Skip to main content

Singapura

jelasBERITA: Garis Masa 38 Oxley Road

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Garis Masa 38 Oxley Road

Menteri Kanan Lee Hsien Loong, mendiang Dr Lee Wei Ling dan Encik Lee Hsien Yang. (Gambar: Xabryna Kek/TODAY/AFP)

Diterbitkan : 16 Oct 2024 09:02AM Dikemas Kini : 16 Oct 2024 09:20AM

SINGAPURA: Encik Lee Hsien Yang, anak bongsu perdana menteri pengasas Singapura Lee Kuan Yew, berkata pada Selasa (15 Okt) bahawa beliau akan memohon untuk merobohkan rumah keluarga mereka di 38 Oxley Road.

Ia diumumkan beberapa hari selepas kakaknya Dr Lee Wei Ling meninggal dunia.

Anak perempuan tunggal Encik Lee Kuan Yew masih menetap di 38 Oxley Road selepas pemergian bapanya pada 2015.

Encik Lee Hsien Yang berkata keputusannya selaras dengan hasrat ibu bapanya, dan beliau kini menjadi pemilik tunggal rumah itu yang sah.

Semasa menjawab pertanyaan Mediacorp, Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dan Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) menyatakan bahawa mereka tidak menerima sebarang permohonan mengenai 38 Oxley Road.

APAKAH KEPENTINGAN 38 OXLEY ROAD?

Hartanah di 38 Oxley Road telah dibina pada akhir abad ke-19, dan Encik Lee Kuan Yew menetap di sana dari tahun 1940-an sehingga pemergiannya.

Rumah itu dikaitkan dengan peristiwa penting dalam sejarah Singapura.

Bapa pengasas seperti Dr Goh Keng Swee dan Dr Toh Chin Chye mengadakan mesyuarat di ruang makan bawah tanahnya pada 1950-an, yang membawa kepada penubuhan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah Singapura hari ini.

Anak-anak Encik Lee Kuan Yew - Menteri Kanan Lee Hsien Loong, mendiang Dr Lee dan Encik Lee Hsien Yang - juga dibesarkan di 38 Oxley Road.

APAKAH HASRAT LEE KUAN YEW?

Encik Lee Kuan Yew telah beberapa kali secara terbuka menyatakan hasratnya agar rumah itu dirobohkan selepas pemergiannya.

Beliau menyatakan dalam surat kepada Kabinet pada Oktober 2010 bahawa ia "tidak boleh dikekalkan sebagai sejenis peninggalan untuk dilalui orang ramai" dan ia "tiada merit sebagai seni bina".

Dalam bukunya Hard Truths to Keep Singapore Going, yang diterbitkan pada Januari 2011, beliau dipetik sebagai berkata: "Disebabkan oleh rumah saya, rumah-rumah jiran saya tidak boleh dibina lebih tinggi. Sekarang robohkan rumah saya dan tukar peraturan perancangan, nilai tanah akan naik."

Beliau mengulangi pendiriannya pada Julai 2011 dalam surat lain kepada Kabinet.

Tetapi ini mendapat tentangan daripada para menteri Kabinet apabila beliau bertanya kepada mereka mengenainya.

Selepas itu, dalam surat lain kepada Kabinet pada Disember 2011, Encik Lee berkata beliau telah memikirkan perkara itu selepas Kabinet sebulat suara berkata hartanah itu tidak patut dirobohkan; dan bahawa beliau telah memutuskan bahawa jika ia mahu dipelihara, kerja-kerja perlu dijalankan.

Rumah itu harus diperkukuhkan asasnya dan keseluruhan bangunan itu dibaik pulih, dan kemudiannya dibiarkan untuk didiami, kerana bangunan kosong akan "tidak lama lagi akan runtuh dan reput", katanya.

Namun dalam wasiat terakhirnya yang dilaksanakan pada 2013, Encik Lee kembali berkata beliau mahu rumah itu dirobohkan, dan jika itu tidak mungkin, hartanah itu harus ditutup kepada semua orang kecuali keluarga dan keturunannya.



BAGAIMANA IA MENJADI ISU?

Rumah keluarga itu menjadi tajuk kepentingan awam selepas pemergian Encik Lee Kuan Yew pada 23 Mac 2015.

Pada 14 Jun 2017, Encik Lee Hsien Yang dan Dr Lee menggunakan media sosial untuk menuduh Encik Lee Hsien Loong, yang merupakan perdana menteri ketika itu, menuduh Encik Lee Hsien Loong, Perdana Menteri ketika itu, tidak memenuhi hasrat bapa mereka semata-mata untuk kepentingan politik walaupun mendiang mahu rumah keluarga mereka dirobohkan. Mereka menegaskan bahawa bapa mereka mahu 38 Oxley Road dirobohkan.

Encik Lee Hsien Yang dan Dr Lee berkata mereka berasa tertekan apabila cuba memenuhi hasrat bapa mereka. Mereka juga menuduh Encik Lee Hsien Loong menyalahgunakan pengaruhnya dalam pemerintah untuk mengetengahkan agenda peribadi.

Sehari kemudian, Encik Lee Hsien Loong memuat naik kenyataan lima muka surat di Facebook yang menyatakan beliau mempunyai "soalan-soalan serius" tentang bagaimana wasiat terakhir bapanya disiapkan.

Beliau berkata apabila surat wasiat terakhir Encik Lee Kuan Yew dibacakan pada 12 April 2015, Encik Lee Hsien Yang telah berkali-kali berkeras untuk merobohkan rumah itu dengan segera; dan perbincangan itu berakhir hanya apabila Dr Lee berkata beliau mahu terus menetap di rumah itu.

Dalam kenyataannya, Encik Lee Hsien Loong juga berkata beliau tidak mencabar kesahihan wasiat terakhir bapanya di mahkamah, kerana beliau berharap ia dapat mengelakkan pertikaian yang akan mencemarkan nama dan nama baik Encik Lee Kuan Yew serta keluarganya.

Selepas pemergian Encik Lee Kuan Yew, harta pusakanya dibahagikan sama rata antara ketiga-tiga adik-beradik, dan wasiat terakhirnya termasuk klausa yang membenarkan Dr Lee menetap di sana bagi tempoh yang beliau mahu.

Untuk menyelesaikan pertikaian keluarga secara baik, Encik Lee Hsien Loong berkata beliau bersedia untuk memindahkan bahagiannya bagi 38 Oxley Road kepada Dr Lee dengan jumlah nominal S$1, dengan syarat sekiranya hartanah itu diurus niaga kemudian atau diperoleh oleh pemerintah, semua hasilnya akan disalurkan kepada tujuan amal.

Penyelesaiannya bagaimanapun terbukti mustahil.

Selepas Pilihan Raya Umum 2015 pada bulan September, Dr Lee dan Encik Lee Hsien Yang bersetuju dengan saranan baharu oleh Encik Lee Hsien Loong untuk memindahkan bahagian 38 Oxley Road beliau kepada Encik Lee Hsien Yang pada nilai pasaran, dengan syarat kedua-dua adik-beradik lelaki itu menderma jumlah yang bersamaan dengan separuh daripada nilainya untuk tujuan amal.

Ini bagi mengelakkan sebarang kontroversi pada masa akan datang berhubung pampasan atau hasil pembangunan semula.

Encik Lee Hsien Loong berkata beliau bersedia untuk berbuat demikian supaya adik lelakinya dan Dr Lee dapat menangani perkara berhubung 38 Oxley Road "seperti yang mereka anggap wajar antara mereka berdua".

“Ini selaras dengan pendirian yang saya selalu berpegang dan sampaikan kepada keluarga saya: Bahawa tidak boleh dipertahankan bagi keluarga saya untuk mengekalkan hasil daripada sebarang urusan dengan 38 Oxley Road, kerana ia akan kelihatan seperti keluarga saya menentang pemerolehan dan pemuliharaan rumah itu atas sebab kewangan,” kata Encik Lee Hsien Loong pada masa itu.

“Lee Hsien Yang pernah dan terus tidak berpuas hati dengan pendirian saya. Jadi, ia akan kelihatan, begitu juga bagi Lee Wei Ling,” kata Encik Lee Hsien Loong.

Lima hari selepas adik-beradiknya mula-mula mendedahkan tuduhan mereka, Encik Lee Hsien Loong memohon maaf kepada rakyat Singapura atas kesannya terhadap nama baik negara, dan keyakinan rakyat Singapura terhadap pemerintah.

Dalam satu kenyataan pada 19 Jun 2017, beliau menambah bahawa "sebagai anak sulung daripada tiga adik-beradik, saya sedih memikirkan bagaimana ia akan menjejas ibu bapa kami jika mereka masih hidup".

APAKAH RESPONS PEMERINTAH SINGAPURA?

38 Oxley Road menjadi tajuk utama dalam beberapa akhbar terbesar dunia, yang mendorong Encik Lee Hsien Loong untuk menyampaikan Kenyataan Menteri di Parlimen pada 3 Jul 2017.

Menggesa semua Anggota Parlimen untuk "meneliti isu-isu dengan teliti dan menyoal saya dan rakan-rakan Kabinet saya dengan bersungguh-sungguh", kata Encik Lee Hsien Loong yang berharap pembentangan penuh isu itu akan menghapuskan keraguan dan mengukuhkan keyakinan terhadap institusi-institusi negara dan sistem pemerintah.

Sebuah jawatankuasa menteri bagi 38 Oxley Road telah ditubuhkan untuk mempertimbangkan masa depan rumah itu. Ia dipengerusikan oleh Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara Teo Chee Hean, dan termasuk Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Grace Fu, Menteri Undang-Undang K Shanmugam dan kemudian Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong yang kini menyandang jawatan perdana menteri.

Pada April 2018, jawatankuasa itu mengeluarkan laporan terakhir mengenai perkara itu dengan tiga saranan: Mengekalkan rumah itu secara keseluruhannya, mengekalkan hanya ruang makan bawah tanah yang bersejarah dan membenarkannya dirobohkan.

"Dalam mencapai pandangan kami mengenai hasrat Encik Lee Kuan Yew, kami bergantung terutamanya pada bukti objektif yang diletakkan di hadapan kami dan langkah konkrit utama yang diambil oleh Encik Lee Kuan Yew sendiri sepanjang hayatnya untuk melaksanakan hasratnya itu," kata Encik Teo sebelum ini.

"Ini termasuk klausa perobohan dalam wasiat terakhir Encik Lee Kuan Yew, suratnya kepada Kabinet bertarikh 27 Dis 2011, serta rancangan pengubahsuaian/pembangunan semula untuk 38 Oxley Road yang dikemukakannya kepada URA pada Mac 2012, dan mendapat kelulusan untuk berbuat demikian."

Laporan itu tidak membuat sebarang saranan dan menyatakan bahawa "tidak perlu membuat keputusan mengenai hartanah tersebut" ketika itu kerana Dr Lee masih menetap di sana.

"Pelbagai pilihan dalam laporan itu bertujuan untuk membantu pemerintah seterusnya membuat keputusan berhemah dan menimbangkan keputusan itu jika perlu," katanya.

APA KAITAN PERTIKAIAN WASIAT DENGAN ISU 38 OXLEY ROAD?

Dalam versi terakhir wasiatnya pada 2013, Encik Lee Kuan Yew berkata beliau mahu rumah itu dirobohkan. Jika itu tidak mungkin, hartanah itu hendaklah ditutup kepada semua orang kecuali keluarga dan keturunannya.

Dalam Kenyataan Menterinya pada 2017, Encik Lee Hsien Loong menegaskan bahawa klausa mengenai perobohan rumah itu telah digugurkan daripada versi kelima dan keenam wasiat itu, dan hanya dimasukkan semula dalam wasiat ketujuh dan wasiat terakhir.

Enam wasiat pertama telah disiapkan oleh peguam Encik Lee Kuan Yew, Cik Kwa Kim Li, antara Ogos 2011 dan November 2012.

Beliau tidak terlibat dalam menyiapkan wasiat ketujuh dan terakhir, yang dilaksanakan pada 17 Dis 2013 dengan penglibatan Encik Lee Hsien Yang dan isterinya Cik Lee Suet Fern, seorang peguam.

Cik Lee Suet Fern kemudiannya didapati bersalah pada 2020 atas tingkah laku profesional yang sangat tidak wajar dalam mengendalikan wasiat terakhir bapa mertuanya.

Tribunal Disiplin serta Mahkamah Tiga Hakim - badan disiplin tertinggi yang menangani salah laku peguam - mendapati Encik Lee Hsien Yang dan Cik Lee Suet Fern mengelirukan mendiang Encik Lee Kuan Yew dalam konteks pelaksanaan wasiat terakhirnya, dan bahawa mereka telah berbohong meskipun mengangkat sumpah semasa prosiding.

Encik Lee Hsien Yang dan Cik Lee Suet Fern meninggalkan Singapura pada 2022 selepas memutuskan untuk tidak menghadiri sesi soal siasat polis berkaitan perkara itu. Pada awal bulan Oktober, Encik Lee Hsien Yang memuat naik catatan ke Facebook yang mengatakan bahawa beliau tidak akan pulang ke Singapura untuk upacara persemadian kakaknya.

Cik Kwa juga diperintahkan membayar S$13,000 sebagai denda atas salah laku berkaitan wasiat mendiang Encik Lee pada 2023.

Beliau juga membayar S$5,000 kerana gagal "menjaga dengan teliti" kerahsiaan mendiang Encik Lee Kuan Yew semasa mengendalikan wasiatnya, dan S$8,000 kerana mengelirukan Encik Lee Hsien Yang dan Dr Lee dalam respons emelnya kepada pertanyaan mereka.

Ini selepas Encik Lee Hsien Yang dan Dr Lee, sebagai wasi harta pusaka bapa mereka, membuat empat aduan terhadap Cik Kwa, di mana dua daripadanya akhirnya dirujuk kepada tribunal disiplin.

Yang pertama mendakwa bahawa Cik Kwa melanggar keistimewaan dan kewajipan kerahsiaan dengan menghantar emel dengan rekod komunikasi dengan Encik Lee Kuan Yew kepada ketiga-tiga anak Encik Lee Kuan Yew, walaupun Encik Lee Hsien Loong bukan wasi harta pusaka itu. Yang kedua mendakwa bahawa Cik Kwa telah memberikan maklumat palsu dan mengelirukan kepada wasi dalam emelnya.

APAKAH YANG AKAN BERLAKU SETERUSNYA?

Dalam catatan Facebooknya pada Selasa (15 Okt), Encik Lee Hsien Yang mengesahkan bahawa dengan pemergian kakaknya, beliau kini menjadi "pemilik sah tunggal 38 Oxley Road".

"Lee Hsien Loong berkata di Parlimen pada 2015 bahawa apabila Wei Ling meninggal dunia, terpulang kepada 'pemerintah hari ini' untuk memutuskan sama ada ia akan membenarkan rumah itu dirobohkan," tulis Encik Lee Hsien Yang dalam catatannya.

“Sudah sembilan tahun. Hari yang dimaksudkan itu adalah hari ini.”

Menjawab pertanyaan Mediacorp, Kementerian Pembangunan Negara (MND) menyatakan ia sedia maklum mengenai hasrat Encik Lee Hsien Yang untuk memohon rumah itu dirobohkan.

“(Pemerintah) akan menimbangkan dengan teliti isu-isu berkaitan hartanah itu, dengan mengambil kira hasrat Encik Lee Kuan Yew dan kepentingan awam, termasuk menimbangkan sebarang permohonan berkaitan hartanah itu,” menurut MND dalam kenyataannya.

Permohonan Encik Lee Hsien Yang berkemungkinan "memerlukan masa" memandangkan pemerintah masih belum memutuskan masa depan 38 Oxley Road, kata pengulas politik Eugene Tan.

Beliau juga berkata perkara itu tidak mungkin menjadi isu pada pilihan raya akan datang, yang perlu diadakan menjelang November 2025.

"Walaupun mana-mana pihak cuba menjadikannya sebagai satu isu, ia tidak mungkin menjadi satu perkara yang akan dibimbangkan oleh para pengundi," tambahnya. “Ia juga bukan isu yang parti pemerintah mahu mengalih perhatian para pengundi daripada manifesto pilihan raya mereka.”

Dr Mustafa Izzuddin, penganalisis kanan hal ehwal antarabangsa di Solaris Strategies, turut menyokong pandangan itu.

"Saya rasa ada faktor lain yang lebih mendesak dan mungkin lebih menjadi penentu keputusan pilihan raya," tambahnya.

Isu itu mungkin timbul semasa tempoh berkempen, tetapi ia tidak mungkin akan mempengaruhi undi, kata Dr Mustafa.

"Tetapi jika ia menjadi lebih hangat, sengit dan terus berlarutan, maka mungkin ia akan menjadi isu," tambahnya, sambil menyatakan bahawa masih ada "masa yang agak panjang" sehingga pilihan raya seterusnya diadakan.

Walaupun laporan jawatankuasa menteri pada 2018 menyarankan tiga pilihan, Kabinet tidak terikat dengan mana-mana pilihan, kata Prof Madya Tan.

Beliau berkata terdapat baik buruknya berhubung saranan bagi 38 Oxley Road - merobohkan rumah itu mengikut hasrat Encik Lee Kuan Yew dan isterinya, manakala memelihara rumah itu mempunyai nilai warisan atau sejarah.

Ini juga tidak semestinya satu "keputusan binari" dan boleh ada penyelesaian "separuh jalan" antara kedua-duanya, supaya isu itu tidak perlu dipertikaikan di depan mata umum, kata profesor madya undang-undang di Universiti Pengurusan Singapura (SMU) itu.

Beliau mencadangkan, sebagai contoh, ruang makan bawah tanah ditempatkan di Taman Tugu Pengasas yang sedang dibina.

Mengambil kira bahawa 38 Oxley Road adalah hartanah privet yang mempunyai kepentingan awam yang besar disebabkan oleh sejarahnya, Dr Mustafa turut menggesa pemerintah untuk berunding tentang cara berurusan dengan rumah tersebut.

"Saya fikir jika pemerintah mengambil pendekatan seperti itu ia akan disambut baik oleh rakyat."

Sumber : CNA/AW/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita