Skip to main content

Singapura

jelasBERITA: Bolehkah pertubuhan swasta gunakan nombor NRIC bagi pengesahan?

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Bolehkah pertubuhan swasta gunakan nombor NRIC bagi pengesahan?
Seorang lelaki menyerahkan kad pengenalan untuk diimbas. (Gambar fail: CNA/Zhaki Abdullah)
Diterbitkan : 04 Feb 2026 12:05AM Dikemas Kini : 04 Feb 2026 12:06AM
Pengesahan merujuk kepada proses membuktikan bahawa seseorang itu adalah individu seperti yang didakwa, sebelum memberi mereka akses kepada perkhidmatan atau maklumat yang hanya ditujukan untuk mereka.

Pengumuman terbaharu itu dibuat sedang pihak berkuasa berusaha mengurangkan risiko akses tanpa kebenaran kepada perkhidmatan dan maklumat.

Inilah perkara yang perlu anda tahu tentang pemansuhan secara berperingkat bagi pengesahan menggunakan nombor NRIC:

Bagaimana langkah hentikan penggunaan NRIC bagi pengesahan tercetus?

Pada 2024, Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat (ACRA) melancarkan portal Bizfile yang baharu ketika itu, mencetuskan reaksi negatif orang ramai selepas nombor NRIC dan nama penuh orang ramai boleh didapati melalui portal tersebut secara percuma.

Di bawah sistem ACRA sebelum ini, pengguna boleh mencari orang yang merupakan pemegang jawatan atau pemilik perniagaan di Singapura, dengan nama mereka, serta nombor NRIC yang disembunyikan, yang muncul dalam hasil carian.

Pengguna kemudian boleh membayar untuk set maklumat lengkap tentang seseorang individu, yang akan merangkumi nombor NRIC penuhnya serta alamat.

Berikutan reaksi negatif itu, PDPC dan Agensi Keselamatan Siber (CSA) mengeluarkan makluman bersama pada 2025 kepada pertubuhan sektor swasta yang menjelaskan bahawa nombor NRIC tidak boleh disalahgunakan untuk pengesahan.

Agensi pemerintah sudah pun beralih daripada menggunakan nombor NRIC untuk pengesahan, menurut PDPC pada Isnin.

Apakah yang dianggap sebagai penggunaan nombor NRIC yang tidak wajar untuk pengesahan?

Menurut laman web PDPC, pertubuhan secara amnya tidak dibenarkan untuk mengumpul, menggunakan atau mendedahkan nombor NRIC seseorang individu, melainkan jika ia dikehendaki oleh undang-undang atau jika perlu untuk mengenal pasti pelanggan dengan ketepatan yang tinggi.

Pertubuhan juga tidak boleh menggunakan nombor NRIC, sama ada secara penuh atau sebahagiannya, sebagai sebarang faktor pengesahan.

Contoh penyalahgunaan untuk pengesahan termasuk menggunakan nombor NRIC - sepenuhnya atau sebahagian - sebagai kata laluan.

Ini termasuk kes di mana kata laluan tersebut adalah nombor NRIC sendiri atau bersama-sama dengan data peribadi lain yang mudah diperoleh, seperti nama dan tarikh lahir.

Ini kerana nombor NRIC "dikeluarkan untuk mengenal pasti seseorang secara unik dan mesti dianggap didedahkan kepada sekurang-kurangnya beberapa orang lain, yang mengurangkan keberkesanannya sebagai faktor pengesahan", kata PDPC di laman webnya.

"Apabila kata laluan digunakan untuk mengesahkan seseorang, kata laluan yang kukuh dan tidak mudah diteka harus digunakan.

"Kata laluan yang mengandungi maklumat yang boleh diperoleh dengan mudah, termasuk data peribadi seperti nama, nombor NRIC atau tarikh lahir, bukanlah kata laluan yang kukuh."

Pertubuhan mana yang terjejas oleh langkah ini?

Pertubuhan yang terjejas adalah yang mengendalikan urus niaga yang biasanya berkaitan dengan penjagaan kesihatan, kewangan atau hartanah, seperti pemeriksaan dan laporan perubatan, pemeriksaan latar belakang kredit dengan biro kredit, dan transaksi hartanah.

Pertubuhan lain termasuk syarikat insurans, syarikat sewa kenderaan, penyedia perkhidmatan utiliti dan peruncit, penyedia telekomunikasi dan klinik veterinar.

Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) menyatakan pada Selasa bahawa Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Kementerian Kesihatan (MOE) mengeluarkan panduan kepada sektor telekomunikasi, kewangan dan insurans, dan penjagaan kesihatan supaya hentikan penggunaan NRIC untuk pengesahan dalam sektor mereka.

Bagaimana nombor NRIC boleh digunakan pada masa hadapan?

Pertubuhan swasta mempunyai masa sehingga 31 Disember 2026, untuk menghentikan penggunaan nombor NRIC untuk pengesahan secara berperingkat.

Dalam sektor awam, pemerintah sedang beralih daripada menggunakan nombor NRIC separa secara progresif, kerana ia tidak boleh diyakini untuk mengenal pasti individu dengan tepat, menurut MDDI.

Ini kerana sesetengah individu mungkin berkongsi nombor NRIC separa yang sama. Ada contoh di mana dua individu berkongsi nama dan nombor NRIC separa yang sama.

"Peralihan daripada menggunakan nombor NRIC separa tidak bermakna nombor NRIC penuh akan digunakan secara automatik dalam semua kes," kata MDDI.

"Jika tidak perlu mengenal pasti seseorang dengan tepat, nombor NRIC tidak akan digunakan sama sekali.

"Apabila terdapat keperluan untuk mengenal pasti individu dengan tepat, seperti dalam lesen dan surat pekerjaan, agensi awam akan beralih secara progresif kepada penggunaan nombor NRIC penuh."

Kementerian itu menyatakan ia akan terus mengadakan rundingan dan menyemak maklum balas awam sebelum melaraskan garis panduan mengenai penggunaan nombor NRIC separa dalam sektor swasta.

Apa jenis tindakan yang akan diambil terhadap pihaksalah guna nombor NRIC?

Pertubuhan yang menyalahgunakan nombor NRIC boleh dihukum di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) kerana gagal membuat aturan keselamatan yang munasabah untuk melindungi data peribadi.

PDPC memberi amaran bahawa ia akan mengetatkan tindakan penguatkuasaan terhadap penyalahgunaan sedemikian mulai 1 Januari 2027, termasuk mengenakan arahan atau denda untuk pelanggaran sedemikian jika wajar.

Apa yang boleh anda lakukan jika sesebuah pertubuhan guna nombor NRIC anda secara tidak wajar?

Tanggungjawab secara amnya terletak pada pertubuhan untuk menilai sama ada ia dikehendaki untuk mengumpul nombor NRIC anda.

Jika anda mengesyaki sesebuah pertubuhan menggunakan nombor NRIC anda secara tidak wajar, PDPC menasihatkan anda supaya mendapatkan penjelasan mengenai penggunaannya dengan pegawai perlindungan data (DPO) pertubuhan. Maklumat bagi menghubungi DPO boleh didapati dalam polisi privasi pertubuhan atau melalui borang pertanyaan DPO PDPC.

Jika DPO tidak memberi maklum balas dalam tempoh 10 hari bekerja, anda boleh melaporkan perkara tersebut kepada PDPC online.

Patutkah nombor pengenalan lain dianggap sama seperti nombor NRIC?

Nombor NRIC juga digunakan seiring dengan nombor pengenalan lain seperti nombor sijil kelahiran, nombor pengenalan asing dan nombor permit kerja yang dikeluarkan oleh pemerintah Singapura kerana nombor tersebut juga merupakan pengecam kekal dan tidak boleh digantikan, kata PDP.

Nombor pasport, walaupun digantikan secara berkala, juga dianggap sebagai nombor pengenalan penting yang boleh memenuhi tujuan yang sama seperti nombor NRIC, pengenalan asing, permit kerja dan sijil kelahiran, dan oleh itu, harus dianggap serupa dengan nombor sedemikian.
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita