Skip to main content

Singapura

jelasBERITA: Benarkah beban kerja masih sama, malah mungkin lebih berat bagi guru SG?

Sebagai seorang guru Bahasa Inggeris dan matematik di sebuah sekolah rendah di Singapura, Heidi memulakan tugasnya pada pukul 5.30 pagi.

Anggaran Waktu Membaca:
jelasBERITA: Benarkah beban kerja masih sama, malah mungkin lebih berat bagi guru SG?

Pelajar Menengah 2 mengikuti kelas Matematik mengikut tahap keupayaan masing-masing. (Gambar fail: CNA/Raydza Rahman)

SINGAPURA: Sebagai seorang guru Bahasa Inggeris dan matematik di sebuah sekolah rendah di Singapura, Heidi memulakan tugasnya pada pukul 5.30 pagi.

Kelas bermula dua jam kemudian dan berjalan sehingga kira-kira pukul 1.30 tengah hari apabila sekolah tamat. Tiga kali seminggu, dia mengadakan kelas tambahan sehingga sekitar pukul 3.00 petang. Selepas itu, jika dia mempunyai komitmen aktiviti luar darjah, dia memeriksa tugasan murid sehingga pukul 5.00 petang. "Dua hingga tiga kali seminggu, saya terus bekerja pada sebelah petang. Pada hari Sabtu dan Ahad, saya juga menghabiskan satu atau dua jam merancang pelajaran dan memeriksa kerja rumah murid saya. Sebenarnya, saya akan katakan saya bekerja tujuh hari seminggu," katanya kepada Mediacorp.

"Ia benar-benar menjejaskan masa saya dengan anggota keluarga saya kerana saya masih bertugas semasa saya berada di rumah."

Pada awal Oktober, satu tinjauan antarabangsa mengenai pengajaran dan pembelajaran OECD mendapati bahawa para pendidik di Singapura bekerja lebih lama dan lebih berkemungkinan mengalami banyak tekanan berbanding purata global.

Seperti Heidi, guru-guru yang ditemui Mediacorp berkata beban kerja keseluruhan mereka sama ada kekal sama atau meningkat, walaupun Kementerian Pendidikan (MOE) cuba menangani isu tersebut.

Semua guru bersetuju untuk ditemu bual bagi artikel ini dengan syarat tidak mahu nama mereka didedahkan, kerana mereka tidak dibenarkan bercakap dengan pihak media.

Langkah-langkah yang telah dilaksanakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini terdiri daripada usaha untuk mengurangkan beban pentadbiran peperiksaan kepada pelaburan dalam bidang pemarkahan automatik dan alat penilaian kecerdasan buatan (AI).

Tetapi satu perkara yang telah membuat perbezaan ketara ialah mantan Menteri Pendidikan Chan Chun Sing yang menetapkan jangkaan asas untuk komunikasi, kata guru-guru itu kepada Mediacorp.

Pada September 2024, Encik Chan berkata guru-guru tidak sepatutnya dijangka membalas mesej berkaitan kerja di luar waktu sekolah, kecuali jika berlaku kecemasan; dan beliau tidak menjangkakan para guru akan berkongsi nombor telefon bimbit peribadi mereka dengan ibu bapa.

Nick, yang mengajar Bahasa Inggeris dan sastera di sekolah menengah, memilih untuk memberikan nombor telefonnya kepada ibu bapa demi "kemudahan" mereka. Menurut Nick, dia pernah menerima emel, mesej dan panggilan di luar waktu kerja.

Tetapi selepas Encik Chan "menetapkan syarat tersebut", yang disokong oleh seluruh pihak sekolah, ia telah membantu mengurangkan tekanan, tambah Nick.

PROSES DIPERBAIKI TETAPI TIMBUL JANGKAAN BAHARU

Dalam satu kenyataan bersama kepada Mediacorp, wakil daripada empat kesatuan guru di Singapura menyatakan bahawa para pendidik secara amnya bersetuju bahawa langkah-langkah MOE telah membantu dalam bidang-bidang tertentu – contohnya, pemarkahan lebih pantas dan kerja pentadbiran kini kurang membebankan.

Guru-guru yang ditemui Mediacorp juga menarik perhatian kepada platform online Parents Gateway, yang telah menjadikan pengumpulan borang meminta izin ibu bapa dan sijil perubatan lebih lancar; serta alat kecerdasan buatan untuk menulis testimoni, yang telah menjimatkan masa.

Sungguhpun demikian, langkah-langkah ini tidak menurunkan beban kerja guru secara mendadak, kerana aspek-aspek seperti campuran tugas atau intensitinya mungkin sudah berubah, dan guru juga sering menggunakan masa yang terluang untuk kerja yang lebih tambah nilai, menurut Kesatuan Guru Singapura, Kesatuan Guru Cina Singapura, Kesatuan Guru Melayu Singapura dan Kesatuan Guru Tamil Singapura.

"Dari perspektif dasar, ini mengalihkan usaha kepada aktiviti berimpak lebih tinggi, tetapi guru mungkin masih merasakan beban kerja mereka sama berat seperti sebelum ini," menurut kesatuan-kesatuan kerja itu. "Ramai yang berpendapat bahawa tekanan utama kerja - tempoh kerja yang panjang, banyak tanggungjawab - kekal tidak berubah."

Tinjauan OECD, yang dijalankan pada 2024, mendapati jumlah masa yang diluangkan oleh guru Singapura untuk melakukan kerja pentadbiran kekal sama sejak 2018, iaitu empat jam seminggu. Jumlah masa yang dihabiskan untuk memeriksa dan melakukan pemarkahan menurun sebanyak 1.1 jam dari 2018, tetapi masa yang diluangkan untuk perancangan pelajaran meningkat sebanyak 0.9 jam.

Walaupun guru tidak perlu lagi mengumpul borang secara manual, namun panggilan kepada para ibu bapa yang tidak menghantar borang yang diperlukan, kadangkala berulang kali, masih tidak dapat dielakkan, kongsi para guru tersebut.

"Ini adalah tugas manual yang memakan masa yang masih tidak dapat diringankan oleh teknologi," kata Heidi.

Dan satu sumber baharu kerja pentadbiran timbul daripada penganjuran acara atau aktiviti luar darjah, kata para guru itu.

Renald, yang telah menjadi guru selama lebih daripada 10 tahun, menyatakan bahawa ini adalah sebahagian daripada petunjuk prestasi utama. Sebagai contoh, untuk guru dinaikkan pangkat, mereka perlu menunjukkan bahawa mereka telah menerajui pasukan, yang mana mereka boleh melakukannya melalui perancangan acara.

Di sebuah sekolah yang dia mengajar, guru dan ahli kumpulan sokongan ibu bapa merancang aktiviti waktu rehat setiap satu hingga dua minggu. Setiap acara mengambil "banyak masa" - malah aktiviti selama 30 minit memerlukan perancangan beberapa hari dan minggu, kata Renald, yang mengajar Bahasa Inggeris dan matematik di peringkat sekolah rendah.

"Adakah mungkin untuk menyelaraskan aktiviti, untuk MOE bertegas dan mengatakan bahawa 'kami bukan perancang acara, kami tidak sepatutnya merancang seribu acara untuk pelajar kami'?"

Dia menambah: "Sejujurnya, kebanyakan masa saya tidak dihabiskan untuk merancang pelajaran atau memeriksa kerja sekolah. Perkara-perkara lain mengambil masa saya, termasuk semua mesyuarat yang perlu saya hadiri."

Guru-guru juga memberitahu Mediacorp bahawa pengenalan Pengumpulan Berdasarkan Subjek Secara Penuh dan tumpuan kepada pembelajaran yang berbeza bermakna mereka memerlukan lebih banyak masa untuk membuat persiapan bagi pelajaran murid mereka.

Mengatur jadual waktu menjadi lebih rumit, dan guru perlu memperibadikan arahan, maklum balas dan penilaian untuk semua profil pelajar yang berbeza dalam setiap kelas, menurut para guru.

Berbanding tahun-tahun sebelumnya, tumpuan kini lebih kepada pedagogi apabila mereka membentuk pengajaran. "Kali terakhir semasa kami sendiri adalah pelajar, guru hanya memerlukan buku teks dan mula mengajar," kata Jamie, yang mengajar Bahasa Cina di sekolah rendah.

"Sekarang, anda perlu menyediakan slaid, alat (teknologi) untuk kanak-kanak ... terdapat banyak kerja di balik tabir."

Untuk kelas seramai 20 murid, dia biasanya menyediakan tiga set bahan pembelajaran yang berbeza untuk mengambil kira pelajar yang berbeza kebolehan, yang turut menggandakan masa untuk membuat persiapan.

Proses ini dibantu "sedikit" dengan menggunakan ChatGPT untuk menghasilkan idea untuk diajar dalam kelas; tetapi disebabkan dia perlu menyediakan lebih banyak bahan, dia tidak terasa beban kerjanya berkurangan, kata Jamie.

Jamie juga menarik perhatian bahawa selain menghabiskan sembilan hingga 10 jam sehari di sekolah, kebanyakan guru juga menyingkatkan waktu makan tengah hari.

Dia biasanya membeli sesuatu dari kantin sekolah atau melalui khidmat penghantaran makanan, dan makan di mejanya sambil terus bekerja. “Ia agak menyedihkan.”

BERTANGGUNGJAWAB ATAS PRESTASI PELAJAR

Terlalu banyak kerja pentadbiran dan terlalu banyak tugas pemarkahan telah disenaraikan dalam tinjauan OECD sebagai dua sumber tekanan teratas untuk guru-guru di Singapura.

Ruang Pembelajaran Pelajar MOE membenarkan tugasan online yang boleh dinilai secara automatik, tetapi guru-guru tersebut mempunyai pandangan yang bercampur-campur terhadap platform online.

Alat pemarkahan automatik hanya sesuai untuk tugasan tertentu dan subjek tertentu. Dengan Bahasa Inggeris atau sastera, alat itu boleh mengendalikan latihan penyuntingan atau pemahaman yang mudah, tetapi latihan terbuka seperti penulisan esei lebih rumit, kata Nick.

Jamie menambah bahawa walaupun Ruang Pembelajaran Pelajar bertujuan untuk mengurangkan beban kerja, mereka pelajaran menggunakan platform itu "sebenarnya sangat menyulitkan" dan "tidak begitu berkesan".

Jamie berkata dia terpaksa menghadiri sesi latihan untuk alat baharu yang diperkenalkan kepada sistem.

Di sesetengah sekolah, pemimpin sekolah juga mungkin ingin mengurangkan penggunaan peranti dan sebaliknya menggunakan semula tugasan menggunakan pen dan kertas - yang perlu disemak secara manual.

Kemudian terdapat situasi di mana sesetengah ibu bapa mengharapkan guru memberikan kerja rumah kepada pelajar setiap hari, menurut Heidi.

"Kami mempunyai ibu bapa yang menyoal kami, 'mengapa kerja rumah tidak mencukupi?'"

"Jadi untuk memenuhi jangkaan ini, kami membuat (lebih banyak kerja rumah), maka ia seperti satu kitaran ganas kerana apabila saya memberikan lebih banyak kerja, saya perlu menyemak lebih banyak juga."

Punca tekanan ketiga yang paling biasa bagi guru adalah bertanggungjawab terhadap pencapaian pelajar, menurut kajian OECD.

Prestasi mereka dinilai berdasarkan sejauh mana impak mereka terhadap pelajar mereka dan sekolah; bukan sahaja di dalam bilik darjah tetapi untuk CCA dan aktiviti lain yang mereka uruskan.

Gred prestasi Wendy, yang mengajar pelajar sekolah menengah di sekolah pendidikan khas, diturunkan selepas pelajarnya "tidak berjaya menepati sasaran".

"Walaupun anda sudah mengatur pelajaran tambahan atau pelajaran pemulihan untuk mereka, ada orang yang memilih untuk tidak hadir kerana mereka mempunyai kelas tambahan lain atau mereka tidak mahu datang," katanya.

"Tetapi bos anda masih merasakan anda bersalah kerana kelas anda tidak menunjukkan sebarang prestasi."

Jamie juga menyatakan bahawa guru kadangkala tidak dapat mengawal tingkah laku pelajar.

Dan dengan kes buli mendapat perhatian ramai pada tahun lalu, kini terdapat jangkaan yang lebih tinggi untuk guru menangani kes disiplin, kata mereka kepada Mediacorp.

Sebelum ini, Jamie akan menangani isu disiplin dengan meluangkan masa lima hingga 10 minit bercakap dengan pelajar yang berkelakuan buruk.

Kini, terdapat kategori yang berbeza untuk isu disiplin dan bergantung kepada tahap keterukannya, guru perlu membuat laporan dan bertemu dengan ibu bapa pelajar.

Menguruskan emosi seluruh kelas kanak-kanak boleh menimbulkan tekanan dan membebankan emosi, kata Renald, sambil menekankan bahawa kes-kes disiplin juga kini merupakan sumber tambahan bagi kerja pentadbiran.

“Mungkin jawapan untuk meringankan beban kerja guru adalah sesuatu yang Singapura perlu jawab bersama kerana banyak daripadanya datang daripada taraf hidup yang tinggi,” kata Renald.

"Jika kita lihat semula, mungkin ibu bapa akan dapat meluangkan lebih banyak masa dengan anak-anak mereka. Jika anak-anak diberikan lebih sedikit perhatian, mereka mula kurang bertindak, kes disiplin boleh menurun, kemudian anak-anak menjadi lebih gembira."
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita