jelasBERITA: Jualan polisi insurans berkait pelaburan naik lebih seganda dalam 3 tahun meski aduan meningkat
Jualan polisi insurans berkaitan pelaburan (ILP) di Singapura meningkat lebih seganda dalam tempoh tiga tahun, meskipun jumlah aduan berhubung dakwaan maklumat mengelirukan dan pendedahan maklumat yang tidak mencukupi turut bertambah.
Jualan polisi insurans berkaitan pelaburan (ILP) di Singapura meningkat lebih seganda dalam tempoh tiga tahun, meskipun aduan pengguna mengenai produk itu turut bertambah. (Gambar fail: iStock/skynesher)
- Sales of ILPs in Singapore more than doubled, with weighted new premiums rising from S$1.31 billion in 2022 to S$2.88 billion in 2025, according to the Life Insurance Association, Singapore.
- FIDReC received more ILP complaints, including 164 in 2025 and 104 in the first half of 2026, mainly involving allegations of misrepresentation and unsuitable advice.
- Complaints from EMAS customers increased as many consumers did not understand that ILP capital, returns, fees, charges and premium payment terms are not necessarily guaranteed.
- Experts linked demand to product design, bonuses and a strong market, while Income Insurance and Manulife emphasised needs assessment, consultant training and information disclosure.
- Jualan ILP di Singapura meningkat lebih seganda, dengan premium baharu berwajaran naik daripada S$1.31 bilion pada 2022 kepada S$2.88 bilion pada 2025 menurut LIA.
- FIDReC menerima lebih banyak aduan ILP, termasuk 164 pada 2025 dan 104 pada separuh pertama 2026, terutama berkaitan dakwaan salah nyata dan nasihat tidak sesuai.
- Aduan warga emas bertambah apabila ramai pengguna tidak memahami bahawa modal, pulangan, yuran, caj dan tempoh premium ILP tidak semestinya terjamin.
- Pakar mengaitkan permintaan dengan reka bentuk produk, bonus dan pasaran kukuh, manakala Income Insurance dan Manulife menekankan penilaian keperluan, latihan perunding serta pendedahan maklumat.
Menurut Persatuan Insurans Hayat Singapura (LIA), premium perniagaan baharu berwajaran, yang digunakan untuk mengukur jualan baharu, meningkat kepada S$2.88 bilion pada 2025, berbanding S$1.31 bilion pada 2022.
Pengarah Eksekutif LIA, Chan Wai Kit, berkata angka itu mencerminkan pertumbuhan sekitar 120 peratus dalam tempoh tiga tahun, termasuk kenaikan 27.8 peratus pada 2025 berbanding tahun sebelumnya.
Dalam tempoh yang sama, jumlah aduan berkaitan ILP yang diterima Pusat Penyelesaian Pertikaian Industri Kewangan (FIDReC) meningkat daripada 42 pada 2022 kepada 164 pada 2025.
Jumlah itu pernah mencecah 211 pada 2024.
Bagi separuh pertama 2026 pula, sebanyak 104 aduan diterima, berbanding 61 dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Aduan tersebut kebanyakannya melibatkan dakwaan salah nyata, kegagalan mendedahkan maklumat penting mengenai ILP serta nasihat kewangan yang tidak sesuai.
LEBIH RAMAI WARGA EMAS BUAT ADUAN
Ketua Pegawai Eksekutif FIDReC, Eunice Chua, berkata profil pengadu semakin beralih kepada golongan lebih berusia.
Pengguna berumur 61 tahun ke atas menyumbang 35 peratus daripada keseluruhan aduan pada separuh pertama 2026, meningkat daripada hanya 7 peratus pada 2022.
Menurut beliau, sesi pengantaraan mendapati ramai pengguna tidak memahami sepenuhnya ciri-ciri ILP.
Sebahagian mereka menyangka produk itu serupa dengan insurans tradisional atau menganggap modal dan pulangan pelaburan dijamin.
Ada juga yang tidak memahami sepenuhnya yuran, caj serta tempoh komitmen pembayaran premium.
MENGAPA PERMINTAAN ILP MENINGKAT?
Presiden Persatuan Aktuari Singapura, Alex Lee, berkata perubahan pada reka bentuk produk ILP menjadi antara faktor utama peningkatan jualan.
Berbanding polisi tradisional yang menggabungkan perlindungan insurans dan pelaburan, produk ILP lebih baharu lazimnya menawarkan perlindungan kematian yang minimum.
Ini membolehkan pelanggan mendapatkan polisi dengan sedikit atau tanpa perlu menjawab soalan terperinci mengenai keadaan kesihatan mereka.
Selain itu, sesetengah ILP menawarkan bonus permulaan dalam bentuk unit pelaburan tambahan bagi menarik pelanggan baharu.
Namun, Encik Lee menjelaskan bahawa bonus tersebut lazimnya dibiayai menerusi caj lebih tinggi pada tahun-tahun awal dan tertakluk kepada tempoh pelaburan minimum.
Ketua Pegawai Eksekutif firma penasihat insurans Havend, Eddy Cheong, pula berkata prestasi kukuh pasaran modal sepanjang sedekad lalu mungkin menjadikan ILP lebih mudah dipasarkan.
Beliau berkata ramai pengguna tertarik dengan peluang mengembangkan kekayaan, berbanding produk seperti simpanan tetap yang menawarkan pertumbuhan lebih perlahan.
Namun, sebahagian pengguna kurang berpengalaman dalam pelaburan dan terlalu bergantung kepada nasihat perunding kewangan.
MODAL DAN PULANGAN TIDAK DIJAMIN
Pakar memberi amaran bahawa ILP tidak menjamin modal mahupun pulangan pelaburan.
Nilai pelaburan boleh meningkat atau merosot mengikut keadaan pasaran, dan pengguna berisiko kehilangan sebahagian daripada wang yang dilaburkan.
Encik Chan berkata sesetengah pengguna turut tersalah anggap bahawa manfaat kematian yang dijamin bermakna modal pelaburan mereka juga terjamin.
Hakikatnya, manfaat kematian ialah bayaran insurans apabila pemegang polisi meninggal dunia, manakala nilai pelaburan sepanjang tempoh polisi tetap tertakluk kepada turun naik pasaran.
Encik Cheong pula mengingatkan bahawa yuran polisi, yuran dana dan caj pentadbiran boleh mengurangkan pulangan, meskipun pasaran menunjukkan prestasi baik.
Pemegang ILP lazimnya perlu membayar yuran polisi dan yuran dana, berbanding pelabur yang melabur secara langsung dalam dana sama dan hanya membayar yuran dana.
Sesetengah polisi turut mengenakan caj bagi penamatan awal atau apabila pemegang polisi mengambil cuti pembayaran premium.
Dalam keadaan tertentu, unit pelaburan sedia ada akan dijual bagi menampung caj sepanjang tempoh premium tidak dibayar.
Pakar menasihatkan pengguna supaya memanfaatkan tempoh penelitian percuma selama 14 hari untuk menyemak dokumen polisi dan menilai kesesuaiannya sebelum membuat keputusan muktamad.
LATIHAN PERUNDING KEWANGAN DIPERKUKUH
Income Insurance menyatakan bahawa aduan berkaitan ILP boleh timbul atas pelbagai sebab dan tidak semestinya melibatkan salah laku pemasaran.
Menurut syarikat itu, perunding kewangan diwajibkan menjalankan penilaian berdasarkan keperluan pelanggan serta menjelaskan maklumat berkaitan sebelum mengesyorkan sesuatu produk.
Ketua Pegawai Pengedaran Manulife, Khoo Poh Huat, pula berkata syarikatnya terus memperkukuh piawaian nasihat kewangan dan pendedahan maklumat menerusi latihan perunding serta komunikasi dengan pelanggan.
Beliau berkata Manulife juga bekerjasama dengan pelanggan bagi menangani kebimbangan mereka dan meningkatkan pemahaman mengenai produk ILP.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.