jelasBERITA: Di mana anda boleh gunakan Baucar Iklim S$300; apakah perkakas yang boleh anda beli?
Semua isi rumah Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan menerima Baucar Iklim bernilai S$300 yang boleh digunakan untuk membeli peralatan rumah yang menjimatkan tenaga dan air.
(Gambar fail: Facebook/Courts)
Buat masa ini, hanya flat HDB satu hingga tiga bilik mendapat baucar sedemikian yang bernilai $225.
Ia akan diperluaskan kepada semua isi rumah HDB mulai 15 April, kata Menteri Negara Kanan Kemampanan dan Sekitaran Amy Khor pada Isnin (4 Mac).
APA ITU BAUCAR IKLIM?
Baucar itu adalah sebahagian daripada Program Isi Rumah Mesra Iklim yang dilancarkan pada November 2020 untuk membantu keluarga yang tinggal di flat HDB tiga bilik atau lebih kecil menjimatkan bil api air.
Buat masa ini, ia boleh digunakan untuk membeli peti sejuk cekap tenaga, lampu LED dan kelengkapan mandi yang jimat air.
Baucar itu akan diagihkan kepada semua isi rumah HDB mulai 15 April dan boleh digunakan sehingga Disember 2027. Ia juga boleh digunakan untuk membeli lebih banyak perkakas.
Baucar Iklim itu diagihkan dalam nilai -S$2, S$5, S$10 dan S$50.
BAGAIMANA UNTUK TEBUS DAN GUNAKAN BAUCAR
Prosesnya serupa dengan cara menebus baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC).
Semua isi rumah HDB boleh mendapatkan Baucar Iklim mereka dengan log masuk ke laman RedeemSG (go.gov.sg/cv-claim) dengan menggunakan akaun Singpass mereka. Hanya seorang anggota isi rumah perlu menebus baucar tersebut.
Satu kiriman SMS akan dihantar oleh gov.sg yang mengandungi pautan kepada nombor telefon Singpass milik individu yang menebus baucar tersebut.
Mereka yang perlukan bantuan boleh menghubungi talian hotline Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), kata Dr Khor pada Isnin (4 Mac).
Untuk menggunakan baucar tersebut, pelanggan harus menunjukkan bukti alamat di cawangan runcit yang mengambil bahagian.
Mereka kemudian boleh pilih nilai baucar yang digunakan dan menekan 'tunjuk baucar', di mana sebuah kod QR akan dipaparkan.
Selepas mengimbas kod QR tersebut, nilai baucar itu akan dipotong daripada jumlah bil keseluruhan.
APAKAH PERKAKAS YANG BOLEH DIBELI?
Mulai 15 April, baucar tersebut boleh digunakan untuk membeli 10 jenis perkakas jimat tenaga dan air:
1. Peti sejuk - tiga tanda dan ke atas
2. Alat penghawa dingin - lima tanda
3. Mesin basuh pakaian - empat tanda
4. Kelengkapan bilik mandi - tiga tanda
5. Lampu LED - dua tanda dan ke atas
6. Mangkuk Tandas - tiga tanda
7. Kepala paip air sinki - tiga tanda
8. Sinki - tiga tanda
9. Alat pemanas air mandi - tiga tanda
10. Kipas
Kipas DC lazimnya menggunakan sehingga 70 peratus kurang tenaga berbanding dengan kipas AC.
Baucar-baucar itu boleh digunakan di 14 peruncit: Audio House, Bathroom Warehouse, Best Denki, Cold Storage, Courts, FairPrice, Gain City, Giant, Harvey Norman, Mega Discount Store, Sheng Siong, TS Yong Trading, Chuan Heng Hardware Trading dan Woodlands Domestic Electrical.
MENGAPA ANDA HARUS PEDULI TENTANG TANDA JIMAT TENAGA/AIR?
Pada September 2014, NEA memperkenalkan sistem rating tenaga wajib bagi sesetengah jenis perkakas rumah.
Jumlah tanda yang ada pada label tenaga itu menunjukkan penjimatan tenaga bagi perkakas itu, di mana lebih banyak tanda bermakna ia lebih cekap tenaga.
Semua perkakas o diberi satu hingga lima tanda -dengan peti sejuk hanya mempunyai satu hingga empat tanda.
Label itu juga mengandungi kos tenaga tahunan dan penggunaan tenaga serta jenama, model dan jenis produk.
Dr Khor berkata 10 peralatan di bawah program yang diperluaskan itu menyumbang kepada sekitar 60 peratus daripada purata penggunaan elektrik isi rumah, dan sekitar 90 peratus penggunaan air.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.