Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

jelasBERITA: Berakhirnya era beca di SG

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Berakhirnya era beca di SG

Gambar: Koleksi Liesel Strauss collection, Perpustakaan Negara, Singapura)

Diterbitkan : 13 Apr 2024 07:09PM Dikemas Kini : 13 Apr 2024 07:20PM
SINGAPURA: Beca pernah menjadi salah satu pilihan pengangkutan awam paling popular di Singapura, beberapa dekad lalu. Tetapi hari ini, ia tidak lagi digunakan di jalan-jalan raya Singapura.

Pada Selasa (9 Apr), Lembaga Pelancongan Singapura (STB) mengesahkan kepada Mediacorp bahawa tiada lagi perkhidmatan beca beroperasi di negara ini selepas kontrak pengendali terakhir kenderaan tiga roda itu tamat dan tidak diperbaharui.

Digunakan untuk membawa orang ramai melalui jalan-jalan raya dalam bandar yang sesak pada tahun 1940-an hingga menjadi daya tarikan pelancong dan akhirnya 'terkubur', Mediacorp menyusuri sejarah beca di Singapura.

1914 – 1943: DARI LANCA KE BECA

Beca menggantikan lanca (rickshaw) - beca beroda dua yang ditarik orang.

Berasal dari Jepun, lanca mula dilihat di jalan-jalan raya Singapura pada tahun 1880-an. Ia adalah salah satu pilihan pengangkutan terawal di Singapura, di samping trem menggunakan wap dan kereta lembu.

Menggunakan khidmat lanca adalah murah dan sesuai untuk perjalanan singkat melalui jalan-jalan raya dalam bandar yang sesak.

Beca pertama secara rasmi didaftarkan di Singapura pada 1914, menurut Roots, sebuah laman web oleh Lembaga Warisan Negara (NHB). Dikenali sebagai "lanca kayuh", beca awal ini pada asasnya ialah lanca yang diubah suai dengan dipasang pada basikal.

Kumpulan awal 15 beca dikatakan "dibina secara kasar" dan tidak bertahan lama di jalan raya Singapura, menurut laman web Infopedia Lembaga Perpustakaan Negara (NLB).

Permintaan oleh sebuah syarikat Amerika untuk mengimport 500 beca pada tahun 1914 ditolak oleh pihak berkuasa penjajah British kerana kebimbangan tentang keselamatan di jalan raya.
Gambar: Koleksi Liesel Strauss, Perpustakaan Negara, Singapura
Semasa tempoh Pendudukan Jepun di Singapura dari 1942 hingga 1945, beca telah diperkenalkan semula. Kumpulan pertama 10 beca mewarnai jalan-jalan Singapura pada 7 Ogos 1943, dengan kadar tambang rasmi 15 sen setiap batu.

Pengendali itu menyewakan setiap beca pada kadar 80 sen sehari, menurut artikel dalam Syonan Times - sebuah akhbar propaganda yang dikendalikan oleh tentera Jepun semasa Pendudukan.

Kebanyakan pengayuh beca awal ini adalah pendatang dari China terdiri daripada kumpulan dialek Henghua, Hokchia dan Hokkien dari wilayah Fujian.

Mereka tiba di Singapura pada akhir abad ke-19 dan "pendatang yang agak lewat", kata Infopedia NLB.
1940-AN: ERA LEPAS PERANG

Jumlah beca melonjak pada tahun-tahun 1940-an, terutamanya selepas Pendudukan Jepun apabila bekalan petrol untuk kenderaan bermotor adalah terhad.

Pihak berkuasa penjajah memansuhkan lanca pada tahun 1947, menyebabkan ramai penarik lanca beralih menjadi pengayuh beca.

Beca yang dibina semasa era pasca perang dibuat daripada bahan dan bahagian tempatan. Pada mulanya dibina dalam pelbagai bentuk dan saiz, tetapi dimensinya kemudian diseragamkan oleh Suruhanjaya Perbandaran pada tahun 1946 dan sekali lagi pada tahun 1948.

Jumlahnya terus bertambah apabila ia memainkan peranan penting dalam menyokong “perniagaan sektor tidak formal”, seperti penjaja, penjaja jalanan dan peniaga kecil dengan mengangkut barangan untuk mereka, kata laman web Infopedia NLB.

Tetapi pengangkutan itu juga memudahkan aktiviti haram, seperti perjudian dan pelacuran, dengan membawa orang ramai ke lorong belakang rumah kedai di mana aktiviti sedemikian berlaku.

Pada tahun 1948, kadar tambang untuk beca ditetapkan pada 20 sen bagi setiap setengah batu atau sebahagian daripadanya. Pengayuh beca juga boleh mengenakan bayaran S$1.50 bagi setiap jam, atau 40 sen untuk setiap 15 minit tambahan.

Ada dua syif - yang pertama dari 5.00 pagi hingga dua petang dan syif kedua selepas itu.
Beca di pasar Geylang Serai pada tahun 1992. (Gambar: Koleksi Liesel Strauss, Perpustakaan Negara, Singapura)
1950-an – 1970-an: KURANG PERMINTAAN

Industri beca menyaksikan kemerosotan dari pertengahan 1950-an disebabkan oleh peraturan lebih ketat pemerintah dan bertambahnya kenderaan bermotor, serta pembandaran.

Pada Disember 1946, pengayuh beca diwajibkan membuat pendaftaran dan mendapatkan lesen. Selain itu mereka perlu menduduki ujian pelesenan dan memakai lencana di lengan.

Kesatuan Pekerja Beca Singapura menentang langkah-langkah itu, merujuk kepada yuran pelesenan yang tinggi sebanyak S$5 dan pandangan rendah terhadap anggotanya kerana pelu memakai lencana lengan. Ramai pengayuh beca enggan mendaftarkan diri.

Satu tolak ansur akhirnya dicapai - lencana lengan digantikan dengan lencana dan kesatuan akan menjalankan ujian pelesenan.

Pada Jun 1948, undang-undang diperkenalkan untuk tidak membenarkan pendaftaran beca baru.

Kuota selanjutnya diumumkan pada 1950 – pihak berkuasa menetapkan bilangan maksimum pengayuh beca pada 9,000 orang dan menghadkan jumlah beca kepada 7,900. Kuota itu telah dikurangkan pada 1954 kepada 5,175 penunggang dan 4,820 beca.

Teksi merupakan pesaing utama kepada industri beca – dan bukan sahaja yang sah tetapi juga teksi haram atau 'pak-wancah' pada tahun 1950-an.

Program pembandaran yang 'membersihkan' kawasan setinggan mengakibatkan penunggang beca kehilangan sumber pendapatan utama kerana pelanggan mereka kebanyakannya dari kawasan itu.

Menjelang akhir 1970-an, pengayuh beca menjadi golongan yang diancam pupus.

1970-an – 2023: AKHIRNYA ERA

Meskipun beca bukan lagi pilihan pengangkutan awam biasa, ia dikekalkan sebagai satu daya tarikan warisan bagi pelancong untuk merasai pengalaman Singapura dahulu.

"Dengan kemajuan dan perancangan bandar, dan sistem pengangkutan awam di Singapura, beca sebagai alat pengangkutan merosot," kata Encik Benjamin Cassim, pensyarah kanan dalam pengurusan hospitaliti dan pelancongan di Politeknik Temasek.

“Sebagai perkhidmatan sokongan pelancong, beca menawarkan peluang kepada pengunjung di Singapura untuk melihat beberapa kawasan warisan dengan lebih perlahan dan mendapatkan lebih banyak maklumat daripada pengendali beca melalui perbualan yang dimulakan,” tambahnya.

Jurucakap LTA memberitahu The New Paper pada 2014 bahawa ia telah berhenti mengeluarkan Lesen Vokasional Pengayuh Beca baharu sejak September 2001.
Sebuah beca yang membawa penumpang melalui Jambatan Elgin, 26 Dis 2018. (Gambar: iStock/KHellon)
Trishaw Uncle merupakan pengendali terakhir menawarkan khidmat beca pelancong di Singapura, tetapi ia menamatkan kontraknya dengan Lembaga Pelancongan Singapura (STB) pada Mei 2023.

Syarikat itu pernah menjalankan lawatan meliputi destinasi pelancongan popular seperti Little India, Chinatown, Kampong Gelam dan Daerah Sivik.

Trishaw Uncle terpaksa memulangkan tapaknya di Albert Mall Trishaw Park di Queen Street untuk "kegunaan lain", kata eksekutifnya Tieu Xin Yue kepada Mediacorp pada Selasa.

Pengarah ejen pelancongan dan pemandu pelancong STB, Annie Chang mengesahkan bahawa tapak Trishaw Park "dipulangkan kepada agensi berkaitan untuk diteliti semula mengenai penggunaan tapak itu".

"Pada masa ini tiada perkhidmatan beca lain beroperasi di Singapura," tambahnya.

Trishaw Uncle mempunyai 100 beca dan menjualnya selepas tamat kontrak kerana ia tidak dapat mencari tempat yang sesuai untuk menyimpannya, kata Cik Tieu.
Sumber : CNA/SU/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan