Skip to main content

Singapura

jelasBERITA: Bukan itu yang saya pesan - apakah yang boleh dilakukan jika produk dibeli tidak memuaskan?

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Bukan itu yang saya pesan - apakah yang boleh dilakukan jika produk dibeli tidak memuaskan?

Gambar hiasan: pocketlight/iStock

SINGAPURA: Jenama penapis udara dan air Sterra telah memohon maaf kerana membuat dakwaan yang mengelirukan selepas sebilangan pelanggan mengalami kebocoran dan kerosakan pada produk masing-masing.

Ada yang memberitahu Mediacorp bahawa mereka tidak akan mendapatkan bayaran balik, dengan salah seorang daripada mereka menyifatkan berurusan dengan syarikat itu sebagai "mimpi ngeri yang tiada penghujungnya".''

Siapa yang boleh membantu dengan aduan pengguna di Singapura?

Ramai pernah mendengar tentang CASE atau Persatuan Pengguna Singapura, sebuah pertubuhan bukan untuk mengaut keuntungan dan bukan pemerintah.

Di bawah Akta Perlindungan Pengguna (Perniagaan Adil), CASE merupakan tempat pertama untuk pengguna tempatan yang mahu membuat aduan.

Akta tersebut mengandungi apa yang dikenali sebagai "undang-undang pengguna" Singapura, yang menyediakan huraian kepada barangan yang rosak. Ini adalah barangan yang gagal memenuhi piawai mutu dan prestasi, walaupun selepas dibaiki berulang kali.

CASE boleh membantu dengan mendapatkan ganti rugi dan, bagi sesetengah kes, pampasan.

CASE juga merupakan pertubuhan di sebalik aplikasi Price Kaki, yang membandingkan harga runcit barangan pasar raya dan memantau harga bahan api.

Tetapi dalam tengkarah Sterra, Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCCS) yang menyiasat dan memaklumkan firma itu.
CCCS ialah lembaga berkanun di bawah Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI). Ia ditubuhkan untuk mentadbir Akta Persaingan serta Akta Perlindungan Pengguna (Perniagaan Adil) yang disebut sebelum ini.

CCCS mengambil tindakan terhadap amalan-amalan perdagangan tidak adil yang berterusan oleh peruncit.

Apakah jenis amalan perdagangan tidak adil?

Dalam contoh Sterra, CCCS mendapati bahawa syarikat itu membuat dakwaan palsu dan mengelirukan tentang mutu air paip Singapura; tentang tempat di mana penapis udara dan airnya dibuat; dan mengenai harga diskaun.

Amalan perniagaan tidak adil yang diliputi di bawah Akta Perlindungan Pengguna (Perniagaan Adil) disenaraikan dalam Jadual Kedua undang-undang.

Ini bukan senarai yang lengkap, tetapi amalan ini termasuk mewakili produk untuk mempunyai tajaan, kelulusan, ciri, komponen, kualiti, kegunaan atau faedah - yang sebenarnya tidak ada pada produk tersebut.

Memberi tanggapan palsu kepada pelanggan bahawa sesuatu produk diperlukan juga merupakan amalan yang tidak adil. Begitu juga dengan menjadikannya kelihatan seperti pembaikan atau penggantian yang diperlukan atau diingini.

Apakah sebenarnya yang boleh dilakukan oleh CASE dan CCCS?

CASE boleh memberi amaran kepada peruncit yang ingkar atau menandatangani perjanjian sukarela dengan mereka, di mana peruncit bersetuju untuk menghentikan amalan tidak adil dan memberi pampasan kepada pelanggan yang terjejas.

Tetapi terdapat kekangan kerana CASE tidak boleh memaksa syarikat-syarikat perniagaan untuk mengambil bahagian, menurut seorang peguam kepada Mediacorp.

Pelanggan yang terjejas juga mesti membayar yuran keahlian dan pentadbiran untuk melibatkan CASE untuk berunding bagi pihak mereka.

Itu melainkan mereka tergolong dalam kesatuan atau pertubuhan yang sudah menjadi ahli CASE.

Sebaliknya, CCCS mengumpulkan bukti amalan perniagaan yang tidak adil, memohon perintah mahkamah untuk memaksa peruncit menghentikan amalan berkenaan dan memastikan peruncit mematuhi perintah tersebut.

Walau bagaimanapun, ia tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendenda peruncit.

Namun jika peruncit tidak mematuhi perintah mahkamah, ia boleh dikenakan tindakan kerana menghina mahkamah. Ini adalah kesalahan jenayah yang boleh dihukum dengan hukuman denda atau penjara.

Peruncit juga mungkin melakukan kesalahan jika ia enggan memberikan maklumat, memusnahkan atau memalsukan bukti, berbohong atau menghalang siasatan CCCS terhadap amalan tidak adil.

Mengapa sukar untuk mendapatkan bayaran balik?

Apabila perjanjian tidak dipatuhi, pengguna boleh bertindak melalui badan pengguna seperti CASE dan CCCS; atau membawa pertikaian itu ke mahkamah.

Tindakan mahkamah boleh melibatkan Tribunal Tuntutan Kecil Mahkamah Negara, jika jumlah yang dituntut adalah bawah S$20,000. Jika tidak, ia akan menjadi kes perbicaraan sivil.

Mahkamah boleh memutuskan hukuman yang berbeza, seperti mengarahkan bayaran pampasan atau memerintahkan peruncit untuk membaiki sebarang kelemahan pada produknya.

Tetapi proses itu boleh meletihkan dari segi kewangan dan mental. Dan ia tanpa jaminan bahawa anda akan mendapat kembali wang anda atau produk yang dijanjikan kepada anda.

Inilah yang diketahui oleh pelanggan firma reka bentuk dalaman, walaupun selepas memenangi kes untuk mendapatkan bayaran balik di Tribunal Tuntutan Kecil.

Buat masa ini, usaha untuk mengukuhkan perlindungan pengguna di Singapura nampaknya lebih di lapangan berbanding undang-undang.

Ini termasuk mendidik pengguna dan syarikat-syarikat perniagaan tentang amalan perniagaan yang adil, untuk mengelakkan pertikaian. Sebagai contoh, pada tahun 2022, CCCS menerbitkan panduan tentang amalan perniagaan adil untuk industri ubah elok.

Terdapat juga usaha untuk mengenal pasti dan menyerlahkan perniagaan yang telah dicuba dan diuji, seperti direktori kontraktor yang diluluskan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB). Terdapat juga skim pentauliahan CaseTrust CASE bagi pelbagai industri seperti e-dagang, ubah elok dan kesihatan.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita