Skip to main content

Singapura

jelasBERITA: Ini sebab kit ujian kendiri 3 dalam 1 berguna apabila anda alami selesema

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Ini sebab kit ujian kendiri 3 dalam 1 berguna apabila anda alami selesema

(Gambar: iStock/Pony Wang)

Diterbitkan : 02 Sep 2025 01:57PM Dikemas Kini : 02 Sep 2025 05:36PM
SINGAPURA: Selain daripada kit ujian kendiri COVID-19, kini terdapat kit ujian ART tiga dalam satu yang bukan sahaja dapat mengesan COVID-19, tetapi juga jangkitan influenza A dan B.

Mungkin anda tertanya-tanya sama ada selesema yang dialami disebabkan oleh influenza A atau B?

Selain itu, adakah ia sudah memadai untuk mengambil cuti sakit, makan ubat paracetamol dan berehat di rumah apabila anda mengalami selesema?

Berikut antara sebab-sebab mengapa ia penting untuk membezakan antara influenza A dan B - serta mengapa anda mungkin melihat semakin banyak kit ujian 3 dalam 1 seumpamanya dijual di kedai.

APA BEZA ANTARA INFLUENZA A DAN B?

Sebenarnya terdapat bukan sahaja dua tetapi empat virus influenza secara keseluruhan iaitu A, B, C dan D - dan ia menyebabkan jenis influenza masing-masing.
(Gambar: iStock/Pornpak Khunatorn)
Namun, kurang tumpuan diberikan kepada influenza C dan D kerana jangkitan influenza C "lazimnya menyebabkan sakit ringan", manakala jenis D pula sebahagian besar menjejas lembu, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC).

"Virus influenza A dan B lebih membimbangkan," kata Profesor Paul Tambyah, seorang profesor perubatan dan timbalan pengerusi di Program Penyelidikan Translasi Penyakit Berjangkit di Sekolah Perubatan Yong Loo Lin di Universiti Nasional Singapura (NUS).

Antara kedua-duanya, "virus influenza A lebih serius berbanding influenza B", kata Profesor Tambyah.

Walaupun influenza B menyebabkan lebih banyak sakit otot, influenza A pula menyebabkan risiko lebih tinggi menghidap pneumonia atau radang paru-paru, katanya.

Influenza A juga bertanggungjawab menyebabkan wabak selesema dan pandemik.

APAKAH JENIS INFLUENZA YANG SERING TERDAPAT DI SG?

"Walaupun influenza A lebih kerap ditemui di sini, kedua-dua virus menular secara meluas," kata Profesor Tambyah, menukil laporan terkini oleh Kementerian Kesihatan.

"Ia menunjukkan influenza A meliputi 78 peratus daripada kes-kes influenza yang dikesan pada Julai lalu dengan influenza B meliputi 12 peratus."

Namun, perangkaan itu berubah dari bulan ke bulan.
(Gambar: iStock/wichayada suwanachun)
Bagi musim selesema tahunan yang anda mungkin pernah dengar, ia berbeza di Singapura dan negara-negara tropikal yang lain, kata Profesor Madya Barnaby Young, seorang perunding kanan di Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit.

Walaupun musim selesema teruk sering berlaku pada musim sejuk bagi kawasan-kawasan dengan empat musim, "keadaannya lebih rumit dan berbeza dari tahun ke tahun" di Singapura.

"Biasanya, kita mengalami dua puncak musim selesema dalam setahun - satu dari Disember hingga Mac, dan satu lagi dari Mei hingga Ogos," kata Profesor Madya Young.

Namun selain daripada dua tempoh itu, virus influenza juga menular dan menyebabkan jangkitan sepanjang tahun, katanya.

MENGAPA PERLU BEZAKAN ANTARA INFLUENZA A DAN B, SERTA COVID-19?

Mengetahui perbezaan antara influenza dan COVID-19 dapat membantu dari segi mendapatkan preskripsi perubatan yang betul, kata Profesor Madya young.

Oseltamivir digunakan bagi kedua-dua influenza A dan B, manakala Paxlovid pula bagi COVID-19.

"Ini dapat mempercepatkan proses pemulihan dan mengurangkan risiko menghidap penyakit lebih serius," katanya, di mana ia sangat berguna jika anda mempunyai anak kecil atau warga emas di rumah.

Namun jika demikian halnya, mengapa doktor GP tidak melakukan sebarang ujian dalam klinik ketika kit-kit ujian kendiri belum tersedia pada ketika itu?

Bahkan sekarang pun, anda sekadar diberikan cuti sakit dan ubat-ubatan untuk dibawa pulang. Tiada sebarang ujian diambil.

Ini kerana bagi kebanyakan rawatan, kata Profesor Madya Young, ubat-ubatan seperti paracetamol, antiradang dan ubat batuk mungkin sudah memadai bagi merawat gejala yang dialami dan "tidak perlu mengetahui secara terperinci virus apakah yang menyebabkan jangkitan itu".

Sebab-sebab lain adalah kos kit ujian dalam klinik dan masa yang diperlukan untuk melakukan ujian itu.

"Untuk menguji bagi virus, sampel itu perlu dihantar ke makmal dan keputusannya hanya diketahui satu hingga dua hari kemudian. Dan kos ujian makmal ini mungkin agak mahal," kata Profesor Madya Young.

Justeru, kit-kit ujian kendiri tiga dalam satu ini dapat membantu, kata Profesor Tambyah.

"Kedua-dua influenza dan COVID-19 adalah jangkitan lebih serius berbanding selesema biasa, jadi bagi pesakit, adalah baik untuk mengetahui virus yang mana mereka dijangkiti."

BAGAIMANA KIT UJIAN KENDIRI TIGA DALAM SATU INI BERFUNGSI? BAGAIMANA BUAT PILIHAN?

Kit-kit hibrid tersebut mengandungi tiga antigen berbeza yang bertindak balas kepada antibodi influenza A dan B serta antibodi SARS-CoV-2 dalam sampel yang diambil dari hidung anda.
(Gambar: iStock/Memorystockphoto)
Jika anda diuji positif, satu garisan akan muncul di sebelah jangkitan virus berkaitan pada kit ujian tersebut, sama seperti kit-kit ujian kendiri bagi COVID-19.

"Namun, kit-kit ujian tersebut kurang sensitif, jadi walaupun keputusan positif memberi kita keyakinan bahawa sebuah virus tertentu menyebabkan jangkitan itu, ujian negatif harus diperiksa dengan lebih teliti," kata Profesor Madya Young.

Ini kerana keputusan ujian negatif tidak bermakna anda tidak mengalami sebarang jangkitan; terdapat banyak virus dan bakteria lain di luar sana yang boleh menyebabkan simptom pernafasan yang tidak dikesan oleh kit-kit ujian kendiri tiga dalam satu itu, katanya.

"Walaupun dengan keputusan negatif, ia tetap penting untuk mengambil langkah-langkah perlindungan seperti jauhi tempat-tempat sibuk, pakai pelitup jika anda keluar rumah dan ambil cuti rehat dari kerja," nasihat Profesor Madya Young.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita