Skip to main content

Singapura

jelasBERITA: Dengan tarif elektrik cecah paras rekod, haruskah pelanggan timbang pelan elektrik alternatif?

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Dengan tarif elektrik cecah paras rekod, haruskah pelanggan timbang pelan elektrik alternatif?

Gambar fail flat HDB pada waktu malam di Singapura. (Gambar: CNA/Ili Mansor)

Diterbitkan : 04 Jul 2026 10:42AM
SINGAPURA: Tarif elektrik di Singapura mencecah paras rekod dalam sejarah apabila kenaikan harga gas asli, didorong perang di Timur Tengah, meningkatkan kos penjanaan elektrik.

Bagi tempoh Julai hingga September, tarif elektrik isi rumah akan meningkat sebanyak 17 peratus, atau 4.64 sen bagi setiap kilowatt-jam (kWh) sebelum Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). Kenaikan itu dijangka menambah kira-kira S$17 kepada bil elektrik bulanan purata bagi sebuah flat HDB empat bilik.

<<BACA: Perang Amerika, Israel dan Iran: Tarif elektrik naik 17% dari Jul-Sep, cerminkan kos lebih tinggi akibat perang Timur Tengah>>

Awal tahun ini, Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga, Tan See Leng, memberi amaran bahawa tarif bagi tempoh Julai hingga September akan mencatat "kenaikan yang jauh lebih ketara" berikutan kaedah pengiraan tarif terkawal Singapura. Beliau turut berkata isi rumah yang mahu melindungi diri daripada kenaikan harga boleh beralih kepada kontrak harga tetap.

Bagaimanapun, Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) menyatakan pada Selasa (30 Jun) bahawa sekiranya keadaan di Timur Tengah bertambah baik, penurunan harga bahan api boleh membawa kepada tarif elektrik yang lebih rendah pada suku keempat tahun ini.

Keadaan itu menyebabkan isi rumah yang masih belum memilih pelan harga tetap berdepan dilema sama ada perlu mendaftar sekarang atau menunggu kemungkinan tarif elektrik menurun pada hujung tahun ini.

ADAKAH TARIF ELEKTRIK AKAN TURUN?

Mungkin, tetapi bukan dalam masa terdekat.

Kira-kira 95 peratus bekalan elektrik Singapura dijana menggunakan gas asli yang diimport, menyebabkan harga elektrik tempatan sangat terdedah kepada gangguan bekalan dalam pasaran bahan api global.

Pengendali grid, SP Group, menyemak tarif elektrik terkawal setiap suku tahun berdasarkan harga gas dalam tempoh dua setengah bulan pertama suku sebelumnya, menurut EMA.

Sebagai contoh, harga gas antara April hingga pertengahan Jun 2026, ketika harga bahan api global berada pada paras tinggi, digunakan untuk menetapkan tarif bagi tempoh Julai hingga September 2026.

Ini bermakna sebarang perubahan harga bahan api pada suku ketiga hanya akan mempengaruhi tarif elektrik pada suku keempat.

"Tarif elektrik yang mencatat paras rekod kini berada pada detik genting dan banyak bergantung kepada perkembangan keadaan minyak dan gas di Timur Tengah, kata pengarah Pusat Tadbir Urus dan Kemampanan di Sekolah Perniagaan Universiti Nasional Singapura (NUS), Profesor Lawrence Loh.

"Walaupun gencatan senjata mungkin dicapai buat sementara waktu, keadaan masih tidak menentu.

"Harga bahan api dan elektrik berkemungkinan kekal tinggi, malah mungkin meningkat lagi sebelum mula menurun sekiranya keadaan bertambah baik," katanya.

Zamil Penyelidik di Institut Kajian Tenaga NUS, Dr Sung Jinseok, berkata walaupun harga elektrik mungkin turun pada suku keempat jika keadaan geopolitik di Timur Tengah stabil, penurunannya dijangka kecil.

"Di banyak negara, suku ketiga merupakan musim permintaan tenaga tertinggi dan masih terdapat banyak ketidaktentuan di Timur Tengah.

"Harga sebelum perang mungkin hanya dapat dicapai semula pada 2027, dengan andaian keadaan di rantau Teluk kembali normal," katanya lagi.

APA PILIHANNYA JIKA MAHU PILIH PELAN ELEKTRIK?

Isi rumah boleh kekal menggunakan tarif terkawal SP Group atau mendaftar dengan peruncit tenaga yang menawarkan pelan harga tetap.

Sesetengah peruncit turut menawarkan pelan berdasarkan waktu penggunaan atau pelan yang memberikan diskaun daripada tarif terkawal.

Menurut EMA, sehingga 1 Jun, sebanyak 62.8 peratus isi rumah membeli elektrik daripada SP Group di bawah tarif terkawal, manakala 37.1 peratus lagi menggunakan pelan harga tetap.

"Sejak EMA mengumumkan jangkaan kenaikan tarif pada pertengahan Jun, jumlah pendaftaran harian pelanggan meningkat hampir empat kali ganda," dedah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Geneco, Lim Han Kwang.

Pengurus Besar PacificLight Energy, Geraldine Tan, berkata syarikat itu turut menyaksikan peningkatan berterusan pada pendaftaran pelanggan menyusuli kenaikan harga bahan api akibat perang di Timur Tengah.

Setakat sehingga 3 Julai, laman perbandingan harga EMA menunjukkan pelan harga tetap selama 24 bulan ditawarkan pada 27.5 sen setiap kWh termasuk GST, lebih rendah daripada tarif terkawal sebanyak 34.78 sen setiap kWh.

Isi rumah di bawah tarif terkawal membayar kadar yang disemak setiap suku tahun mengikut rangka kerja EMA dan bebas bertukar kepada peruncit elektrik pada bila-bila masa kerana tidak terikat dengan kontrak. Namun, bil mereka akan meningkat apabila harga bahan api naik.

Pelan harga tetap pula menetapkan kadar elektrik sepanjang tempoh kontrak, lazimnya antara enam hingga 24 bulan, walaupun ada syarikat menawarkan kontrak lebih panjang. Pengguna membayar kadar yang sama walaupun tarif terkawal meningkat. Namun jika tarif terkawal kemudian jatuh di bawah kadar kontrak, pelanggan tetap perlu membayar kadar yang dipersetujui sehingga kontrak tamat.

"Meskipun tiada sesiapa yang boleh meramalkan bagaimana harga elektrik akan turun naik dalam bulan-bulan mendatang, ramai pelanggan menghargai kepastian mengetahui jumlah bil bulanan mereka," kata ketua perhubungan komersial dan korporat Senoko Energy, James Chong.

"Dalam keadaan pasaran tenaga global yang terus tidak menentu, ketenangan fikiran itu mungkin sama berharga dengan penjimatan segera," katanya.

Rakan kongsi Lantau Group, Dr David Broadstock, berkata pelan harga tetap hanya sesuai jika pengguna percaya tarif elektrik tidak akan turun dengan ketara.

"Ini kelihatan agak munasabah kerana harga bahan api kekal pada paras yang agak stabil," katanya.

Pelan diskaun daripada tarif terkawal pula berubah mengikut tarif semasa tetapi menawarkan potongan tetap. Contohnya, Senoko Energy menawarkan diskaun 1.64 sen setiap kWh daripada tarif SP, manakala PacificLight Energy memperkenalkan pelan baharu dengan diskaun 18 peratus daripada tarif terkawal.

Namun, kadar elektrik di bawah pelan ini akan berubah setiap kali tarif terkawal disemak.

"Pelan diskaun lebih sesuai apabila kadar tarif berada pada tahap yang stabil. Dalam keadaan sekarang, tarif berubah-ubah dan masih berpotensi berubah lagi," kata Dr Broadstock.

Pelan berdasarkan tempoh penggunaan pula mengenakan kadar berbeza mengikut masa elektrik digunakan dan sesuai bagi isi rumah yang boleh mengalihkan penggunaan ke luar waktu sibuk, seperti menggunakan peralatan elektrik pada waktu malam.

Walau apa pun pelan yang dipilih, bekalan elektrik tetap disalurkan melalui grid yang dikendalikan SP Group.

Profesor Loh berkata faktor utama ialah tahap kesediaan pengguna menanggung risiko.

"Jika anda lebih tenang dengan perlindungan daripada risiko kenaikan harga, pilih pelan harga tetap. Jika anda lebih bimbang membayar lebih apabila harga turun, pilih pelan diskaun daripada tarif terkawal," katanya.

PERLUKAH TUNGGU TAWARAN LEBIH BAIK?

Peruncit tenaga menyatakan tarif terkawal dan pelan harga tetap ditentukan menggunakan kaedah berbeza, maka kedua-duanya tidak semestinya berubah seiring.

"Tarif terkawal dikira berdasarkan purata kos harian gas asli sepanjang dua setengah bulan pertama suku sebelumnya, manakala pelan harga tetap ditentukan berdasarkan harga kontrak hadapan tenaga yang mencerminkan jangkaan pasaran terhadap harga tenaga sepanjang tempoh kontrak," kata Encik Chong.

Menurut Encik Lim, kos bahan api merupakan komponen terbesar dalam kadar elektrik dan kadar tetap banyak bergantung kepada kos bahan api yang dilindung nilai (hedged).

Dr Broadstock berkata pelarasan harga oleh peruncit adalah munasabah memandangkan ia mengambil kira risiko geopolitik yang masih berterusan, memandangkan harga yang ditawarkan mencerminkan jangkaan kos bahan api pada bulan-bulan akan datang.

"Menetapkan harga dengan mengambil kira ketidaktentuan adalah langkah yang berhemat dari sudut komersial," katanya.

Profesor Loh pula berkata pengguna yang membayar premium untuk pelan harga tetap sebenarnya seolah-olah membeli insurans terhadap kenaikan harga.

Penganalisis turut mengingatkan isi rumah agar tidak cuba "menentukan masa pasaran" untuk mendapatkan tawaran terbaik.

"Tiada masa yang benar-benar sesuai untuk meramal pasaran, lebih-lebih lagi ketika ketidaktentuan besar seperti sekarang," kata Dr Broadstock.

Profesor Loh berkata kebanyakan isi rumah tidak mungkin mampu membuat ramalan lebih baik daripada pemain institusi.

"Daripada cuba mencari masa terbaik, lebih baik memilih harga tetap jika anda mahukan ketenangan apabila keadaan menjadi tidak menentu," katanya.

APA YANG PERLU DIBANDINGKAN SEBELUM MEMBUAT PILIHAN?

Sebelum memilih pelan, isi rumah perlu menilai corak penggunaan elektrik serta kemampuan mereka menghadapi turun naik harga.

"Keistimewaan pelan harga tetap ialah kepastian, yang sangat membantu dalam perancangan kewangan isi rumah," kata Dr Broadstock.

Profesor Loh berkata isi rumah yang menggunakan banyak elektrik berdepan risiko lebih tinggi dan lebih sesuai memilih pelan harga tetap.

"Jika bajet anda ketat dan sukar menampung turun naik harga, pilihlah kepastian melalui pelan harga tetap," katanya.

Namun, bagi isi rumah yang tidak kisah tentang perubahan tarif setiap suku tahun selagi kadarnya lebih rendah daripada tarif terkawal, pelan diskaun mungkin lebih sesuai.

"Tarif terkawal atau pelan diskaun mungkin menjadi lebih murah berbanding pelan harga tetap sepanjang tempoh kontrak," kata Dr Broadstock.

Faktor lain yang perlu dipertimbangkan termasuk bonus pendaftaran, rebat bil dan pembaharuan kontrak lebih awal.

Misalnya, Encik Chong berkata pelanggan Senoko sedia ada turut memperbaharui kontrak lebih awal memandangkan syarikat itu membenarkan pembaharuan sehingga enam bulan sebelum kontrak tamat.

Namun akhirnya, pilihan antara pelan harga tetap, pelan diskaun atau tempoh kontrak yang lebih pendek atau panjang bergantung kepada tahap toleransi risiko pengguna.

"Buat keputusan berdasarkan keadaan dan kedudukan anda sendiri," kata Profesor Loh.
 
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita