Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

jelasBERITA: Fakta mengenai daging kultur

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Jawatankuasa Fatwa baru-baru ini memutuskan bahawa halal untuk makan daging kultur yang dihasilkan menggunakan sel yang diambil daripada haiwan yang halal atau dibenarkan dalam Islam.

Ini juga selagi ramuan yang digunakan dalam hidangan tidak mengandungi komponen yang tidak halal.

Dalam jelasBERITA kali ini, kami bawakan beberapa fakta mengenai daging kultur.

APAKAH DAGING KULTUR?

Daging kultur merujuk kepada daging yang dihasilkan menggunakan teknik penumbuhan sel, sama ada melalui penumbuhan tisu atau sel tunjang yang diambil daripada haiwan.

Ia merupakan sumber alternatif kepada 'daging asli' yang diperoleh secara lazimnya.

Namun ada juga alternatif daging lain seperti yang berasaskan tumbuh-tumbuhan.

Daging seperti 'Impossible Meat' tidak sama dengan daging kultur kerana ia diperbuat daripada kacang soya dan jenis protin lain.

Manakala, daging kultur dihasilkan dalam bioreaktor di makmal menggunakan teknik penumbuhan sel. Ia memiliki kandungan gizi yang sama seperti 'daging asli'.

SG NEGARA PERTAMA JUAL DAGING KULTUR

Tahukah anda, Singapura adalah negara pertama yang menjual daging kultur.

Daging ayam yang dihasilkan di makmal atau daging ayam kultur mula dijual di Singapura selepas syarikat pemula teknologi makanan Eat Just diberi kelulusan empat tahun lalu.

Ayam kultur itu dihasilkan di Pusat Inovasi dan Sumber Makanan, sebuah kemudahan kajian makanan yang dikendalikan bersama oleh Politeknik Singapura dan Enterprise Singapore.

Buat masa ini, terdapat lebih 100 syarikat pemula makanan yang menggunakan teknik penumbuhan sel di merata dunia.

Sejak penjualannya diluluskan Agensi Makanan Singapura pada 2020, Jawatankuasa Fatwa mula mengkajinya.

Ini sehinggalah mengeluarkan fatwa mengenainya.

FATWA DALAM KONTEKS SG

Mengapa langkah ini dianggap penting sedangkan banyak lagi 'daging asli' yang tersedia di pasaran?

--

Menurut Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), ianya adalah penting untuk mempunyai kedudukan agama yang jelas mengenainya lebih-lebih lagi dengan huraian makanan yang mampan kian mendapat perhatian sejagat.

Ia juga boleh membantu dalam pensijilan halal produk-produk daging kultur pada masa depan.

Untuk menghasilkan fatwa ini, pelbagai pertimbangan perlu diambil kira, bukan sahaja dari sudut agama tapi juga aspek saintifiknya.

"Kita lebih banyak berinteraksi dengan pemain industri dan juga berinteraksi dengan masyarakat untuk mendapatkan pandangan dan sebagainya. Jadi garis pandu itu lebih bersifat dapat membantu setiap pihak kepentingan untuk keluarkan produk yang terhasil daripada daging kultur ini," kongsi anggota Jawatankuasa Fatwa, Ustaz Fathurrahman Dawoed.

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan