pemandu kereta sewa privet cetus debat rehat atau insentif bonus tunai?
Kematian pemandu kereta sewa privet berusia 49 tahun, Gavin Neo akibat serangan angin ahmar pada Mei lalu merupakan satu "peringatan" bagi mereka yang bertugas dalam industri tersebut yang cuba mencari pendapatan tambahan dengan bekerja pada waktu yang lama dan panjang, kata sesetengah pemandu.

Seorang pemandu kereta sewa privet. (Gambar fail: Unsplash)
Rakan-rakannya berkata Encik Neo sering menghabiskan masa sehingga 15 jam memandu untuk menyara anak lelaki dan anak perempuannya yang masih remaja.
Para pemandu lain memberitahu Mediacorp bahawa walaupun mereka mempunyai kebebasan untuk memilih berapa panjang mereka bekerja, struktur insentif yang disediakan oleh platform khidmat kereta sewa privet - menawarkan bonus tunai untuk melengkapkan lebih banyak perjalanan - boleh mendorong mereka melebihi had mereka, dan ia harus dikaji semula.
Yang lain berkata, ia juga terpulang kepada individu itu sendiri untuk mengetahui had fizikal mereka dan tidak mengejar ganjaran wang tunai secara membabi buta.
Bekerja selama berjam-jam untuk mendapatkan lebih banyak insentif dilakukan oleh Encik Lincoln Khoo apabila beliau menyertai Grab pada Januari tahun lalu.
"Bagi saya ia sangat mudah, motivasi untuk memandu berjam-jam hanya membentuk satu perkara: Wang, pendapatan," kata lelaki berusia 40 tahun itu, yang memandu sambilan dan juga menjadi pengacara acara keramaian.
"Lebih banyak anda memandu, anda akan memperoleh lebih banyak wang."
Di bawah insentif pemandu baharu pada masa itu, dia boleh mendapat sehingga S$3,000 dalam bentuk bonus tunai jika dia menyelesaikan sekurang-kurangnya 200 perjalanan untuk empat minggu pertama.
Insentif pemandu baharu semasa di laman web Grab menunjukkan bahawa untuk mendapatkan insentif tunai tertinggi, pemandu perlu menyelesaikan 200 perjalanan seminggu selama empat minggu. Terdapat insentif yang lebih rendah untuk melengkapkan 125 perjalanan setiap minggu.
Bagaimanakah bentuk 800 perjalanan sebulan?
Encik Khoo membentangkan jadualnya: 18 jam memandu setiap hari dari Isnin hingga Jumaat, diikuti dengan 26 jam memandu dari petang Sabtu hingga Ahad - selama empat minggu.
Dia berkata dia tidur sepanjang masa dia tidak berada di jalan raya, dan berehat sebentar dan kemudian mencuci mukanya antara tempoh memandu untuk kekal berjaga.
Kerana melakukan 845 perjalanan dalam empat minggu pertamanya, dia memperoleh S$15,000 - S$12,000 daripada perjalanan tersebut dan S$3,000 dalam bentuk bonus tunai.
Mengambil kira perbelanjaan untuk minyak dan sewa, dia membawa pulang kira-kira S$10,000 pada bulan itu.
Adakah ia berbaloi?
Encik Khoo menyifatkan dirinya sebagai "seseorang jika anda memberi saya cabaran, saya mahu memenuhi cabaran itu".
Tetapi dia mengakui ia bukan satu rutin yang mampan.
Selepas mencapai sasaran itu, Encik Khoo akan memandu lebih singkat, membawa pulang S$3,000 pada bulan berikutnya.
"Jika anda melakukannya secara berterusan selama enam bulan, anda akan mula merasakan kesannya."
RISIKO KESIHATAN
Cik Carmen Ortega telah menjadi pemandu Grab selama 10 tahun, dan pada beberapa hujung minggu beliau memandu sehingga 15 jam sehari.
Wanita berusia 38 tahun itu memberitahu CNA bahawa dia mempunyai paras kolesterol tinggi, yang dipercayai disebabkan oleh pengambilan kopi secara kerap untuk berjaga semasa syifnya.
Dia juga mengalami sakit kronik di bahagian belakang dan lehernya, akibat kombinasi kemalangan kereta dan terpaksa membawa bagasi berat untuk penumpang.
Tetapi Cik Ortega bekerja keras untuk mencari rezeki untuk dirinya dan ibu bapanya yang semakin tua.
“Ia suatu tekanan yang saya berikan kepada diri sendiri … Apabila anda bekerja sendiri, setiap jam anda bekerja, anda pasti akan mendapat gaji,” katanya.
"Jika saya tidak memandu, saya akan kehilangan wang ini.
"Ia adalah tekanan dalaman, jika saya berehat untuk melakukan sesuatu yang lain, saya akan rasa bersalah," tambahnya.
Tetapi kematian Encik Neo, di samping insiden serupa sejak beberapa tahun kebelakangan ini, telah menjadi satu "peringatan" kepadanya.
“Saya menyara kedua-dua ibu bapa saya yang sudah tua dan saya anak tunggal, jika apa-apa berlaku pada saya, ibu bapa saya (yang menderita), bukan saya,” kata Cik Ortega.
Cik Ortega juga lantang bersuara tentang isu pemandu kereta sewa privet di Instagramnya @confessionsofagrabdriver, dan memuat naik catatan tentang kematian Encik Neo dan situasi keluarganya, sambil menggesa derma dihulurkan kepada keluarga mendiang.
Turut terjejas teruk dengan kematian Encik Neo ialah seorang lagi pemandu, Ishwar Mahtani.
Lelaki berusia 63 tahun itu pernah diserang sakit jantung pada 2010 ketika bekerja sebelum ini sebagai pemilik perniagaan.
Dia masih ingat tentang pengalaman itu apabila memohon pekerjaa sebagai pemandu kereta sewa privet yang sudah dilakukannya sejak lapan tahun lalu.
Pertama, waktu kerjanya adalah dari pukul 10.00 pagi hingga 7.00 malam, Isnin hingga Jumaat, dan hujung minggu.
"Terpulang kepada diri masing-masing, tetapi jika anda mempunyai keluarga dan anak-anak, maka anda perlu mengutamakan masa anda," katanya.
“Kes ini sepatutnya membuatkan pemandu bermuhasabah dan memikirkan sama ada pekerjaan ini yang mereka mahukan.
"Saya boleh meraih S$10,000 (sebulan), tetapi jika S$5,000 saya berikan kepada doktor, tiada gunanya kan?"
Encik Ishwar mengalami keletihan selepas seharian memandu.
"Apabila saya pulang ke rumah, saya selalu memberitahu keluarga saya supaya membiarkan saya sendirian sekurang-kurangnya satu hingga dua jam, kerana saya sangat letih," katanya.
Tetapi dia akan memastikan untuk mencari masa untuk bersenam, melakukan satu jam berjalan pantas tiga kali seminggu, sebagai sebahagian daripada pengajaran yang diperolehnya daripada serangan jantung.
"(Sebelum ini) gaya hidup saya tidak aktif, kurang diet (sihat) dan kurang bersenam," katanya.
RISIKO TERHADAP PENUMPANG
Memandu berjam-jam boleh membahayakan bukan sahaja pemandu.
Sesetengah penumpang memberitahu Mediacorp bahawa mereka menemui pemandu kereta sewa privet yang bergelut untuk berjaga semasa memandu.
Pengurus produk Eugene Tan menceritakan bagaimana pada awal tahun ini, pemandunya kelihatan mengantuk dan kereta itu terkeluar dari lorongnya beberapa kali, di kedua-dua lebuh raya dan jalan kecil.
Bimbang, lelaki berusia 30 tahun itu memberikan gula-gula kepada pemandu itu, yang "menghargai" perbuatannya itu.
Karyawan pengurusan Nina D'Costa mengalami pengalaman yang sama dan bertindak segera dengan cuba berbual dengan pemandu tersebut.
"Saya memastikan untuk bercakap dengannya dan mengubah suara saya supaya ia tidak menjadi membosankan, dan dalam kepala saya itu bermakna memastikan dia terjaga," katanya.
Cik Ortega berkata dia cuba mencegah situasi sedemikian dengan berehat setiap tiga jam; Encik Ishwar berkata dia mengambil 15 hingga 20 minit untuk tidur sebentar di tempat letak kereta awam jika dia berasa mengantuk.
"Anda tidak boleh memberikan 100 peratus jika anda tidak mendapatkan waktu rehat yang diperlukan," kata Cik Ortega.
APA YANG BOLEH DILAKUKAN?
Para pemandu memberitahu Mediacorp bahawa insentif terbaik yang ditawarkan oleh syarikat kereta sewa privet seharusnya sesuatu yang boleh dicapai dan tidak memerlukan mereka untuk meluangkan masa yang tidak sihat dan tidak mampan di jalan raya.
Encik Ishwar berkata terdapat satu tempoh apabila dia akan mengorbankan masa bersama keluarga untuk memandu beberapa jam tambahan untuk meraih bonus tunai.
"Saya sudahpun berhenti berbuat demikian ... Saya mula berfikir, 'Saya mempunyai kehidupan selain memandu'," katanya.
"Salah siapa? Di satu pihak, jika Grab mahukan lebih banyak perniagaan, mereka akan meminta pemandu mereka untuk memandu lebih banyak perjalanan, dan memberikan lebih banyak insentif. Tetapi adakah ini situasi yang saling menguntungkan? Saya tidak fikir begitu."
Menyusuli kematian Encik Neo, Anggota Parlimen Yeo Wan Ling, yang merupakan penasihat kepada Persatuan Kenderaan Sewa Privet Nasional (NPHVA) dan Persatuan Teksi Nasional (NTA), berkata ia adalah satu "peringatan tentang tekanan ketara yang dihadapi ramai pekerja platform, termasuk mengimbangi sewa dan tambang mereka".
Dalam catatan Facebooknya pada 3 Jun, beliau menggesa para pengendali platform supaya mengambil langkah-langkah untuk meningkatkan taraf kehidupan dan mata pencarian pekerja platform dengan mewujudkan insentif yang adil.
"Elakkan skim yang memberi insentif kepada pekerja platform untuk bekerja berjam-jam semata-mata untuk mendapatkan ganjaran," katanya. "Berikan tempoh rehat yang munasabah untuk pekerja mengelakkan keletihan."
Sebilangan pemandu berkata syarikat kereta sewa privet tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya.
"Pemandu sendiri harus tahu cara mendisiplinkan diri dan tahu apa yang mereka mahukan," kata Encik Khoo, seorang pemandu.
Menurut laman web Gojek, pemandu mengumpul mata berdasarkan jarak setiap perjalanan yang telah diselesaikan, dan mendapat bayaran tunai harian sebagai ganjaran.
“Ini membolehkan pemandu memperoleh ganjaran pada mana-mana hari yang mereka pilih untuk memandu, tanpa tempoh tertentu atau komitmen minimum,” kata jurucakap syarikat itu.
Mediacorp juga telah menghubungi TADA serta Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk mendapatkan ulasan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.