jelasBERITA: Cermin mata bijak dan undang-undang SG – bilakah tindakan merakam orang yang tidak dikenali dianggap melampaui batas?
Sebuah video yang dipercayai menunjukkan seorang lelaki memakai cermin mata bijak sambil mengekori pelajar perempuan tersebar di media sosial minggu ini, sehingga mencetuskan aduan polis dan menimbulkan persoalan undang-undang berhubung tindakan merakam orang lain di tempat awam.
Seseorang memegang sepasang cermin mata bijak yang dilengkapi dengan kamera pada bingkainya. (Gambar fail: iStock)
- Video di Singapura yang menunjukkan lelaki dipercayai memakai cermin mata bijak sambil mengekori pelajar perempuan mencetuskan aduan polis dan perbincangan tentang privasi awam.
- Peguam Joyce Khoo, Cory Wong dan Noelle Teoh menjelaskan rakaman awam tidak semestinya salah, tetapi boleh melanggar undang-undang jika melibatkan mengintai, gangguan, menghendap atau mangsa rentan.
- Jika rakaman dimuat naik, risiko undang-undang boleh timbul melalui POHA, fitnah, penyalahgunaan data, doxxing atau bahan lucah, bergantung pada niat dan kesan.
- Mangsa disaran melapor kepada pihak berkuasa, menyimpan bukti dan mengelak konfrontasi, manakala mahkamah atau Suruhanjaya Keselamatan Online boleh memberi perlindungan tertentu.
Dalam video tersebut, lelaki berkenaan memegang telefon bimbitnya dekat dengan bahagian dadanya dan pada suatu ketika, menekan bingkai cermin mata hitam yang dipakainya.
Dia dipercayai memakai cermin mata bijak, sejenis teknologi boleh pakai yang membolehkan para pengguna mengambil gambar, merakam video dan membuat panggilan, antara fungsi lain.
Adakah ia menyalahi undang-undang untuk merakam orang lain di tempat awam tanpa izin mereka?
Merakam di tempat awam tidak menyalahi undang-undang secara automatik kerana seseorang secara amnya tidak boleh menjangkakan privasi dalam keadaan sedemikian, kata peguam kanan bersekutu di Quahe Woo and Palmer, Cik Joyce Khoo.
Namun, perbuatan merakam tersebut boleh melanggar undang-undang jika ia dilakukan untuk tujuan mengintai atau menceroboh privasi seseorang.
Ia termasuk merakam bahagian peribadi seseorang, sama ada tidak berpakaian atau masih ditutupi pakaian, atau merakam mereka ketika mereka sedang melakukan kegiatan peribadi seperti mandi atau menggunakan tandas, kata beliau.
Perbuatan merakam video di tempat awam juga mungkin menyalahi undang-undang jika ia dilakukan sebagai sebahagian daripada gangguan atau perbuatan menghendap, atau disertai dengan perbuatan lain yang melanggar undang-undang, seperti memasuki tandas bagi jantina yang berbeza, tambah beliau.
Pengarah Invictus Law Cory Wong berkata niat seseorang boleh disimpulkan daripada tindakannya ketika membuat rakaman.
Jika rakaman dilakukan sebanyak dua kali atau lebih, atau dilakukan sekali sahaja tetapi berlarutan bagi tempoh yang panjang, ia boleh dianggap sebagai perbuatan menghendap di bawah Akta Perlindungan Daripada Gangguan (POHA).
"Sukar untuk berhujah bahawa perbuatan merakam secara tersembunyi, berterusan atau berpanjangan dilakukan tanpa sebarang niat buruk. Keadaan menjadi lebih serius jika mangsa yang rentan, seperti kanak-kanak bawah umur, menjadi sasaran rakaman tersebut," kata beliau.
Apa akan berlaku jika rakaman dimuat naik ke internet?
Meskipun rakaman tersebut sendiri dibuat secara sah, tindakan memuat naiknya ke internet boleh melanggar undang-undang jika ia menyebabkan gangguan, fitnah atau penyalahgunaan data peribadi, kata Cik Khoo.
Di bawah POHA, seseorang boleh dikenakan tindakan jika mereka memuat naik rakaman yang membolehkan individu lain dikenal pasti sehingga menyebabkan "gangguan, kebimbangan atau tekanan", kata beliau.
Di bawah Akta Filem, seseorang juga boleh dikenakan tindakan kerana mengedarkan bahan lucah.
Peguam bersekutu di Gloria James-Civetta and Co, Noelle Teoh, berkata tiada peraturan umum yang mewajibkan wajah seseorang dikaburkan hanya kerana individu tersebut tidak memberikan izin untuk dirakam di tempat awam.
Namun, jika identiti seseorang tidak perlu didedahkan, terutama dalam keadaan sensitif atau apabila terdapat kanak-kanak yang terlibat, mengaburkan wajah boleh menjadi "langkah berjaga-jaga yang wajar".
Menerbitkan rakaman yang mengenal pasti atau membolehkan orang lain mengenal pasti individu berkenaan boleh dianggap sebagai perbuatan doxxing dalam keadaan tertentu, termasuk jika ia dilakukan dengan niat untuk menyebabkan gangguan, kebimbangan, tekanan atau penghinaan, kata beliau.
Namun, bukan semua catatan yang mengandungi butiran pengenalan diri dianggap sebagai doxxing.
Sebagai contoh, seseorang yang merakam video sebuah kereta yang dipandu secara berbahaya dan memuat naik rakaman yang menunjukkan kenderaan serta nombor pendaftarannya tidak semestinya dianggap melakukan perbuatan doxxing terhadap pemandu tersebut, terutamanya jika identiti pemandu itu tidak didedahkan, kata beliau.
"Keadaannya mungkin berbeza jika maklumat tambahan diterbitkan sehingga membolehkan pemandu dikenal pasti dan keadaan menunjukkan terdapat niat untuk menyebabkan individu itu diganggu atau dimalukan," kata beliau.
Bagaimana cermin mata bijak menimbulkan isu undang-undang dan privasi?
Para peguam menyatakan penggunaan cermin mata bijak yang semakin meluas menjadikan tindakan merakam secara tersembunyi lebih sukar dikesan, sekali gus membolehkan seseorang merakam untuk tempoh lebih lama tanpa disedari.
Undang-undang jenayah sedia ada di Singapura cukup luas untuk merangkumi penggunaan cermin mata bijak dan kamera boleh pakai lain secara tidak sah, kata Encik Wong.
Namun, beliau menambah bahawa penggunaan teknologi sedemikian untuk mengelak daripada dikesan atau menyembunyikan sesuatu kesalahan sudah lama dianggap sebagai faktor yang memberatkan kesalahan dan boleh menyebabkan sesuatu kesalahan dianggap lebih serius.
Cik Teoh bersetuju bahawa teknologi tersebut sendiri tidak menyalahi undang-undang.
"Undang-undang sedia ada berhubung perkara-perkara seperti perbuatan mengintai, gangguan dan perlindungan data boleh diguna pakai tanpa mengira peranti yang digunakan," kata beliau.
Cik Teoh menambah, sedang teknologi rakaman boleh pakai menjadi semakin canggih dan sukar dikesan, masih belum dapat dipastikan sama ada undang-undang, peraturan atau amalan industri akan turut berkembang bagi menangani kebimbangan privasi yang timbul.
Beliau menyebut Jepun sebagai contoh, di mana banyak telefon bimbit direka dengan bunyi pengatup (shutter) kamera yang tidak boleh dimatikan bagi menghalang pengambilan gambar secara tersembunyi.
Begitu juga, pengeluar cermin mata bijak sudah memasukkan penunjuk rakaman yang boleh dilihat. Sebagai contoh, cermin mata Ray-Ban Meta mempunyai lampu penunjuk yang menghadap ke luar dan menyala apabila gambar atau video sedang dirakam.
"Contoh-contoh ini menunjukkan bahawa tindak balas terhadap teknologi rakaman baharu tidak semestinya diambil hanya menerusi perundangan, tetapi juga boleh dilakukan melalui reka bentuk produk, piawai industri dan langkah perlindungan lain yang bertujuan untuk menjadikan kegiatan merakam lebih mudah disedari oleh mereka yang berada di sekeliling pengguna," kata beliau.
Apa yang boleh saya lakukan jika seseorang merakam saya di tempat awam tanpa izin?
Encik Wong berkata langkah pertama adalah dengan melaporkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa atau pegawai keselamatan di lokasi.
Individu yang dirakam tidak mempunyai hak untuk "memeriksa kandungan" peranti rakaman suspek secara automatik, kata beliau, sambil menambah bahawa suspek boleh menolak permintaan tersebut.
"Namun, apabila pihak berkuasa campur tangan, mereka mempunyai bidang kuasa untuk menjalankan siasatan dan merampas telefon bimbit suspek bagi menjalankan pemeriksaan forensik digital. Pada ketika itu, keengganan suspek untuk bekerjasama atau mematuhi arahan boleh digunakan terhadapnya di mahkamah pada kemudian hari," kata beliau.
Cik Teoh berkata ia adalah wajar untuk mengutamakan keselamatan diri dan mengelakkan daripada berdepan secara fizikal dengan individu tersebut atau cuba merampas perantinya.
Jika boleh, individu yang dirakam harus menyimpan bukti berhubung kejadian tersebut, seperti masa dan lokasi, gambaran tentang suspek serta petikan skrin atau pautan kepada sebarang kandungan yang kemudiannya diterbitkan di internet.
Bahan sedemikian mungkin menjadi relevan jika mereka membuat aduan polis atau mengambil tindakan undang-undang, kata beliau.
Bolehkah saya mendapatkan perlindungan di bawah POHA?
Untuk mendapatkan perintah perlindungan di bawah POHA, seseorang perlu menunjukkan bahawa gangguan sudah berlaku dan berkemungkinan berterusan atau berulang. Mahkamah juga perlu berpendapat bahawa perintah tersebut adalah adil dan wajar, kata Encik Wong.
Mengenai sama ada perbuatan merakam seseorang boleh dianggap sebagai gangguan di bawah POHA, Cik Teoh berkata mahkamah mungkin mempertimbangkan beberapa faktor, termasuk kekerapan dan tempoh perbuatan tersebut berlaku, cara ia dilakukan, keadaan sekeliling serta kesan yang mungkin dialami mangsa.
"Justeru, penilaian dari segi undang-undang mungkin sangat berbeza antara seorang pelancong yang secara tidak sengaja merakam orang lain di dalam latar belakang gambar yang diambil dengan seseorang yang sengaja dan berulang kali mengekori individu tertentu sambil merakamnya."
Dalam kes di mana rakaman yang memudaratkan dimuat naik ke internet, mangsa bagi jenis bahaya online tertentu juga boleh mendapatkan bantuan menerusi Suruhanjaya Keselamatan Online di bawah Akta Keselamatan Online (Bantuan dan Akauntabiliti).
Di bawah Akta tersebut, pesuruhjaya boleh mengarahkan agar kandungan berbahaya tersebut diturunkan atau akses kepada akaun yang melanggar undang-undang disekat, sekiranya syarat-syarat yang ditetapkan dipenuhi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.