Skip to main content

Singapura

jelasBERITA: Garis masa kes Pritam Singh - dari pembohongan hingga rayuan pada 4 Nov

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 03 Nov 2025 12:20PM Dikemas Kini : 03 Nov 2025 09:48PM
SINGAPURA: Ketua Pembangkang Pritam Singh akan mengemukakan rayuan pada 4 November terhadap sabitan dan hukumannya kerana berbohong kepada Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen.

Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP) itu dikenakan denda keseluruhan sebanyak S$14,000 pada Februari tahun ini atas dua tuduhan yang berpunca daripada cara beliau menangani pembohongan yang dibuat oleh mantan anggota WP, Raeesah Khan.

Antara detik penting dalam perbicaraan yang mendapat perhatian ramai itu, termasuk keterangan daripada Cik Raeesah, kemunculan ringkas anggota mapan WP Low Thia Khiang, serta keterangan Encik Pritam sendiri.

Pada 17 Februari tahun ini, Encik Pritam didapati bersalah di akhir perbicaraan tersebut dan dikenakan denda maksimum sebanyak S$7,000 bagi setiap dua tuduhan memberikan keterangan palsu kepada Jawatankuasa Hhak Istimewa Parlimen.

Pada hari yang sama, beliau memberitahu para wartawan di luar Mahkamah Negara bahawa beliau akan membuat rayuan terhadap keputusan itu.

GARIS MASA

3 Ogos 2021

Kes ini bermula daripada pembohongan Cik Raeesah di parlimen, apabila beliau mendakwa menemani seorang mangsa rogol ke balai polis, di mana anggota polis dikatakan mengeluarkan kenyataan tidak wajar terhadap mangsa.

Apabila disoal sekali lagi di parlimen oleh Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam, Cik Raeesah tetap meneruskan pembohongan itu.

1 Nov 2021

Beliau akhirnya membuat kenyataan di parlimen dan mengakui bahawa kisah mangsa rogol itu adalah palsu.

Sebuah jawatankuasa kemudian ditubuhkan untuk menyiasat perkara tersebut. Cik Raeesah, Encik Pritam dan beberapa pemimpin WP lain memberi keterangan dalam prosiding yang berlangsung selama beberapa hari.

Februari 2022

Dalam laporan akhir pada Februari 2022, jawatankuasa itu mencadangkan agar Encik Pritam dan Encik Faisal dirujuk kepada pendakwa raya untuk siasatan lanjut.

Encik Faisal diberikan makluman polis tetapi tidak didakwa.

Mac 2024

Lebih dua tahun selepas Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen (COP) yang menyiasat kes Cik Raeesah menyatakan bahawa Encik Pritam dan Naib Pengerusi WP ketika itu, Faisal Manap, sudah memberi keterangan yang “tidak benar”, Encik Pritam didakwa oleh mahkamah pada Mac 2024. Beliau tidak mengaku bersalah.

14 Oktober 2024

Perbicaraan Encik Pritam bermula di Mahkamah Negara. Beliau diwakili peguam Andre Jumabhoy dan Aristotle Eng.

Pihak pendakwa diterajui oleh Timbalan Peguam Negara, Ang Cheng Hock, yang kemudian menyoal balas Encik Pritam. Encik Ang dilantik sebagai hakim Mahkamah Tinggi pada Mei 2025 dan sebagai hakim Mahkamah Rayuan.

Saksi pihak pendakwa termasuk Cik Raeesah, bekas pembantunya Loh Pei Ying dan Yudhishthra Nathan, serta mantan setiausaha agung WP, Low Thia Khiang.

Pihak pendakwa berhujah bahawa Encik Pritam mengarahkan Cik Raeesah untuk meneruskan pembohongannya.

15 Oktober 2024

Cik Raeesah memberi keterangan bahawa beliau berasa “amat kecewa dan dikhianati”.

Beliau berkata orang yang paling dipercayainya “mengkhianatinya” dan menggunakan panel disiplin parti, yang terdiri daripada Encik Pritam, Cik Sylvia Lim dan Encik Faisal untuk mengkritiknya.

Ketika disoal balas oleh peguam Encik Pritam, Encik Jumabhoy, Cik Raeesah disifatkanl sebagai “penipu” yang “berbohong tanpa henti”.

17 Oktober 2024

Bekas penolong setiausaha Cik Raeesah, Cik Loh, memberi keterangan tentang rasa tidak puas hatinya terhadap cara isu itu ditangani, serta bagaimana Encik Pritam mengetahui tentang pembohongan tersebut lebih awal.

Apabila disoal balas, Cik Loh mengaku bahawa beliau juga berbohong semasa siasatan jawatankuasa tersebut dengan menyembunyikan mesej daripada anggota parti, Encik Nathan, yang mencadangkan agar mereka terus berbohong.

Semasa perbicaraan itu juga, Cik Loh mengaku memanggil Cik Raeesah “naif” dan seperti “biskut lao hong” - istilah Hokkien yang bermaksud "lemah" - yang kemudian menjadi tular.

Apabila tiba giliran Encik Nathan untuk memberi keterangan, beliau berkata bahawa terdapat “usaha” untuk menyingkirkan Cik Raeesah daripada parti, supaya Encik Pritam terlepas daripada tanggungjawabnya.

Namun, apabila disoal balas oleh peguam Encik Jumabhoy, Encik Nathan mengakui bahawa beliau mahu Cik Raeesah terus berbohong kerana parti “tidak mempunyai pelan yang sesuai” untuk menjelaskan perkara sebenar.

23 Oktober 2024

Mantan ketua WP, Encik Low Thia Khiang, memberi keterangan sebagai saksi pendakwa selama 20 minit dan berkata bahawa beliau pernah menasihatkan kepimpinan WP agar Cik Raeesah memohon maaf di parlimen.

Di luar mahkamah, beliau berkata bahawa pengundi boleh membezakan siapa ahli politik yang baik, menggambarkan Encik Pritam sebagai “ahli politik yang bagus” dan “pemimpin berkebolehan serta berjiwa rakyat”.

Encik Pritam memberi keterangan bagi membela diri tetapi tidak memanggil saksi lain.

Beliau menjelaskan bahawa beliau tidak memahami mengapa Cik Raeesah menangis apabila diminta menjelaskan keterangan palsunya.

Beliau juga menolak dakwaan bahawa beliau menyuruh Cik Raeesah “teruskan pembohongan hingga bawa ke kubur”.

Encik Pritam menjelaskan bahawa kenyataannya “saya tidak akan menghakimi anda” bermaksud beliau tidak akan menghakimi Cik Raeesah jika beliau bertanggungjawab atas perbuatannya.

Dalam keterangannya, Encik Pritam berkata beliau terkejut apabila Cik Raeesah berkongsi dengannya dan beberapa pemimpin WP bahawa beliau dirogol pada usia yang muda, dan beliau berasa “sangat tidak gembira” apabila mengetahui Cik Raeesah berbohong di parlimen, dan “amat kecewa” apabila beliau mengulangi pembohongan itu.

KEPUTUSAN

Dalam penghakiman lisan, Timbalan Ketua Hakim Daerah, Luke Tan, mendapati bahawa bukti menunjukkan Encik Pritam tidak pernah mahu Cik Raeesah menjelaskan pembohongan itu.

Beliau berkata bahawa kegagalan Encik Pritam untuk memberikan panduan kepada Cik Raeesah sejajar dengan tiadanya keinginan daripada dirinya untuk turut berbuat demikian.

Hakim Tan menolak hujah pihak pembela bahawa sikap Encik Pritam itu adalah "tindak balas semula jadi seseorang yang berdepan dengan pengakuan mangsa serangan seksual", dan bahawa adalah lebih penting untuk menunjukkan sifat empati atau belas kasihan terhadap Cik Raeesah.

Sebaliknya, hakim menegaskan bahawa Encik Pritam “tidak berbuat apa-apa” meskipun beliau boleh menghubungi Cik Raeesah untuk memantau kesejahteraan diri, keadaan atau kemajuannya.

Hakim juga menolak usaha pihak pembela yang cuba menggunakan kenyataan luar mahkamah oleh Cik Lim dan Encik Faisal, meskipun memilih untuk tidak memanggil mereka sebagai saksi perbicaraan.

"Usaha ini “tidak boleh diterima” sama sekali kerana menggunakan kenyataan luar mahkamah merupakan desas-desus dan tidak boleh digunakan sebagai bukti bagi perbicaraan tersebut.

Timbalan Ketua Pendakwa Raya Wong Woon Kwong mengusulkan denda maksimum S$7,000 bagi setiap tuduhan, manakala peguam bela menyarankan S$4,000 setiap satu.

Hakim memilih untuk mengikut cadangan pihak pendakwa, dengan bersetuju bahawa hukuman penjara tidak wajar kerana “tiada kemudaratan ketara” terhadap Cik Raeesah.

Di luar Mahkamah Negara, Encik Pritam menyatakan bahawa keputusan perbicaraan itu “mengecewakan” tetapi beliau akan merayu terhadap sabitan dan hukuman tersebut.

Apabila ditanya sama ada beliau akan menimbangkan untuk berundur dan melepaskan jawatannya, Encik Pritam menjawab bahawa keperluan kini ialah untuk beliau “maju ke hadapan, bukan berundur”.

Februari 2025

Encik Pritam dikenakan denda keseluruhan sebanyak S$14,000 atas dua tuduhan yang berpunca daripada cara beliau menangani pembohongan yang dibuat oleh Cik Raeesah.

Mei 2025

Dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025)pada Mei lalu, WP memenangi GRC Aljunied, GRC Sengkang dan SMC Hougang.

Encik Pritam berjaya dipilih semula sebagai Anggota Parlimen GRC Aljunied dengan 59.71 peratus undi.

Encik Pritam akan memfailkan rayuannya pada 4 November terhadap sabitan dan hukumannya kerana berbohong kepada COP.

Bagi tuduhan memberikan jawapan palsu dengan sengaja di hadapan Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen (COP), di bawah Akta Parlimen (Keistimewaan, Kekebalan dan Kuasa), pesalah boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun, didenda sehingga S$7,000, atau kedua-duanya sekali bagi setiap tuduhan.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita