Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

jelasBERITA: Cara kesan pepijat ketika melancong dan elak bawa pulang 'oleh-oleh' tidak diingini

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sudahkah anda membaca berita tentang masalah pepijat di Paris? Atau tonton video yang tular di TikTok menunjukkan serangga pemusnah itu lari dari bawah kerusi kereta api di bandar tersebut?

Dengan ibu kota Perancis itu baru-baru ini menjadi tuan rumah kepada Minggu Fesyen dan Piala Dunia Ragbi, terdapat kebimbangan yang meningkat terhadap kemungkinan masalah pepijat merebak ke merata dunia sedang pelancong pulang ke negara masing-masing, bersama serangga itu yang melekat pada baju dan beg mereka.

Pihak berkuasa Perancis menegaskan bahawa tiada satu pun pepijat ditemui anjing penghidu yang dikerahkan di stesen kereta api awam.
Bagi mereka yang bakal melawat daerah yang terjejas, berikuat adalah beberapa perkara anda boleh lakukan untuk melindungi diri daripada serangga pemusnah itu.

APAKAH KEROSAKAN YANG DILAKUKAN PEPIJAT

Pepijat secara umumnya menghisap darah manusia. Namun ia tidak diketahui sebagai boleh menyebar penyakit.

Doktor keluarga Lye Tong Fong berkata gigitan pepijat mungkin menyebabkan kesan gigitan yang gatal dan berwarna merah, seperti gigitan serangga biasa. Bagi kebanyakan orang, ia tidak menyebabkan komplikasi serius.

Mereka yang menggaru gigitan tersebut dengan kuat mungkin mengalami jangkitan kulit atau limfangitis, iaitu jangkitan yang merebak pada sistem pembuluh limfa, kata Dr Lye.

Namun, ia boleh berlaku kepada sesiapa yang menghidap penyakit yang menyebabkan kulit gatal, termasuk gigitan serangga lain serta ekzema.

BAGAIMANA UNTUK KESAN PEPIJAT

Seranga kecil itu biasanya berwarna hitam, coklat gelap atau merah manggis.

Pepijat yang menghisap darah akan kelihatan bulat, manakala pepijat yang belum menghisap darah buat seketika kelihatan leper.

Telurnya berwarna lut sinar, kekuningan dan bersaiz 1 milimeter lebar, yang membuatnya sukar untuk dikesan.

Di Paris, pepijat dilaporkan dilihat di pengangkutan awam dan pawagam. Apakah sumber utamanya?

Bilik hotel, kata pengurus syarikat Pestbusters, Angela Toh.

Oleh itu, sebelum menempah bilik hotel, pelancong dinasihatkan agar meninjau dan membaca pengalaman orang lain yang dikongsi online mengenai kes-kes pepijat sebelum itu, kata CEO Star Bugs, Andy Ma.

Selepas memasuki bilik, mereka terlebih dahulu harus memeriksa katil dengan membuka cadar katil dan melihat jahitan tilam dengan teliti.

Antara tanda-tanda adanya pepijat termasuk bekas darah dan rangka luar serangga, yang kelihatan seperti tatal kayu atau 'wood shavings'. Tompok-tompok najis atau tompok berwarna coklat juga mungkin dilihat.

Selain katil, tempat yang patut diperiksa dengan lampu suluh termasuk rangka katil, perabot, soket elektrik, di belakang lukisan, dalam almari dan sudut serta celah lain dalam bilik.

Pelancong boleh memilih untuk meninggalkan beg dan baju bersih mereka di dalam tab mandi, jika ia disediakan. Permukaan tab mandi yang licin menyukarkan pepijat untuk memasukinya, kata Darian Ee, pengarah syarikat penghapus pepijat Ikari Services dan jurucakap Persatuan Pengurusan Haiwan Pemusnah Singapura.

Encik Ee berkata sarung kalis pepijat untuk beg juga dijual online.

Jika diserang pepijat, mangsa akan melihat beberapa bekas gigitan dalam garisan zig-zag atau lurus.

Sekiranya pelancong ingin menukar bilik hotel, pakar berkata ia lebih baik untuk meminta bilik jauh dari bilik yang mempunyai pepijat, atau bilik pada aras berbeza. Ini kerana pepijat mudah merebak melalui dinding.

Pilihan terbaik adalah untuk menukar hotel.

Pakar mempunyai pendapat yang berbeza tentang sama ada penghalau serangga berkesan terhadap pepijat.

Cik Toh dari Pestbuster berkata produk rumah seperti minyak pati mungkin dapat membantu menghalang pepijat daripada menghidu bau manusia di dalam bilik. Namun, ia tidak dapat menghalang pepijat daripada mencari mangsa sepenuhnya.

Tanah diatom, iaitu sejenis serbuk putih, akan mengeringkan pepijat sekiranya ia menyentuh serbuk itu, kata Encik Ee.

Serbuk tersebut boleh ditabur di sudut yang gelap, namun ia harus diperoleh dari sumber yang boleh dipercayai.

APAKAH PERKARA LAIN YANG PATUT DILAKUKAN SELEPAS PULANG KE RUMAH?

Pelancong boleh mengeluarkan barang-barang mereka dari beg berdekatan dengan pintu, jauh dari bilik tidur atau sebarang permukaan yang diperbuat daripada kain, seperti sofa dan karpet.

Encik Ma dari Star Bugs menasihatkan untuk memeriksa setiap helai pakaian dan jahitan beg.

Pakaian juga boleh direndam ke dalam air panas dengan segera, lebih 60 darjah Celsius, sekurang-kurangnya selama 90 minit, kata Cik Toh.

Selepas itu, ia boleh dimasukkan ke dalam mesin basuh dan pengering, di mana haba akan membunuh baki pepijat yang hidup.

Bagi pakaian musim sejuk yang lebih tebal, ia juga boleh dihantar ke perkhidmatan cuci pakaian atau dobi.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan