jelasBERITA: Bimbang diberhentikan kerja? Berikut ini apa yang perlu anda tahu tentang Skim Bantuan Pencari Kerja SkillsFuture
Skim itu, yang menandakan "anjakan paradigma" untuk pemerintah, akan mempunyai pembayaran berperingkat dan terbuka kepada mereka yang membawa pulang gaji sehingga S$5,000 sebulan.
Bagaimana skim ini akan dilaksanakan, dan apakah kriteria kelayakan? Kami rumuskan dalam laporan berikut.
SKIM BAHARU BANTU PEKERJA HILANG KERJA
Skim Bantuan Pencari Kerja SkillsFuture pertama kali diumumkan oleh Perdana Menteri Lawrence Wong dalam Rapat Umum Hari Kebangsaan pada 18 Ogos.
Beliau berkata ia akan memberi tumpuan kepada membantu pekerja berpendapatan rendah dan pertengahan yang telah kehilangan pekerjaan untuk "mengharungi cabaran kewangan dan bangkit semula dengan lebih kuat".
Langkah itu penting kerana ia adalah kali pertama Singapura memulakan skim yang menawarkan faedah pengangguran.
KRITERIA KELAYAKAN
Skim ini bermula pada April 2025 bagi warga Singapura yang layak, dan pada suku pertama 2026 untuk penduduk tetap yang layak.
- Warga Singapura dan penduduk tetap berumur 21 tahun ke atas
- Bawa pulang gaji purata S$5,000 atau kurang sebulan dalam tempoh 12 bulan terakhir, tidak termasuk caruman CPF oleh majikan
- Tinggal di hartanah dengan nilai tahunan S$25,000 atau kurang
- Menganggur tanpa pilihan seperti diberhentikan, hilang pekerjaan kerana syarikat gulung tikar, dipecat atau kerja ditamatkan kerana sakit, cedera atau kemalangan
- Sebelum ini bekerja sekurang-kurangnya enam bulan dalam tempoh 12 bulan sebelum dapat memohon bagi skim tersebut
- Menganggur sekurang-kurangnya sebulan sebelum menerima bayaran
- Tidak menerima bayaran di bawah skim ini dalam tempoh tiga tahun daripada pembayaran yang terakhir
APA YANG PERLU ANDA BUAT UNTUK TERIMA BAYARAN
Untuk layak menerima bantuan di bawah skim ini, individu perlu mencari pekerjaan baharu secara aktif.
Ia termasuk aktiviti seperti menghantar permohonan pekerjaan, menghadiri sesi bimbingan kerjaya dan bengkel kerjaya, atau menyertai kursus latihan yang layak.
Butiran lanjut mengenai syarat pencarian kerja itu akan dikongsi menjelang April 2025, apabila skim itu bermula.
BUTIRAN PEMBAYARAN
Sehingga S$6,000 secara keseluruhan diberikan dalam tempoh enam bulan di bawah sistem pembayaran secara berperingkat.
Mereka yang layak akan menerima sehingga S$1,500 pada bulan pertama sokongan.
Ia kemudian berkurangan kepada S$1,250 pada bulan kedua, S$1,000 pada bulan ketiga dan S$750 setiap bulan dari bulan keempat hingga keenam.
Namun, tidak semua yang layak akan menerima sejumlah S$6,000 dalam tempoh enam bulan – bayaran bulanan dihadkan pada gaji bulanan purata pencari kerja sebelum mereka hilang pekerjaan.
Sebagai contoh, jika sebelum ini mereka membawa pulang S$1,200 sebulan, mereka akan menerima S$1,200 pada bulan pertama dan jumlah yang sama pada bulan kedua, sebelum menerima S$1,000 pada bulan ketiga, dan S$750 bagi baki tiga bulan selepas itu.
Pembayaran juga dihentikan apabila mereka berjaya mendapat pekerjaan baharu. Sebagai contoh, jika mereka mendapat kerja pada bulan ketiga, mereka tidak lagi layak menerima bayaran pada bulan keempat, kelima dan keenam.
Kuantum pembayaran bulanan adalah lebih tinggi pada peringkat permulaan untuk mengurangkan tekanan selepas menganggur, kata Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng.
Ia dikurangkan secara beransur-ansur dari bulan kedua dan seterusnya supaya pencari kerja mempunyai insentif untuk memulakan kerja lebih awal jika mereka dapat mencari pekerjaan yang sesuai.
BAGAIMANA JIKA SAYA HILANG KERJA BARU-BARU INI?
"Konsesi sekali sahaja" akan diberikan kepada mereka yang kehilangan pekerjaan baru-baru ini dan tidak dapat memenuhi kriteria mempunyai pekerjaan sekurang-kurangnya enam bulan dalam tempoh 12 bulan yang lalu.
Apabila skim itu bermula pada April tahun depan, warga Singapura yang menganggur atas sebab bukan pilihan pada atau selepas 1 Apr 2024, dan kekal menganggur, akan layak.
Dianggarkan 2,000 orang dijangka mendapat manfaat daripada konsesi sekali sahaja ini.
BOLEHKAN PEMBAYARAN DITERIMA BERSAMA SKIM BANTUAN KEWANGAN YANG LAIN?
Ya, skim Bantuan Pencari Kerja boleh diterima dengan program bantuan lain.
Ini bermakna isi rumah yang menghadapi masalah kewangan boleh mendapatkan sokongan dengan cara lain, seperti program Bantuan Jangka Pendek hingga Sederhana ComCare dan skim Baucar Cukai Barangan dan Perkhidmatan.
Mereka yang mendaftar dalam program latihan jangka panjang sepenuh masa yang layak di bawah Program Peningkatan SkillsFuture, atau di bawah Program Laluan Pertengahan Kerjaya WSG, boleh menerima elaun latihan di samping pembayaran bantuan pencari kerja.
Sebagai contoh, di bawah Program Peningkatan SkillsFuture, warga Singapura berumur 40 tahun ke atas boleh mendapat elaun latihan bulanan sehingga S$3,000 bagi tempoh 24 bulan dalam kursus tertentu.
Elaun itu berdasarkan 50 peratus daripada purata pendapatan seseorang sepanjang tempoh 12 bulan.
Sebagai contoh, seorang pekerja berusia 40 tahun yang diberhentikan dan membawa pulang gaji sehingga S$5,000 sebulan boleh layak menerima pembayaran di bawah skim Bantuan Pencari Kerja SkillsFuture dan elaun di bawah Program Peningkatan SkillsFuture.
Dalam tempoh enam bulan, dia akan menerima sehingga S$21,000, yang terdiri daripada kira-kira S$15,000 elaun latihan dan S$6,000 bayaran di bawah skim bantuan pencari kerja.
Pemerintah memperuntukkan lebih S$200 juta setahun bagi satu skim sokongan baharu itu.
Sekitar 60,000 penduduk Singapura dianggarkan layak bagi skim itu setiap tahun, yang akan membentuk lebih 60 peratus daripada individu yang menganggur tanpa pilihan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.